Pages

Thursday, October 29, 2009

Penuhi SKT Rumahtangga

"Hey, Maria!!!" Maria berpaling tatkala namanya dipanggil. Sebuah senyuman dilemparkan kepada seorang lelaki berkaca mata dan bertali leher. Tangan kanannya memimpin seorang anak seusia 10 tahun.

"Hey, Zahim!" suara Maria separuh menjerit kerana tidak menyangka bertemu kawan lamanya. Zahim kawan Maria semasa di English Collage ketika di Tingkatan Enam. Pintu bank separuh terbuka bagi memberi laluan kepada pengunjung lain. Maria berganjak ke tepi kaki lima agar kewujudannya tidak mengganggu orang awam.

"Kerja di sini kah?"

"Sebelah ni saja, DBP,"

"Ohhh...," Zahim mengangguk perlahan. "Dah berubah kau sekarang. Dulu comot...," berderai mereka ketawa.

"Kau pula kerja di mana sekarang?"

"Mengajar di Foon Yew, Larkin. Orang rumah aku pun mengajar juga,"

"Ooo...cikgu rupanya. Kau kahwin dengan siapa? Mei Lin?" Mei Lin itu merupakan kekasih Zahim sejak mereka di bangku sekolah lagi.

"Haaa lah! Dengan siapa lagi! Itulah satu-satunya amoi yang nakkan aku! Ini anak aku. Baru seorang," Zahim mengarahkan anak perempuannya bersalam dengan Maria.

"Seorang? Setahu aku, kau kahwin lebih awal daripada aku, kan?"

"Anak aku ni dah darjah empat, Maria. Mamanya yang tak nak beranak lagi. Nak buat macam mana? Dia dah tutup kilang!" wajah Zahim sedikit hampa.

"Anak aku dah tiga orang. Dua dah sekolah. Yang kecil baru 11 bulan," terbeliak mata Zahim mendengar pengakuan Maria.

"Kau baru bersalin lagi?"

"Kalau boleh, tiap-tiap tahun aku nak bersalin!"

"Ah, melampau sungguh!"

"SKT tak tercapai lagi tau. Aku hendak 10 orang anak. Ada tujuh lagi kekosongan!" ujar Maria bergurau. Zahim ketawa geli hati.

"Kau memang pandai...gunakanlah suami kau semaksima mungkin!" Maria gelak kecil. Memang dia suka anak yang ramai. Namun, tidak semua orang sepertinya. Isteri Zahim sendiri enggan mengandung lagi. Mereka beredar untuk meneruskan rutin masing-masing. Maria menghala ke Larkin untuk singgah ke Pasar Awam manakala Zahim pula mengarah ke Kampung Melayu untuk mengambil isterinya di sebuah sekolah. Pertemuan singkat itu menyedarkan Maria, betapa setiap anak itu telah ditetapkan Allah akan rezeki masing-masing. Mengandung dan beranak itu sememangnya fitrah wanita. Untuk apa ditakutkan? Pahala jihad sedang menanti tatkala wanita itu menahan kesakitan untuk melahirkan seorang hamba Allah. Itulah nikmat kehidupan.

Monday, October 26, 2009

Blackberry, Blueberry, Strawberry

Hadi memandu perlahan di celah-celah kenderaan lain yang bersimpang siur di Taman Putra. Maria yang duduk di sebelah kirinya melilau-lilau mencari petak kosong untuk memakir kenderaan.

"Penuhlah bang," keluh Maria.

"Alang kepalang dah sampai, kita kena beli juga," ujar Hadi sambil membelokkan kenderaan ke kanan untuk memenuhi petak kosong. Mereka berdua berasa lega kerana dipermudah kerja mereka. Dalam banyak-banyak kereta yang berpusing-pusing mencari petak kosong, mereka antara yang bernasib baik.

Hadi dan Maria menuju ke kedai telekomunikasi teman Hadi yang terletak di dalam kompleks beli-belah yang kononnya menawarkan harga runtuh setiap hari. Tidak hujan, tidak panas, tidak ribut, apatah lagi gempa bumi; mungkin kerana itu 1Malaysia memenuhi kompleks tersebut.

"Mr. Hadi!!!" teman Hadi berbangsa Cina memekik namanya. "Long time no see!" mereka berjabat tangan saling bertanya khabar.

"Lates model Sony Ericson ada kah?" tanya Hadi sambil membelek telefon bimbit lain yang dipamerkan di kedai tersebut.

"Lu angkat baru punyalah. Blackberry maa...boleh access internet!" Hadi memandang Maria. Mengangkat kening minta pandangan. Maria mengerutkan wajahnya.

