Pages

Monday, October 26, 2009

Khasiat Daun Durian Belanda dan Jintan Hitam

Zurin yang sejak dua tiga hari kebelakangan ini menangis kerana demam panas, semakin menjadi-jadi tangisannya apabila diserang demam campak. Maria terpaksa membatalkan hasratnya untuk menonton teater pada petang itu.

"Tak payah pergilah, anak tak sihat tu. Lagi pun malam tadi dah pergi, kan?" Hadi memujuk Maria untuk tidak ke mana-mana pada petang itu. Sangat di luar jangkaan, apabila Zurin diserang demam campak. Sangka Maria setelah pulih daripada demam panas, Zurin akan terus sihat. Tuhan menguji lagi kesabarannya dengan dugaan yang bukan sedikit. Zurin menangis semalaman. Mungkin badannya gatal? Mungkin perutnya sakit? Semalaman Maria berjaga. Tidurnya terganggu dengan rengekan Zurin.

"Abang ada kerja di Kulim. Awak dan anak-anak minggu ni duduk rumah mak, ye," Maria menurut sahaja kehendak suaminya. Lagi pula, si kecil belum sihat sepenuhnya. Petang itu juga, Maria dan anak-anak menumpang sementara di rumah mentuanya sepanjang ketiadaan Hadi.

Ibu mentua Maria begitu prihatin dengan anak cucunya. Cukup mengambil berat hal-hal keluarga. Memang Maria beruntung mendapat ibu mentua yang sangat penyayang. Sanggup membantunya dalam apa jua keadaan.

"Jerlumkan kepala Zurin dengan air daun durian belanda. Insya-Allah cepat sembuh demamnya. Di pasar tadi, tak jumpa orang jual air kelapa. Kalau ada, boleh diminumkan si Zurin ni," Maria menurut kata ibu mentuanya. Dalam keadaan anak yang tidak sihat, Maria kurang bercakap apatah lagi untuk berbual-bual. Dalam hatinya hanya doa yang dipanjatkan agar si kecil segera sembuh. Khuatir hati seorang ibu, hanya Allah yang tahu. Namun, Maria tetap yakin dengan doanya. Doa seorang ibu akan dimakbulkan Allah.

Maria dikejutkan dengan tangisan Zurin yang tidak henti-henti. Bingung kepalanya dengan tangisan Zurin yang berterusan. Lampin pakai buang sudah ditukar, susu sudah diberikan, kepalanya sudah dituam. Entah apa lagi yang tidak kena!

"Maria, tuamkan jintan hitam ni dekat perut Zurin. Kembung perut agaknya," ibu mentua Maria sama-sama bersengkang mata menjaga Zurin. Jintan hitam yang telah disangai, dimasukkan ke dalam uncang kain, lalu dituam di perut Zurin. Beberapa kali dilakukan, tangisan Zurin semakin reda. Hati Maria agak lega apabila Zurin berhenti menangis. Jam di dinding tepat pukul 4.00 pagi. Sudah terlalu lewat untuk meneruskan tidur. Zurin dimasukkan ke dalam buaian. Dek kerana kepenatan menangis, Zurin tidur dengan lena.

2 comments:

Norasiah Md Isa said...

Oh, jintan hitam pun boleh merawat kembung perut ya. Tak perlulah sapu minyak telon atau minyak Yu Yee cap limau dengan bau yang agak kurang selesa tu. Terima kasih atas info yang baharu ini. :D

FadzliAbuBakar said...

saya takut dengan pijat... jadi saya tanam pokok durian belanda untuk dapatkan daunnya