Pages

Monday, October 19, 2009

Pabila Hati Sudah Berkenan

Sebaik sahaja kenduri tahlil di kampung selesai, Maria sekeluarga bergegas pulang ke rumah mentua pula. Pak Uda agak berkecil hati kerana Maria membatalkan hasrat awalnya untuk bermalam di rumahnya. Maria harus pulang lebih awal kerana keluarga mentuanya bakal menerima tetamu istimewa dari Melaka. Malam itu, Maria serta suami dan anak-anak bermalam di rumah mentua.

"Pukul berapa rombongan merisik sampai, mak?"

"Asha kata, pukul 12.30. Makan tengah hari di sini," ibu mentua Maria menjawab ringkas. Maria juga menyibuk di dapur, membantu serba sedikit apa-apa yang perlu. Jangan dikata, tahu makan sahaja! Asha, adik iparnya yang bakal dirisik juga sibuk membantu.

Majlis yang ringkas namun penuh makna tersendiri berjalan lancar. Pihak lelaki menghulur sebentuk cincin emas belah rotan sebagai cincin risik. Itu tandanya si gadis telah dicuri hatinya.

"Dari Melaka kami berlayar, singgah sebentar di Kampung Melayu; hasrat kami ingin melamar, gadis sunti nan ayu!" wakil pihak lelaki beradab berpantun. Sudah lama Maria tidak melihat adat Melayu dalam majlis merisik yang penuh dengan ungkapan pantun. Orang Melaka, memang suka berpantun gamaknya?

"Wajah pengantin disolek cantik, siap dengan jampi mentera; sekuntum bunga saja bisa dipetik, kerana yang lain belum bersedia!" jawapan pantun daripada pihak lelaki disambut oleh wali bakal pengantin. Hilai tawa memenuhi ruang tamu. Maria terpesona juga dengan bapa mentuanya yang spontan menjawab pantun. Ah, orang tua-tua memang pandai berpantun. Maria dan adik-adik iparnya yang lain turut ketawa geli hati. Macam zaman P. Ramlee! Maria teringat zaman daranya, tatkala dirinya dipinang seorang juragan!

"Apa??? Anak raja? Raja mana?" Hajah Milia terkejut besar semasa Maria menyatakan hasrat keluarga si juragan ingin datang meminang.

"Kahwin dengan orang biasa sudahlah! Tak payahlah pilih anak raja! Kita ni keturunan Jawa. Belum ada waris kita yang bernikah dengan kerabat raja," Hajah Milia berbicara lagi. Maria memandang wajah ibunya. Maria hilang kata-kata. Dia memandang wajah ayahnya meminta jawaban.

"Kita terima sajalah kedatangan pihak lelaki. Dah untung anak kita ada orang ndak! Kalau kita menolak, takut-takut si Maria ni tak kahwin sampai ke tua!" Maria tersenyum mendengar bicara sulung yang keluar daripada ayahnya. Haji Khair tersenyum mengangkat kening, membalas senyuman Maria.

"Bukan apa bang... si Maria ni, baru habis belajar. Kerja pun baru setahun. Memasak pun tak pandai. Saya bimbang, jaga laki pun dia tak reti!" Hajah Milia masih berkeras.

"Jangan bimbang... awak pun dulu, kahwin umur 17 tahun! Masak nasi jadi bubur, saya telan juga!" Haji Khair mempertahankan Maria. Maria ketawa kecil mendengar kisah ibu dan ayahnya. Lamunan Maria terganggu dek tangisan anak kecilnya, Zurin yang berusia 11 bulan. Maria bergegas menuju ke buaian rotan mendapatkan Zurin. Wajah ibu dan ayahnya lenyap sedikit demi sedikit. Kenangan itu sudah 10 tahun berlalu.

2 comments:

Md Nizar Parman said...

Salam Zura,
Alangkah untungnya menjadi Maria yang dipinang Putera Raja... Kiranya macam fairy tale la ni... Hehehe... seronok membacanya. Maklumlah, dah lama terhenti di hujung jari.

Melihat Kesunyataan said...

Saya pun dah macam Haji Khair, zaman nak melihat anak-anak naik pelamin. Maklumlah anak-anak dah besar dan dah bekerja.