Pages

Wednesday, January 28, 2009

Selamat Pengantin Baru

Baru-baru ini (24 Januari) aku diundang menghadiri majlis perkahwinan sepupuku Rashidah Abd. Kadir. Aku dan sepupu-sepupu yang lain (yang tak dapat merewang) datang berkonvoi 3 buah kereta. Sampai di rumah pengantin, lebih kurang pukul 3.00 petang. Punyalah ramai tetamu...kami terpaksa beratur panjang (dan lama) untuk mengambil hidangan (bufet). Nasi pun hampir-hampir habis.

Ketika itu, pengantin sedang makan beradab. Alaahaii...teringat zaman aku kahwin dulu (hehehee...). Pengantin baru memakai songket hijau pucuk pisang yang sedondon. Cantik! Rashidah yang putih melepak, tentunya lebih cantik. Khabarnya wang hantaran RM7,777.77! Wow!!! Lumayan juga.

Kenduri kahwin zaman sekarang, sudah banyak berubah. Tiada lagi istilah kendarat, rewang (rewang ala kadar jee..), nasi berkat (bontrot...kata orang Jawa), telur pengantin, DJ kampung dan pulut kuning. Di kampung-kampung, mungkin masih lagi mempraktikkan amalan ini. Tapi kenduri di bandar-bandar, sudah hilang budayanya. Majlis sambut menantu pula diadakan pada keesokan harinya di Dewan Mawar. Eeemmm...yang ini lagi aku tak gemar. Majlis perkahwinan yang dibuat ala-ala 'mat saleh'...sangat membosankan. Apatah lagi apabila majlis terpaksa dijalankan mengikut arahan pengacara majlis. Aduhaiii...! Kalau tetamu yang membawa anak kecil, rasanya tak tahan nak tunggu lama-lama. Mana tidaknya, nak kena tunggu upacara menepung tawar, upacara memotong kek, upacara memberi ucapan selamat pengantin baru...haaa...jenuh menunggu!

Akhirnya, pengantin tak kenal saudara, sebab sibuk dengan diri sendiri. Sibuk makan suap-suap, sibuk nak salin baju (macam-mcam fesyen!), sibuk nak bergambar sakan, sibuk nak merakam saat-saat romantis! Aaahh...sungguh menyesakkan nafas. Sudahnya, pengantin tak dapat berkenalan dengan sepupu baru, anak saudara baru, mak long dan pak long baru, mak ngah dan pak ngah baru...

Lepas kenduri selesai, pengantin dah sibuk nak berbulan madu. Selesai berbulan madu, masing-masing dah habis cuti...dah mula kerja semula. Eeemmm...selamatlah pengantin baru!

Thursday, January 22, 2009

Perolehan Manuskrip

Penulis wilayah selatan (Johor, Melaka, Singapura dan Riau), dialu-alukan untuk menghantar manuskrip ke:
Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan,
No. 1 dan 3, Susur Dato Muhd. Said Sulaiman 1,
80350, Larkin Perdana, Johor Bahru.
Tel: 07-235-8553 (Unit Penerbitan).

Kami menerima semua genre manuskrip termasuk:
  • Karya ilmiah (sains sosial, ekonomi, sains, agama, IT dll)
  • Karya kreatif (novel - remaja, dewasa dan kanak-kanak, cerpen eceran, kumpulan/antologi cerpen, puisi eceran, dan kumpulan/antologi puisi).
Kami juga mengalu-alukan karya-karya lain seperti artikel tentang sejarah, budaya, sastera, bahasa dan penerbitan untuk disiarkan dalam buletin Jendela Selatan.

Setiap karya yang tersiar atau diterbitkan, akan menerima honorarium dan royalti yang sewajarnya.

Kereta untuk Dijual



RENAULT Kangoo
Enjin : 1.4L (Fuel Injection)
Transmission : Automatic (4 Speed) w/overdrive button
Kapasiti : 7 Seater (seat belakang boleh bukak)
Safety : Airbag + ABS + EBD + EBA (Emergency Brake Assist) + NCAP 4 Star
Ciri-ciri canggih :
- Sportif Aksesori (skirt)
- Sliding Door
- Overhead compartment
- Overhead Shelf (seat belakang)
- Rear Air-Cond
- Adjustable Head Lamp
- SONY CD/DVD Player
- SONY LCD Screen
- SONY Surround Speaker

PRICE: RM60,000.00

Jika ada sesiapa yang berminat, boleh tinggalkan no.telefon untuk saya hubungi.

