Pages

Monday, December 21, 2009

Hari-hari Terakhir Cuti Sekolah

"Ok...Everbody! Makan time! Wash your hands and sit down!" Maria mengeluarkan arahan. Anak-anaknya Zaiqel dan Zurin berlari merebut tempat makan dituruti sepupu mereka yang lain, Isac, Muza, Syirah dan Qaan. Mereka merupakan anak-anak saudara Maria yang umurnya lebih kurang sebaya dengan anak-anak Maria. Minggu-minggu terakhir cuti sekolah, mereka tinggal bersama-sama keluarga Maria.

"Hari ni Mak Long masak ikan pari bakar dan sup cendawan! Makan puas-puas! Siapa makan tak habis, kena denda basuh pinggan!" keenam-enam mereka memandang Maria hampir serentak. Mata mereka terbeliak.

"Apa??? Basuh pinggan? Oooohhh...no!" Qaan, anak saudaranya yang paling kecil menggeleng-gelengkan kepala. Maria tersenyum. Isac mengetuai bacaan doa. Mereka makan dengan tertib walaupun nampak terlalu lapar. Sambil mendukung si kecil, Maria menuang air oren di gelas masing-masing. Dia melayan mereka bagai anak sendiri. Dia senang dengan keriuhan yang dicipta mereka. Bukan selalu rumahnya gamat dengan suara kanak-kanak. Sesekali kelihatan mereka berebut makanan yang terhidang. Sesekali mereka bergurau ketawa terbahak-bahak. Sesekali mereka tersedak kerana makan agak gelojoh. Sesekali mereka mengerling ke arah Maria yang memerhati mereka makan.

"Selesai makan...solat zuhur terus. Jangan berebut bilik air. Hari ni Zaiqel jadi imam,"

"Eh, semalam abang dah jadi imam. Hari ni Isac pulaklah!" Zaiqel cuba mengelak.

"Eh, apa salahnya hari-hari kau yang jadi imam," balas Isac.

"Eh, kaulah pulak. Bapak kau ustaz kan? Lebih besar pahala kita kalau kau yang jadi imam!" Zaiqel seboleh-boleh mengelak. Kunyahan Isac terhenti dengan bicara Zaiqel. Mukanya berkerut.

"Oklah! Sebab dapat pahala besar, biar aku yang jadi imam." Isac termakan dengan kata-kata Zaiqel. Maria tersengih mendengar ulah anak-anak kecil di depannya. Senang hatinya dengan anak-anak yang mendengar kata. Cuma yang Maria pening, rumahnya tonggang-langgang dengan permainan dan segala macam perkakasan. Dia sering berdoa agar tiada tetamu yang datang tika rumahnya bergelandangan. Lantai yang telah dimop kembali kotor dengan bekas tapak kaki mereka. Mereka keluar masuk rumah tanpa memikirkan kebersihan diri. Baju yang berbau hapak dicampak sesedap hati di depan mesin basuh. Cekera padat bersepah-sepah di bawah rak televisyen. Komputer terbiar bernyala tidak digunakan. Sinki penuh dengan cawan. Pun begitu Maria tidak mengeluh. Dia tahu perangai anak-anak kecil. Sesekali dia menegur juga perangai mereka yang tidak tertib sebagai pendidikan dan ilmu yang perlu diamalkan supaya mereka lebih berdisiplin.

Menjelang petang mereka akan berbasikal ke taman permainan kanak-kanak. Jaraknya cuma 100 meter dari rumah Maria. Maria membekalkan kepada mereka beberapa botol air mineral untuk menghilangkan dahaga. Anak-anak alaf baru tidak bermain seperti dia pada zaman kanak-kanaknya. Mereka tidak mengenali batu seremban, teng-teng, peluk tiang, dan pelbagai lagi permaianan lama. Yang mereka tahu mengayuh basikal sehingga lewat petang, menghadap komputer untuk bermain 'game', menekan PS2 mengikut giliran, dan membina lego dengan reka bentuk yang pelik-pelik.

"Balik sebelum magrib tau," pesan Maria sambil menutup pagar utama. Dia berdoa agar anak-anak itu sentiasa dalam lindungan Tuhan. Selamat hendaknya.

1 comment:

Azhar Salleh said...

Salam MARIA,
Ya, anak-anak sekarang tidak seperti kita dahulu. Lantaran itu, kita peganglah kata-kata Saiyidina Umar; ajarlah anak-anakmu seperti zaman mereka. Mudah-mudahan, anak-anak kita semua akan mendapat perlindungan Allah SWT.