Pages

Saturday, May 4, 2013

Tuhan Lebih Menyayangi

Ayah,
Selamatlah hendaknya ke negeri abadi...kuiringi doa restu bersama-sama redha di hati walau pahit dan sebak menghuni sanubari, aku tetap pasrah melepaskan kau pergi selamanya menghadap penciptamu. Hanya Dia yang mengetahui segala isi langit dan bumi, maka Dia jugalah yang mengetahui betapa kau perlu pergi selamanya. 

Tanggal 2 Mei 2013 bersamaan hari Khamis malam Jumaat, ayah telah pergi meninggalkan hal-hal dunia untuk berada lebih aman di alam sebelah sana. Aku menerima khabar tersebut semasa berada di Kuala Lumpur lantaran melaksanakan tugas rasmi. Panggilan daripada adinda Nora Helwa benar-benar meragut sebahagian nyawaku. Air mata menjadi teman setia berguguran sepanjang masa. Mujur juga suami berada di sisiku semasa khabar itu menerjah telingaku. Dialah yang mententeramkan keadaan. Kali pertama kulihat suami juga mengalirkan air mata. "Saya tidak pernah menangisi kematian, tetapi hari ini saya juga rasa kehilangan. Pertama kali saya menangis meratap sebuah pemergiaan." Itulah bicara suami yang menjadi dahan tempat kuberpaut tika itu,

Kami bergerak meninggalkan Kuala Lumpur sebaik sahaja aku kembali tenteram walaupun berbaki tangisan yang membasahi pipi. Perjalanan merentas lebuh raya Utara-Selatan sekadar mengambil masa 2 1/2 jam sahaja. Betapa segalanya tampak mudah, pulang ke Johor Bahru pada saat jenazah sudah lengkap dikafankan. 

Aku tak terdaya menatap seraut wajah kaku ayah di rumah bonda. Teratak Budi menjadi saksi keluruhan jiwa aku meratapi jenazah ayah. Aku gagal mengawal emosi yang kian menyesakkan naluri. Kali pertama aku benar-benar merasai kehilangan!

Segala kenangan bersama-sama ayah lewat hari-hari terakhir aku menjaganya sangat terkesan dalam hati. Setiap Selasa dan Khamis sudah menjadi rutinku menghantar dan mengambil ayah di Pusat Dialisis Kuari, Johor Jaya. Berumah tangga di hospital menjadikan jiwaku serasi dengan persekitaran hospital. Tahun pertama dan terakhir aku menyambut ulang tahun kelahiran di hospital berdua dengan ayah, akan menjadi kenangan terindah. Kenangan di wad ICU menjadi memori paling menyebakkan jiwa. Setiap kali menziarahi ayah, tidak pernah kulupa melafazkan ayat-ayat suci di telinganya. Mengelap tubuhnya yang semakin tenat. Membersihkan setiap liang di badannya tidak pernah aku rungut. Berbual-bual dengannya walaupun aku tak pasti sama ada dia mendengar atau tidak, sudah sebati saban hari. 

Ayah,
Kasihmu tiada penghujung. Jika sepanjang hayatmu akan kulafazkan al-Fatihah setiap selesai solat, itulah juga akan kulakukan sepanjang ketiadaanmu. Kehilanganmu amat dirasai... Pemergiaanmu menjadikan aku lebih kuat, lebih sabar dan bertimbang rasa. Rindu ayah....al-Fatihah.

No comments: