Pada 27 November 2008 yang lepas, aku selamat melahirkan seorang cahaya mata perempuan setelah satu jam berhempas pulas menanggung kesakitan di dalam bilik bersalin. Alhamdulillah, aku dan baby selamat. Namun, oleh sebab sekian lama tidak melalui saat getir melahirkan umat Muhammad, aku umpama bersalin buat kali pertama. Sakitnya Allah sahaja yang tahu.
Puteri ini kunamai Raja Zarin. Ringkas dan mudah diingati. Wajahnya tidak dapat kupaparkan di sini memandangkan Raja Zarin masih terlalu mentah untuk dijadikan bahan tatapan di layar blog. Insya-Allah satu hari nanti.
Kepada rakan-rakan yang datang menziarah aku di hospital dan di rumah, kuucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga atas kehadiran kalian. Terima kasih juga atas kiriman hadiah untuk baby. Kepada rakan-rakan dan kenalan yang menghantar ucapan tahniah melalui sms, terima kasih banyak-banyak. Maaf, sekiranya sesetengah sms kalian tidak dapat kubalas. Raja Zarin merupakan cucu ke-7 bagi pihak keluarga aku dan cucu ke-10 bagi pihak keluarga suami.
Kesempatan ini, ingin sekali kuucapakan tahniah kepada adikku yang akhirnya selamat melahirkan puteri sulungnya setelah sekian lama menunggu. Kehadiran Sofea Batrisya bakal menyinarkan lagi kehidupan mereka suami isteri. Tahniah!
No comments:
Post a Comment