"Mahallah bang. Tak naklah! Membazir! Bukan hari-hari nak hadap internet!"

"Bini gua tak maulah...,"

"Murah punya pun ada. Blueberry! Sama function dengan Blackberry! Buatan Malaysia tau!" lelaki Cina itu mengeluarkan model yang dikatakan Blueberry. Maria dan Hadi terkejut dan tergelak. Ada juga telefon bimbit jenama Blueberry. Ingatkan blueberry untuk buat kek saja!

"Hey, lu tau tak? Dulu aaa...PC keluar jenama Apple tau, tak lama aaa...Tomato pun keluar tau. Sekarang...Blackberry keluar aaa...tak lama Blueberry pula muncul. Dua-dua bini gua tak mau. Dia mau tunggu Strawberry...baru dia mau angkat satu!" berderai tawa ketiga-tiga mereka mendengar lelucon Hadi.

Maria membisikkan sesuatu di telinga Hadi. "Jangan beli yang mahal-mahal. Setakat boleh bercakap dan bermesej sudahlah,"

"Awak ni...buat malu saya tau. Adik saya yang masih belajar tu pun handphone harga 800!"

"Ah! Jangan peduli orang lain. Duit kita, suka hati kitalah! Kalau awak degil....awak balik jalan kaki!" sepantas kilat Maria merampas kunci kereta dari tangan Hadi.

"Tauke! Lu kasi gua, handphone yang paling murah abad ini! Kalau tak, nanti gua balik jalan kaki!"

"Paling murah aaa....," lelaki Cina itu menggeleng-gelengkan kepala. Mencapai telefon bimbit berjenama terkenal dari rak bercermin di belakangnya. "Lu angkat inilah. Tak mahal, tak murah. Kasi warranty seumur hidup, sebab lu sudah angkat banyak sama gua." Maria tersenyum mengangguk-angguk. Setuju. Tidak canggih penggunaannya dan dia pun tidak canggung menggunakannya.

Khasiat Daun Durian Belanda dan Jintan Hitam

Zurin yang sejak dua tiga hari kebelakangan ini menangis kerana demam panas, semakin menjadi-jadi tangisannya apabila diserang demam campak. Maria terpaksa membatalkan hasratnya untuk menonton teater pada petang itu.

"Tak payah pergilah, anak tak sihat tu. Lagi pun malam tadi dah pergi, kan?" Hadi memujuk Maria untuk tidak ke mana-mana pada petang itu. Sangat di luar jangkaan, apabila Zurin diserang demam campak. Sangka Maria setelah pulih daripada demam panas, Zurin akan terus sihat. Tuhan menguji lagi kesabarannya dengan dugaan yang bukan sedikit. Zurin menangis semalaman. Mungkin badannya gatal? Mungkin perutnya sakit? Semalaman Maria berjaga. Tidurnya terganggu dengan rengekan Zurin.

"Abang ada kerja di Kulim. Awak dan anak-anak minggu ni duduk rumah mak, ye," Maria menurut sahaja kehendak suaminya. Lagi pula, si kecil belum sihat sepenuhnya. Petang itu juga, Maria dan anak-anak menumpang sementara di rumah mentuanya sepanjang ketiadaan Hadi.

Ibu mentua Maria begitu prihatin dengan anak cucunya. Cukup mengambil berat hal-hal keluarga. Memang Maria beruntung mendapat ibu mentua yang sangat penyayang. Sanggup membantunya dalam apa jua keadaan.

"Jerlumkan kepala Zurin dengan air daun durian belanda. Insya-Allah cepat sembuh demamnya. Di pasar tadi, tak jumpa orang jual air kelapa. Kalau ada, boleh diminumkan si Zurin ni," Maria menurut kata ibu mentuanya. Dalam keadaan anak yang tidak sihat, Maria kurang bercakap apatah lagi untuk berbual-bual. Dalam hatinya hanya doa yang dipanjatkan agar si kecil segera sembuh. Khuatir hati seorang ibu, hanya Allah yang tahu. Namun, Maria tetap yakin dengan doanya. Doa seorang ibu akan dimakbulkan Allah.

Maria dikejutkan dengan tangisan Zurin yang tidak henti-henti. Bingung kepalanya dengan tangisan Zurin yang berterusan. Lampin pakai buang sudah ditukar, susu sudah diberikan, kepalanya sudah dituam. Entah apa lagi yang tidak kena!

