Pages

Friday, December 11, 2009

Mas Kahwin

"Kerajaan Antaboga telah meningkatkan kadar mas kahwin sebanyak 200%."

"Wow! Berita ni mengejutkan. Kenapa mesti naikkan jumlah mas kahwin? Tak patut...tak patut...," suami Maria menggelengkan kepala mendengar berita di kaca televisyen. Sambil menjamu juadah makan malam bersama keluarga, mulutnya tidak henti-henti bercakap.

"Habislah...semakin ramailah orang yang tak kahwin. Lebih teruk, semakin ramailah anak dara tua!" mulutnya menceceh lagi sambil mencubit ikan goreng di depan mata. Maria yang duduk di sebelahnya mengerutkan muka. Pelbagai persoalan timbul dalam benaknya. Bukan semata-mata tentang kadar baru mas kahwin sebanyak 300.00 yang baru diisytiharkan, tetapi tentang kecamuk fikiran suaminya.

"Aik? Abang pula yang tak puas hati? Abangkan dah kahwin!" Maria melahirkan ketidakpuasan hatinya.

"Memang abang dah kahwin...tapi abang 'belum kahwin lagi...'!" jawab Hadi selamba. Biji mata Maria terbeliak.

"Apa? Belum kahwin lagi???"

"Yalah...dah kahwin, tapi belum kahwin lagi! Tak faham? Kerja kat Dewan Bahasa pun tak faham bahasa?" jerkah Hadi tersenyum-senyum. Laju sahaja cubitan Maria singgah di peha suaminya. Gatal! Getus hatinya. Hadi menggosok-gosok pehanya. Tersengih!

"Tapi, abang tak setujulah mas kahwin tinggi-tinggi," sambung Hadi lagi. "Untung saya, bayar 22.50 saja! Sepatutnya negeri Antaboga tu kena mencontohi kerajaan Hujung Tanah ni! Yang dok pandai-pandai naikkan kadar tu buat apa? Banyak lagi masalah lain tak selesai. Tak cerdik langsung!"

"Harga barang dah naik sekarang, bang. Mas kahwin pun kena meningkat jugalah," ujar Maria sambil menuangkan air ke dalam gelas Hadi.

"Sebab harga barang naiklah, mas kahwin sepatutnya semakin rendah! Isteri yang nak dikahwini tu, bukan barang dagangan!" bantah Hadi.

"Kadar 300.00 tu untuk negeri Antaboga sajalah, bang...,"

"Ya, abang tahu. Tapi, sebaik-baik perkahwinan ialah serendah-rendah mahar. Itu sabda Nabi tau, bukan kata abang." Hadi bangkit dari tempat duduk. Mengelap tangan dan mulutnya. Dia mencapai alat kawalan jauh televisyen. Menukar siaran lain. Berita di kaca televisyen belum pun selesai. Isu mas kahwin sedikit sebanyak membuatkan mood menontonnya berkurangan.

5 comments:

Md Nizar Parman said...

Salam Maria,
Tergelak baca entri ini. Itu baru mas kahwin! Lepas ini, mungkin hantaran pula yang akan naik pula. Lalala.... (alhamdulillah jadi warga Hujung Tanah ni).

Melihat Kesunyataan said...

Saya sokong dinaikkan. Di hujung Tanah ni RM22.50 tu dah lama sangat, sejak sebelum merdeka lagi.

Rusdi Abd Rahman said...

Pn. Maria,
Apa...? mas kahwin di Johor cuma RM22.50?

Umpama harga petrol naik - pabila mas kahwin naik maka hantaran juga naik berdasarkan peratus kenaikan mas kahwin, mungkinkah?

Azhar Salleh said...

Salam MARIA,
Mas kahwin naik menjadi RM300.00, apalah sangat yang nak dihebohkan. Beli benda lain beratus, beribu, tak bising pun, tapi memenuhi tuntutan agama, RM300 macam 3 juta! Kalau tak ada duit, jangan kahwin lagi. Cari duit dulu, kerja keras, pandai menyimpan, isi tabung, dan insya-Allah, Allah Maha Kaya.

Legasi said...

Salam Puan Maria,

Ya! kisah ini memang tergolong dalam genre yang kelakar seram. "Beta" akan kekalkan MAS KAWIN RM22.50 di selatan ini...kalau ada turun naik harga umpama jual beli barang di Pasar Raya SOGa di Antaboga. Bukankah begitu? :-)