Pages

Friday, February 13, 2009

Apabila Anak Sudah Terlebih Pandai

Baru-baru ini aku menghabiskan sedikit waktu untuk membuat rawatan rambut, sekali gus menukar imej rambut baru. Setibanya di rumah, aku menggayakan rambut baru di hadapan cermin. Dengan imej baru, aku semakin suka 'bermain-main' dengan rambut. Nampak lebih bergaya (sekalipun hanya untuk di rumah sahaja). Disebabkan taksub dengan rambut baru, aku lupa memakai tudung semasa keluar dari rumah untuk mengangkat kain baju di ampai. Tiba-tiba anak sulungku menjerit "ibuuu!!! Tudung mana? Berdosa, nampak aurat!"

Alamak! Bertuah punya anak! Suaranya saja dah sebatu kedengaran. Mujurlah tiada jiran tetangga yang lalu lalang. Aku segera masuk semula untuk mendapatkan tudung, dan sempat aku memjawab "lain kali, jangan jerit-jerit kalau nak sound orang!" Dia menjawab balik, "Cikgu kata, kalau perempuan keluar rumah tak pakai tudung, bila orang lelaki nampak, nanti berdosa!" Aaaaiiiseymen....aku menepuk dahi! Inilah satu-satunya 'jejaka tampan' yang selalu mengingatkan aku tentang dosa pahala.

Pagi tadi pula, semasa bersiap-siap hendak keluar ke pejabat, si sulung menerjah masuk bilikku (macam biasalah...nak pastikan aku bersiap awal supaya dia tidak kelewatan ke sekolah). Aku pula sedang memakai girdle dan korset. Si sulung bersuara "selesa ke, bu?" "mestilah selesa, kalau tak selesa, tak kan ibu nak pakai," jawabku. "Cikgu kata, pakaian orang Islam mesti selesa, tak ketat dan tak jarang. Ni, ibu pakai ketat-ketat ni, tak apa ke?" (Eh, budak ni...). Aku menarik nafas dalam-dalam..."Yang ketat sebelah dalam je. Bila ibu pakai baju kurung, dah tak nampaklah ketatnya...," aku menjawab sambil membesar-besarkan biji mata. Bukan nak marah, tapi terkesima kerana si anak dah pandai 'mengajar'. Dan yang paling aku tak berapa berkenan, dia suka menggunakan frasa 'cikgu kata'. Sikit-sikit 'cikgu kata'...sikit-sikit 'cikgu kata'.

Besar sungguh kuasa yang ada pada seseorang yang bergelar guru. Semua yang diperkata oleh sang guru, baginya betul belaka dan wajib dituruti! Kadang-kadang, bila aku mengajar dia membuat kerja sekolah pun, dia tak begitu setuju. Sebab, cikgu kata lain, aku kata lain. Dia lebih akur dengan ajaran gurunya, walaupun ajaran itu agak 'sesat' sedikit (lagi-lagi dalam subjek bahasa Melayu). Apa saja yang keluar daripada mulut cikgu, semuanya benar-benar belaka! Pening juga aku dibuatnya. Inilah kesan dan akibat apabila si anak sudah terlebih pandai (terlebih sudah...).

Apa pun, aku tetap bersyukur kerana si anak ini agak mendengar kata (lebih-lebih lagi kata gurunya). Di sekolah memang dia pendengar yang setia, tapi di rumah...kesetiaanyanya kadang-kadang rapuh juga!

3 comments:

Azhar Salleh said...

Salam AZURA,
Jika demikian anak Azura, saya rasa tidak ada yg paling membahagiakan melainkan anak yang bijak dan dapat berfikir mengalahkan pemimpin Melayu! Ya, anakmu mengangkat martabat gurunya kerana dia sedar bahawa ajaran guru yang baik akan diingati sepanjang masa. Tanpa guru, mungkinkah selepas A itu K? Mudah-mudahan anakmu akan terus menjadi manusia yang bijak berfikir dan bertindak, insya-Allah. Saya mendoakannya...

Citra Wangsa said...

Amin...ye, guru merupakan insan yang paling berkesan kata-katanya.

ALFAF said...

Pn.zura... per khabar
saya juga ada permasalahan yang ingin dibantu..
tolong private message ku...