"Maria, tuamkan jintan hitam ni dekat perut Zurin. Kembung perut agaknya," ibu mentua Maria sama-sama bersengkang mata menjaga Zurin. Jintan hitam yang telah disangai, dimasukkan ke dalam uncang kain, lalu dituam di perut Zurin. Beberapa kali dilakukan, tangisan Zurin semakin reda. Hati Maria agak lega apabila Zurin berhenti menangis. Jam di dinding tepat pukul 4.00 pagi. Sudah terlalu lewat untuk meneruskan tidur. Zurin dimasukkan ke dalam buaian. Dek kerana kepenatan menangis, Zurin tidur dengan lena.

Monday, October 19, 2009

Pabila Hati Sudah Berkenan

Sebaik sahaja kenduri tahlil di kampung selesai, Maria sekeluarga bergegas pulang ke rumah mentua pula. Pak Uda agak berkecil hati kerana Maria membatalkan hasrat awalnya untuk bermalam di rumahnya. Maria harus pulang lebih awal kerana keluarga mentuanya bakal menerima tetamu istimewa dari Melaka. Malam itu, Maria serta suami dan anak-anak bermalam di rumah mentua.

"Pukul berapa rombongan merisik sampai, mak?"

"Asha kata, pukul 12.30. Makan tengah hari di sini," ibu mentua Maria menjawab ringkas. Maria juga menyibuk di dapur, membantu serba sedikit apa-apa yang perlu. Jangan dikata, tahu makan sahaja! Asha, adik iparnya yang bakal dirisik juga sibuk membantu.

Majlis yang ringkas namun penuh makna tersendiri berjalan lancar. Pihak lelaki menghulur sebentuk cincin emas belah rotan sebagai cincin risik. Itu tandanya si gadis telah dicuri hatinya.

"Dari Melaka kami berlayar, singgah sebentar di Kampung Melayu; hasrat kami ingin melamar, gadis sunti nan ayu!" wakil pihak lelaki beradab berpantun. Sudah lama Maria tidak melihat adat Melayu dalam majlis merisik yang penuh dengan ungkapan pantun. Orang Melaka, memang suka berpantun gamaknya?

"Wajah pengantin disolek cantik, siap dengan jampi mentera; sekuntum bunga saja bisa dipetik, kerana yang lain belum bersedia!" jawapan pantun daripada pihak lelaki disambut oleh wali bakal pengantin. Hilai tawa memenuhi ruang tamu. Maria terpesona juga dengan bapa mentuanya yang spontan menjawab pantun. Ah, orang tua-tua memang pandai berpantun. Maria dan adik-adik iparnya yang lain turut ketawa geli hati. Macam zaman P. Ramlee! Maria teringat zaman daranya, tatkala dirinya dipinang seorang juragan!

"Apa??? Anak raja? Raja mana?" Hajah Milia terkejut besar semasa Maria menyatakan hasrat keluarga si juragan ingin datang meminang.

"Kahwin dengan orang biasa sudahlah! Tak payahlah pilih anak raja! Kita ni keturunan Jawa. Belum ada waris kita yang bernikah dengan kerabat raja," Hajah Milia berbicara lagi. Maria memandang wajah ibunya. Maria hilang kata-kata. Dia memandang wajah ayahnya meminta jawaban.

"Kita terima sajalah kedatangan pihak lelaki. Dah untung anak kita ada orang ndak! Kalau kita menolak, takut-takut si Maria ni tak kahwin sampai ke tua!" Maria tersenyum mendengar bicara sulung yang keluar daripada ayahnya. Haji Khair tersenyum mengangkat kening, membalas senyuman Maria.

"Bukan apa bang... si Maria ni, baru habis belajar. Kerja pun baru setahun. Memasak pun tak pandai. Saya bimbang, jaga laki pun dia tak reti!" Hajah Milia masih berkeras.

"Jangan bimbang... awak pun dulu, kahwin umur 17 tahun! Masak nasi jadi bubur, saya telan juga!" Haji Khair mempertahankan Maria. Maria ketawa kecil mendengar kisah ibu dan ayahnya. Lamunan Maria terganggu dek tangisan anak kecilnya, Zurin yang berusia 11 bulan. Maria bergegas menuju ke buaian rotan mendapatkan Zurin. Wajah ibu dan ayahnya lenyap sedikit demi sedikit. Kenangan itu sudah 10 tahun berlalu.

Friday, October 16, 2009

Ferrari Merah







Maria menjengah bilik bujang anak sulungnya. Si kecil itu sedang sibuk menyusun atur kereta-kereta mainannya. Komputer di sudut bilik dibiar menyala tanpa digunakan. Mulut Zaiqel tidak henti-henti berbicara sendiri, seolah-olah menghafal sesuatu.