Wednesday, January 21, 2009

Cinta Itu Buta

Baru-baru ini seorang kenalanku menceritakan tentang betapa bahagianya dia setelah berumah tangga. Sekalipun lewat bergelar isteri (berkahwin ketika usianya menjelang 33 tahun), namun dia tidak menyesal. Apa tidaknya, suaminya seorang hartawan! Majlis perkahwinannya (yang diceritakan kepadaku) tidaklah begitu meriah. Sekalipun temanku ini anak perempuan terakhir dalam keluarganya yang melangsungkan perkahwinan, namun majlisnya cukup sederhana. Aku pelik juga apabila dia tidak mengundang rakan tauladan jauh dan dekat. Aku hanya tahu tentang perkahwinannya setelah setahun dia berkahwin. Mujur juga diberitahu... Kalau benar berkahwin dengan si hartawan, wang hantaran setaraf Siti Nurhalizah, kenapa majlis tersebut sekadar 'biasa-biasa' sahaja.

Al-kisahnya, temanku itu berkahwin dengan suami orang. Dia reda apabila ditakdirkan menjadi isteri ke-3! Adusss!!! Pedihnya aku dengar. Mungkin benar, cinta itu buta! Tapi temanku ini menyangkal sama sekali tentang kebutaan cintannya. Kerana cintanya itu celiklah, maka dia sanggup melayari bahtera, menjadi isteri ke-3. Aku pula yang seram sejuk mendengarnya. Huh! Minta dijauhkan Allah! Kata orang, boleh dapat payung emas di akhirat kelak jika reda suami berkahwin lagi. Payung emas ke, payung AVON ke, hatta payung terjun sekalipun...aku sama sekali tak mahu memikirkannya.

Tapi bagiku (maaf kalau kau tersinggung), kalau suaminya itu bukan hartawan...ah, mana mungkin dia sanggup menjadi isteri ke-3? Isteri pertama pun mungkin dia tak sanggup!

Sejak berkahwin dengan si hartawan, kereta kancil bertukar Perdana V6! Berpindah di rumah teres 2 tingkat dalam kawasan perumahan elit, bertukar beg tangan jenama luar negara! Tak lagi makan di warung tepi jalan. Aku teringat coretan Cikgu Azhar dalam blognya; salah satu cara untuk menjadi jutawan ialah...kahwin dengan orang kaya! Ya, mungkin betul! Buktinya temanku yang dulunya tinggal di perkampungan setinggan, kini hidup mewah di kelilingi wang ringgit. Ah, betapa senang hidupnya. Tapi, aku terfikir tiba-tiba...adakah dia benar-benar bahagia, menjadi isteri ke-3, yang perlu berkongsi suami dengan 2 lagi wanita lain? Dia kata dia selalu keseorangan kerana suaminya sering ke luar negara. Tapi dia tak kisah kerana suaminya membekalkan duit yang lebih daripada mencukupi untuk dibelanjakan. Kerana itu dia bebas ke kelas yoga, SPA mahu pun pergi membeli-belah. Bahagiakah namanya itu? Tafsiran 'bahagia' antara dia dan aku sangat berbeza. Apalah ertinya bahagia kalau suami tiada di sisi? (Suamiku out station sehari pun, aku dah bosan...). Apalah ertinya bahagia kalau suami selalu mendahulukan orang lain. Apalah ertinya bahagia tanpa gelak tawa anak-anak?

Namun kepada temanku E, jika itulah jalan yang kau pilih...aku doakan kau selamat hingga ke akhir hayat. Selamat pengantin baru...masih ingat tak puisi Maz masa farewell party dulu...Pahitnya Madu.

Sunday, January 18, 2009

Rindu Kenangan

Semasa entri ini ligat ditaip, aku berada sendirian di dalam bilik. Suamiku seperti biasa, sibuk dengan urusan bisnesnya. Anak-anak riang bermain di tingkat bawah. Manakala bayiku yang baru berusia sebulan lebih, sedang lena diulik mimpi. Saat ini, baru kurasai betapa sepi itu indah! Mahu tak indah, semua kenangan lama zaman remaja terimbas kembali. Ini semua gara-gara aku terrr melayar laman blog seorang sahabat karib - A.H Hamzah atau Hamzah Abdul Hamid atau mesra dipanggil Uncle Mushroom oleh anak-anakku.

