Pages

Sunday, January 18, 2009

Rindu Kenangan

Semasa entri ini ligat ditaip, aku berada sendirian di dalam bilik. Suamiku seperti biasa, sibuk dengan urusan bisnesnya. Anak-anak riang bermain di tingkat bawah. Manakala bayiku yang baru berusia sebulan lebih, sedang lena diulik mimpi. Saat ini, baru kurasai betapa sepi itu indah! Mahu tak indah, semua kenangan lama zaman remaja terimbas kembali. Ini semua gara-gara aku terrr melayar laman blog seorang sahabat karib - A.H Hamzah atau Hamzah Abdul Hamid atau mesra dipanggil Uncle Mushroom oleh anak-anakku.

Aku dan Hamzah sangat rapat sejak di bangku sekolah. Kami banyak berkongsi cerita suka dan duka. Selepas tamat sekolah menengah, kebetulan kami sama-sama melanjutkan pelajaran di Penang. Kenangan di Penang, cukup indah! Paling indah, dan paling manis apabila kami (bersama 2 lagi teman iaitu Sufian dan Harith) bersungguh-sungguh hendak ke Langkawi. Padahal waktu tu, duit biasiswa masing-masing cukup-cukup untuk makan seubulan. Pun begitu, kami masih hendak ke Langkawi. Paling lucu, ketika itu Hamzah tidak langsung mempunyai wang ringgit. Yang ada dalam simpanannya ialah Pound Streling (maklumlah, Hamzah biasa ke luar negara). Bila kami sepakat untuk ke Langkawi, semuanya menjadi. Padahal, perancangannya bukan seminggu mahupun sebulan. Bermula dengan cakap-cakap kosong semasa sarapan, kami akhirnya melangkah juga ke tanah Mahsuri (selepas sarapan). Akhirnya pulau legenda itu benar-benar menjadi legenda! Kerana bajet yang kecil kami berempat terpaksa mencatu makan minum, penginapan dan kos perjalanan. Sungguh lucu apabila terpaksa bermalam di hadapan balai polis (semasa di Alor Setar), gara-gara kos perjalanan pulang hanya cukup-cukup untuk sampai semula ke Penang. Tetapi, kami masih sempat merakamkan detik-detik legenda itu dalam kamera milik Hamzah (pasti sekarang pun, gambar-gambar kenangan itu masih dalam simpanan Hamzah). Hamzah memang sejak zaman sekolah sehingga ke hari ini sentiasa dengan kameranya.

Kini, Sufian dan Harith telah bergelar doktor. Aku tak pasti Sufian berkhidmat di hospital mana. Harith pula diberitakan sedang menghabiskan sarjana dalam bidang perubatan juga. Khabarnya di UM. Hamzah kini, bahagia dengan tugasnya sebagai journalis di sebuah syarikat akhbar terbesar di Malaysia. Itulah minatnya dan itulah impiannya. Syukurlah kami semua berjaya dalam hidup masing-masing. Sesekali, ada juga Hamzah menghubungi aku, sekadar bertanya khabar. Entah bila mamat tu hendak menamatkan zaman bujangnya. Ketika aku mengkhabarkan kepadanya yang aku akan berkahwin, Hamzah menjadi pengapit bagi pihak pengantin lelaki (suamiku memang kenalan Hamzah juga).

Setiap kali peta Langkawi melewati minda, pasti ingatanku terpaut pada kenangan silam. Itu belum lagi cerita berkhemah di Teluk Sengat! Ntah wujud lagi ntah tidak teluk kenangan itu...Rindu dengan Cikgu Halimah dan udang harimau yang segar-bugar!

3 comments:

A.H. Hamzah said...

menitis air mataku membaca entry ini. tis tis tis... menitis lagi... x sangka begitu cpt momen tu berlalu. zaman2 budak hingusan membawa diri dgn poket kering. haha, mmg aku ada simpan gegambar masa kat langkawi tu. Tu bg aku mmg journey luar biaser.

ha... ni ha blog aku, jgn lupa.
www.TravelRhapsody.com

A.H. Hamzah said...

eh lupa nak cakap tima kaseh kat ko sbb mengimbas citer lama yg kelako giler. insyaallah, klu aku sempat, aku nak masukkan stori tu dlm blog aku. tp kene scan dulu gegambo, maklum la, zaman kita tuh digital kamera lom fofular. ko rasa citer kita berempat tu bleh difilemkan tak? laku tak klu aku buat skrip ala2 indie movie?

Citra Wangsa said...

Ko mengundang gelak aku. kalau rumah kos rendah menjadi rebutan, aku rasa...filem kos rendah pun pasti 'pecah panggung'. Meh kita buat! Akulah heroin! Muaaahahahaa!!! Kita shooting kat Langkawi jom!