"Ferrari V4, Ferrari 430 Scuderia, Ferrari Enzo, Ferrari 360, Ferrari F430, Ferrari GTO, Ferrari Novitec Rosso...,"

"Amboi...amboi...Kalau ingat nama Ferrari...bukan main cepat lagi. Bila suruh hafal surah lazim...uk..ak..uk..ak...bila suruh hafal sifir...ak...ek...ak...ek...tersekat...sekat! Ibu suruh kemas bilik, bukan suruh lap ferrari sampai kilat!" Maria berang. Lain yang disuruh, lain yang dibuat si anak.

"Ni kemaslah ni. Nak kemas macam mana lagi?" jawab Zaiqel sambil mengilap kereta-kereta Ferrari kesayangannya.

"Ibu pening tengok warna-warna merah ni!"

"Bu, merah tandanya berani! Ada juga Ferrari yang berwarna hitam. Di Jepun pula ada Ferrari berwarna putih dan silver. Ingat tak gambar yang Cik Wan hantar dari Jepun kelmarin tu...Ferrari tu model 430...,"
"Eh...dah! Sudah! Pening! Ibu tak minat kereta-kereta ni. Nak cerita fasal Ferrari, pergi cerita dengan ayah,"

"Eleeehhh....tak minat konon... Kalau abang belikan ibu satu, ibu nak tak? Buy one car, free one driver? Amacam?" Zaiqel sengaja menprovokasi Maria. Maria tergelak kecil. Besar sungguh harapan si anak. Zaiqel memang bercita-cita tinggi. Kononnya mahu menjadi big boss. Mahu menjadi orang kaya. Maria beralih ke sebelah Zaiqel.

"Nak jadi tauke, kena rajin berusaha!" bisik Maria di telinga si anak. Zaiqel tersengih menampakkan giginya yang bersih.

"I swear!"

Wednesday, October 14, 2009

Sekitar Pelancaran BBK 09 di Muzium Kota Tinggi

Terima kasih YB!
Cikgu Kassim tak menang tangan melayan peminat. Siapa kata orang tak baca buku 'Dewan'?

Pelancaran 'Meranduk Ranjau' oleh YB Asiah Md. Ariff.

Ilham rasa daripada penulis prolifik yang dirai, Cikgu Kasim Mahmud.






Ikrar setia bahasa.












Kedatangan YB Asiah Md. Ariff disambut dengan paluan kompang daripada murid-murid SK Laksamana, Kota Tinggi.







Masih sempat berbincang dengan Pengarah pada saat-saat akhir.

Monday, October 12, 2009

Kembali Bertugas

Semenjak memulakan semula urusan pejabat setelah bercuti raya, Maria tidak sempat melaksanakan tugasan-tugasan sampingan yang lain. Semua tumpuan diberikan sepenuhnya terhadap majlis penting yang dirancang sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2009. Penat, letih, pening, loya dan yang seangkatan dengannya silih berganti. Setiap hari Maria memulakan tugasan pejabat seawal 7.30 pagi, tatkala staf lain belum menapakkan kaki di pejabat. Teman sepejabatnya Encik Rashdi, merupakan staf yang paling awal menjengah tangga pejabat. Sering kali Maria terlajak waktu pulang. Sedar-sedar jam sudah menunjukkan pukul 5.45 petang. Mulalah dia kelam-kabut keluar dari pejabat untuk mengambil anak-anak di sekolah.

"Hai, Kak Maria...ceria nampaknya pagi ni," Molly, penolong akauntan di pejabat menegurnya penuh sopan.

"Mestilah ceria, program di Kota Tinggi dah selesai. Nak consentrate dengan JS dan manuskrip pula lepas ini," jawab Maria sambil menyelak-nyelak akhbar harian.

"Eh, ramai yang memuji pelancaran di Kota Tinggi kelmarin. Tahniahlah...semuanya berjalan lancar,"

"Terima kasih. Berkat usaha urus setia yang lain juga. Ada juga sedikit kecacatan yang orang tak perasan,"

"Biasalah tu. Tiada yang sempurna...buatlah lagi program di luar," cadang Molly.

"Kalau sudah diamanahkan, boleh saja...," Maria meninggalkan Molly dan menuju ke patisyen kerjanya untuk mendapatkan telefon yang berdering-dering.

"Puan Maria, dami JS sudah siap,"

"Boleh e-mel kepada saya?"

"Saya cuba. Kalau tak lepas, nanti staf saya hantar terus ke pejabat puan,"

"Baiklah,"

"Puan, jemput datang rumah terbuka esok, ya," Maria tidak berani berjanji. Terlalu banyak undangan rumah terbuka yang perlu dihadiri. Kadang-kala sehari sampai empat buah rumah. Badan baru nak susut sikit, banyak pula rumah terbuka yang perlu dihadiri.