Aku dan Hamzah sangat rapat sejak di bangku sekolah. Kami banyak berkongsi cerita suka dan duka. Selepas tamat sekolah menengah, kebetulan kami sama-sama melanjutkan pelajaran di Penang. Kenangan di Penang, cukup indah! Paling indah, dan paling manis apabila kami (bersama 2 lagi teman iaitu Sufian dan Harith) bersungguh-sungguh hendak ke Langkawi. Padahal waktu tu, duit biasiswa masing-masing cukup-cukup untuk makan seubulan. Pun begitu, kami masih hendak ke Langkawi. Paling lucu, ketika itu Hamzah tidak langsung mempunyai wang ringgit. Yang ada dalam simpanannya ialah Pound Streling (maklumlah, Hamzah biasa ke luar negara). Bila kami sepakat untuk ke Langkawi, semuanya menjadi. Padahal, perancangannya bukan seminggu mahupun sebulan. Bermula dengan cakap-cakap kosong semasa sarapan, kami akhirnya melangkah juga ke tanah Mahsuri (selepas sarapan). Akhirnya pulau legenda itu benar-benar menjadi legenda! Kerana bajet yang kecil kami berempat terpaksa mencatu makan minum, penginapan dan kos perjalanan. Sungguh lucu apabila terpaksa bermalam di hadapan balai polis (semasa di Alor Setar), gara-gara kos perjalanan pulang hanya cukup-cukup untuk sampai semula ke Penang. Tetapi, kami masih sempat merakamkan detik-detik legenda itu dalam kamera milik Hamzah (pasti sekarang pun, gambar-gambar kenangan itu masih dalam simpanan Hamzah). Hamzah memang sejak zaman sekolah sehingga ke hari ini sentiasa dengan kameranya.

Kini, Sufian dan Harith telah bergelar doktor. Aku tak pasti Sufian berkhidmat di hospital mana. Harith pula diberitakan sedang menghabiskan sarjana dalam bidang perubatan juga. Khabarnya di UM. Hamzah kini, bahagia dengan tugasnya sebagai journalis di sebuah syarikat akhbar terbesar di Malaysia. Itulah minatnya dan itulah impiannya. Syukurlah kami semua berjaya dalam hidup masing-masing. Sesekali, ada juga Hamzah menghubungi aku, sekadar bertanya khabar. Entah bila mamat tu hendak menamatkan zaman bujangnya. Ketika aku mengkhabarkan kepadanya yang aku akan berkahwin, Hamzah menjadi pengapit bagi pihak pengantin lelaki (suamiku memang kenalan Hamzah juga).

Setiap kali peta Langkawi melewati minda, pasti ingatanku terpaut pada kenangan silam. Itu belum lagi cerita berkhemah di Teluk Sengat! Ntah wujud lagi ntah tidak teluk kenangan itu...Rindu dengan Cikgu Halimah dan udang harimau yang segar-bugar!

Friday, January 16, 2009

Bicara Herba: Daun Sambung Nyawa

Masyarakat Melayu menggelarnya sebagai pokok/daun sambung nyawa. Saya tidak pasti apa nama saintifiknya. Apa pun namanya, daun ini sangat mujarab sebagai penawar penyakit darah tinggi.

Pokok ini susah diperoleh di pasar-pasar (sama ada pasar basah atau pasar kering). Namun pokok sambung nyawa ini ada ditanam di rumah saya (sememangnya banyak pokok herba di sekitar rumah). Daun sambung nyawa ini tidak pahit dan tidak meloyakan. Sedap dimakan dan dibuat ulam dengan nasi panas.

Saya mengenalinya melalui seorang profesor dari KUITHO (kini universiti) iaitu Prof. Dr. Md. Dan yang sering membawanya ke mana-mana sahaja, setiap kali menjamu selera termasuk jika beliau makan di hotel-hotel lima bintang. Daun sambung nyawa ini beliau jadikan 'ratahan' sekalipun tidak dimakan dengan nasi. Menurut beliau, penyakit hipertensinya semakin berkurangan sejak mengamalkannya. Beliau enggan memakan ubat darah tinggi yang diberikan oleh pihak hospital, kerana menurut beliau, ubat darah tinggi tersebut boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi lain seperti lemah tenaga batin. Jadi, awas para pengidap penyakit darah tinggi yang mengamalkan ubat-ubat moden yang mengandungi bahan kimia.

Beliau telah menyerahkan dua helai daun sambung nyawa kepada saya. Satu saya makan (saja nak rasa) dan satu lagi saya tanam. Daun tersebut sangat mudah ditanam dan mudah tumbuh subur dan susah pula hendak mati sekalipun tidak disiram atau dibajai. Tumbuhnya melata!

Sesiapa yang ingin mencubanya, boleh dapatkannya daripada saya!

Sunday, January 11, 2009

Bicara Herba: Halia dan Lada Hitam

Bicara Herba merupakan segmen terkini dalam blog ini yang bakal memaparkan perihal herba-herba terbaik di muka bumi ini yang boleh dijadikan penawar atau sebagai makanan kesihatan yang tidak langsung mengandungi bahan kimia. Ini mungkin merupakan alternatif sampingan yang boleh diamalkan dalam pemakanan harian kita. Untuk episod pertama, suka saya kongsi dengan pembaca sekalian tentang kelazatan halia dan lada hitam sebagai alternatif pil perancang keluarga.

