
Baru-baru ini aku keluar dating dengan hubby. Kami ke Plaza Kotaraya untuk minum petang sementara menanti pukul 5. Seperti biasa, setiap kali berada di dalam kompleks beli belah, kaki ini akan menuju ke kedai buku. Sudah sekian lama aku tidak menjengok kedai-kedai buku sekitar bandar Johor Bahru ini. Kali terakhir di Angsana pada bulan lepas.
Sekali lagi, untuk ke sekian kalinya aku mencari Hijab Sang Pencinta. Kukira ini kali ke-4 aku mencari karya terbaharu Ramlee Awang Mursyid (my favourite writer). Sekali lagi aku hampa, apabila dimaklumkan oleh tauke kedai itu, novel tersebut telah sold out! Aaahhh!!! Tak kan semua tempat sold out!? Mungkin juga, kerana RAM mempunyai pengikutnya yang tersendiri.
Tiba-tiba, mataku terpandangkan sebuah novel seakan-akan novel thriller karya Azizi Ali. Azizi Ali jutawan buku telah menjadi novelis rupanya! Hebat! Ekuinoks! Tinggal satu! Pasti novel ini selaris buku-buku Azizi yang lain. Apabila aku membaca blurbnya, aku terus tertarik dengan plot ceritanya! Sesungguhnya blurb memainkan peranan penting dalam usaha menarik minat pembaca. Oleh sebab novel tersebut berbalut plastik, aku langsung tidak berpeluang membaca bab-bab tertentu di dalamnya. Lantas kubeli novel tersebut dengan harapan, novel ini dapat menghilangkan kebosananku yang gagal mendapatkan Hijab Sang Pencinta!
Ekuinoks, tidak seperti yang kujangkakan. Masih tidak dapat menandingi novel-novel thriller Ramlee Awang Mursyid. Kisah yang dipaparkan menyentuh tentang pembunuhan Dato' Chin yang misteri kerana pembunuhnya sukar dikesan. Terlalu banyak suspek sehingga kisah polis menyiasat kes ini menjadi kabur. Namun, sedikit sebanyak berjaya meninggalkan teka-teki di hati pembaca, siapa pembunuh sebenarnya. Namun, tidak terlalu suspens kerana penulis sendiri telah memberi jawapan sekalipun kisahnya belum di penghujung. Terlalu banyak kisah sejarah terutama sejarah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, sehingga aku rasa aku membaca sebuah novel sejarah yang sangat kompleks untuk satu peperiksaan penting. Dan, penulis banyak kali mengulangi plot cerita yang sama dalam satu-satu bab (editor buku ini mungkin tidak membuat suntingan naskhah!). Kisah pertemuan dan percintaan Iskandar dengan Datin Brenda diulang-ulang setiap kali wujud dialog 'Macam mana kau mengenali Brenda?' Hal ini sedikit sebanyak menimbulkan kebosanan kerana buku thriller wajar melebihkan unsur suspens, bukannya unsur perulangan. Siapalahhh editor buku ni ye? Dan, terlalu terperinci penulis menceritakan tentang selok-belok seni mempertahankan diri Tae Kwon Do. Sehinggakan ciri-ciri, teknik pukulan, istilah-istilah pukulan, semuanya dimuatkan dalam novel ini, seolah-olah pembaca perlu belajar tentang tae kwon do untuk tahu pembunuh Dato' Chin. Terlalu janggal!
Biasanya aku akan menghabiskan sesebuah novel dalam masa dua hari (paling lama). Tapi, novel ini dah masuk hari kelima, baru nak habis baca. Boleh diperbaiki lagi.