Pages

Sunday, December 21, 2008

Berpantang Cara Mudah

Sepanjang tempoh berpantang kali ini, aku lebih banyak menguruskan diri sendiri berbanding semasa berpantang anak pertama dan kedua. Tempoh berpantang yang terdahulu, sangat rigid dan ketat sehinggakan aku dilarang mendekati suami sendiri. Ni semua gara-gara berpantang di rumah mak. Biasalah, emak mahukan yang terbaik untuk anaknya. Kali ini aku masih lagi berpantang di rumah mak, tapi aku telah maklumkan kepadanya, sediakan santapan pagi, tengah hari dan malam sahaja untuk aku. Selebihnya biar aku urus sendiri.

Kali ini aku langsung tidak mengikuti peraturan tradisional seperti kebanyakan ibu-ibu berpantang yang lain yang sanggup berparam, berpilis dan makan jamu selama 44 hari. Sebaik sahaja dibenarkan discaj dari hospital, aku mengatur sendiri menu makan ibu bersalin. Banyak makan lada hitam dalam setiap masakan untuk memanaskan badan. Minum air pati halia untuk buang angin dalam badan, dan lebihkan madu dalam minuman untuk tenaga dan kecerdasan. Suamiku telah membelikan pati ikan haruan untuk pemulihan luka dalaman. Aku amalkan pada minggu pertama. Diikuti dengan meminum Gamat Healin (sehingga kini - hari ke-25). Aku bercadang untuk meneruskan pengambilan Gamat Healin ini untuk kesihatan dalaman, merawat luka dalaman, tenaga dan kesihatan kulit.

Aku mula berurut selama 3 hari berturut-turut bermula hari ke-3 selepas bersalin, bagi membetulkan urat-urat yang tersimpul dan melegakan perjalanan darah. Berurut dengan bidan kampung lebih baik daripada berurut di SPA. Selain berurut, mak bidan akan sengkak di bahagian perut dan aku memilih menggunakan 'ubat nabi' untuk memulihkan urat. Sesiapa yang teringin menggunakan 'ubat nabi', boleh menghubungi aku! 'Ubat nabi' juga boleh memulihkan penyakit angin ahmar.

Setiap kali selesai bersiram (dengan air suam) aku pastikan badan dilulur dengan losyen pati halia,limau dan cili supaya badan sentiasa panas. Stretch mark yang muncul di kulit (kesan pengembangan perut semasa mengandung) aku sapu dengan Bio Oil. Yaaa... sungguh berkesan! Pilis kugantikan dengan minyak aleo vera. Untuk menurunkan berat badan, aku amalkan penyusuan susu badan sepanjang aku cuti bersalin. Sungguh berkesan. Berat badan turun 10kg (pada hari ke-25). Dengan keazaman yang tinggi, rasanya boleh turun lagi. Mujurlah aku tidak mempunyai masalah untuk menyusukan bayi.

Aku tidak mengamalkan pemakaian bengkung sepanjang tempoh berpantang, kerana bengkung telah banyak membuang masa aku. Lebih-lebih lagi pemakaian bengkung kain yang mengambil masa yang lama untuk melilitnya. Aku memakai girdle dan corset yang mempunyai infra red sepanjang hari termasuk semasa tidur. Lebih mudah dan menjimatkan masa. Kesannya juga lebih cepat, apatah lagi jika badan dibalut dengan plastik pembalut makanan (pada bahagian-bahagian tertentu sahaja). Mudah! Buat sendiri pun boleh.

Untuk memastikan semua darah kotor keluar sepanjang tempoh berpantang, aku mengamalkan minuman pati ibu kunyit yang sedia ada di pasaran selama tiga hari berturut-turut. Selebihnya aku menggunakan pad herba yang terbukti berkesan mengeluarkan seluruh toksid dan darah kotor. Pad biasa di pasaran tidak membantu mengeluarkan darah secara keseluruhan. Aku yakin dengan pad herba, sekalipun harganya agak mahal.

Setiap kali menghadap makanan, aku pastikan lada hitam dan halia tidak ketinggalan. Bukanlah untuk membuka selera, sebaliknya untuk menjarakkan anak (pengganti kepada pil perancang keluarga). Aku mengambil banyak jus dan buah oren untuk melawaskan pembuangan air besar. Ibu dalam pantang biasanya akan mengalami sembelit, lebih-lebih lagi jika mengamalkan jamu dan kurang minum air. Alhamdulillah, aku tidak pernah mengalaminya sejak dulu lagi.

Selepas habis tempoh berpantang (tempoh berpantang aku sebaik sahaja darah kering) tak kiralah, 30 hari ke...40 hari ke...44 hari ke...60 hari ke...amalan pemakanan sihat akan berterusan apatah lagi aku menyusukan bayi (menyusu bayi boleh mengecutkan rahim).

Selepas darah kering, aku bersedia ke sauna bagi memastikan badan kembali cergas. Sauna tidak perlu setiap hari, memadailah dengan 3 hari sahaja.

Kepada teman-teman yang bakal menimang cahaya mata pada tahun ini (Iffa, Zu, Faiz, Yati), pilihlah jalan terbaik untuk kesihatan kita. Jadikanlah tempoh cuti bersalin yang diperuntukan kepada kita, sebagai tempoh untuk memulihkan badan secara dalaman dan luaran. Pilihlah produk-produk yang terbaik untuk kesihatan kita. Jenama yang mahal belum tentu menjamin kesejahteraan kesihatan. Yang penting, amalan kesihatan yang konsisten, terutamanya bab makan.

Selamat bersalin kepada ibu-ibu yang disebutkan tadi.

2 comments:

Azhar Salleh said...

Selamat berpantang! Semoga Raja Zarin sihat dan didiklah ia menjadi anak solehah.
Tentang ubat nabi yang dimaksudkan itu, katanya boleh mengubati penyakit angin ahmar juga. Kalau begitu saya inginkan keterangan lanjut kerana ayah saya terlantar sudah tiga tahun menghidap angin ahmar atau strok ini. Terima kasih.

ida ahmad said...

Tahniah atas kelahiran bayi baru. Semoga ibu dan bayi sihat sejahtera. Have a wonderful breastfeeding journey! Terima kasih juga atas cerita pantang yg sungguh terperinci.