Halia yang dicampur dengan lada hitam (ditumbuk) dan dimakan dengan nasi, boleh memanaskan rahim. Jika anda alah dengan halia, boleh gantikan halia dengan pucuk jambu batu (ditumbuk dengan lada hitam). Kepada ibu-ibu yang tidak mahu mengambil pil perancang atau menggunakan kaedah perancang keluarga cara moden, bolehlah mencuba amalan pemakanan ini.

Selain berfungsi memanaskan badan dan rahim, halia juga berperanan mengeluarkan angin dalam badan. Angin dalam badan boleh menimbulkan pelbagai penyakit. Amalan meminum air halia (yang dicampur dengan madu) boleh menguatkan sistem imunisasi badan. Halia yang sedap ialah halia muda. Selamat mencuba!

Saturday, January 10, 2009

Air Mata Palestin

Berdentum tangkai hati
memberontak sendiri
marga Palestin dicaci dengan cara tersendiri.

Benci bersarang dalam sukma
tatkala tanah Palestin bermandi darah
hendak kutangis tak berair mata
jasad anak Palestin di telapak kaki si durjana.

Saban hari hanya berdoa
andai kering air mata mereka
musnahlah Israel bersama rejimnya
tak kan wujud lagi Zionis kedua!




Titipan Kecewa: Bidadari Syurga; Kempas, Johor Bahru.


Kembali Seperti Sedia Kala

Kalau ikut tradisi orang Melayu, aku telah dianggap 'habis pantang'. Genap 44 hari aku melalui tempoh berpantang. Kini aku kembali seperti sedia kala. Namun masih lagi menjaga beberapa perkara terutamanya soal permakanan kerana bayiku masih lagi menyusu badan.

Sebaik sahaja habis pantang, perkara pertama yang aku lakukan ialah, mencuba jeans kesayanganku! Jeans yang aku beli semasa aku di tahun pertama di kampus USM. Siapa sangka, jeans tersebut yang sudah lusuh...masih boleh disarungkan! Aaahh!! Pasti ada yang terkejut! Yeesss! Jeans tersebut masih boleh dilaramkan sekalipun tidak secantik jeans-jeans yang lain. Ini bermakna, berat badan aku masih seperti dulu...Jeans yang berusia 10 tahun masih boleh digayakan! Sungguh menyeronokan.

Perkara kedua yang aku lakukan ialah, menikmati aiskrim kegemaranku! Apalah ertinya hidup tanpa aiskrim? Puas aku menahan diri daripada menikmati hidangan aiskrim sepanjang tempoh berpantang. Kini aku puas menikmatinya! Sampai tak ingat pesan mak bidan...'jangan makan makanan sejuk...' (bukan aku tak ingat, sajaaa..buat-buat tak ingat!). Sudah lama aku mengidam aiskrim jenama N yang sering mengisi ruang peti sejuk di rumah. Orang lain sedap-sedap melahap, aku telan air liur sahaja (maklumlah...takut betul melanggar pantang!). Kini semuanya telah berakhir....nikmatnya aiskrim!

Monday, January 5, 2009

Kembali ke Sekolah


Hari ini merupakan hari pertama persekolahan dibuka. Aku perhatikan anak keduaku begitu teruja untuk ke sekolah. Dia lebih bertanggungjawab apabila tahu esok sekolah akan bermula. Maklumlah nak masuk darjah 1. Persediaan sekolah seperti beg, kasut dan baju sekolah disediakan lebih awal sebelum tidur. Pukul 10.00 malam, matanya telah lelap. Si sulung bakal naik ke darjah dua. Yang itu tak ada masalah. Dari segi pelajaran dan rasa tanggungjawab telah lama menyenangkan hati aku. Cuma anak kedua ini belum memperlihatkan dirinya yang sebenar dalam pelajaran dan tanggungjawabnya sebagai pelajar dan anak perempuan.

Sebelum sekolah dibuka, aku dan suami membawa anak-anak membeli-belah di sebuah gedung beli-belah yang terkenal di bandar raya ini. Sebelum itu, aku telah berpesan kepada mereka, mana-mana perkakasan sekolah yang masih boleh digunakan, tak perlu beli. Ini semua sebagai langkah berjimat cermat. Mujurlah mereka akur dengan arahan pihak berkuasa ini! Perbelanjaan untuk dua orang anak secara keseluruhan ialah RM788.00 sahaja (termasuk uniform/kasut sekolah, peralatan sekolah, yuran sekolah kebangsaan/sek.agama, buku-buku sekolah, dan kitab-kitab sekolah agama - tidak termasuk duit minyak (kata suami aku!). Itu kos susah jangka, sayang oiii..)). Alhamdulillah, peruntukan tidak melebihi perbelanjaan. Inilah yang dikatakan perbelanjaan berhemah (sekarang baru nak sedar diri!), maklumlah anak semakin bertambah...

Mudah-mudahan mereka boleh belajar dengan baik dan sempurna seperti mana aku belajar dahulu.