Kedai buku yang tidak begitu popular di kawasan kediaman Maria menjadi destinasi terakhirnya sebelum pulang ke rumah. Diari 2010 dibelek-belek. Memilih yang terbaik untuk digunakan bagi hal-hal rasmi dan peribadinya kelak. Jika hendak diharapkan diari kerajaan atau diari 'sponsor' alamat...sedikit terganggulah perjalanan projek baru yang telah dirancangnya.
Antara sedar dengan tidak, tahun hijrah sudah berganjak. Dan tinggal beberapa hari sahaja lagi, masihi akan mengorak langkah seterusnya. Diam tak diam, umurnya juga semakin meningkat. Maria melakarkan senyuman paling manis, tatkala wajahnya bertembung dengan cermin besar di kedai buku tersebut. 'Ah, masih vouge lagi!' detik naluri wanitanya sambil membetul-betulkankan tudungnya yang sudah sedia terletak elok. Sengaja menyedapkan hati sendiri. Peningkatan usia bukan halangan untuk Maria kekal cergas. Perubahan fizikal sudah tentu akan mengundangnya. Namun, masih belum terlambat untuk menyekat anjakan perubahan fizikalnya. Maria masih bertenaga melaksanakan tugas-tugas rasmi pejabat. Ideanya masih segar. Matanya masih tajam mencari silap dalam setiap manuskrip yang ditangani. Rutin harian di rumah juga masih mampu dilaksanakan tanpa bantuan pembantu rumah.
'Aku masih mampu mengandung lagi apaaa...,' bisik hatinya lagi sambil jari jemarinya ligat menyelak majalah Mum's di rak kedai buku tersebut. Geli hatinya membaca artikel tentang wanita yang mengandung dalam usia lewat 40-an.
'Teknologi semakin canggih. Lepas pencen pun perempuan sekarang boleh mengandung lagi, asalkan belum menopause!' monolognya semakin jauh. Fikirannya melayang-layang walaupun matanya setia menatap majalah ringan di hadapannya.
'Ah, umur sekadar angka. Peningkatannya harus seiring dengan amalan di dunia untuk bekalan di akhirat.'
Maria melangkah keluar dari kedai buku dengan sebuah diari perancangan tahunan dan sekeping kalender meja yang diperoleh secara percuma. Dengan penuh tekad, Maria merenung langit yang semakin gelap. Setiap hari merupakan hari yang perlu dibaiki. Tidak perlu tunggu tahun baru untuk meningkatkan kualiti diri. Selamat tahun baru!
6 comments:
salam ziarah
teruskan berblogging..
Apa lagi macam saya ni...Aduh sudah dalam kategori diberi bonus..
Salam PUAN MARIA,
Benar, umur sekadar angka, tetapi angka berubah, umur berubah! Itu yang masalahnya. Kalau angka berubah, umur macam itu jugak, ini sudah bagus! Apa-apapun, umur anugerah Allah SWT dan wajiblah kita mensyukurinya. Orang kata, lelaki, makin berusia, makin pekat santannya seperti kelapa. Betul tak Tuan Haji Shapiai? Perempuan, makin berusia, makin apa ya?
sdr. ajahare
terima kasih atas kunjungan dan sokongan.
Tuan Haji,
Bonus pun satu rahmat dan rezeki...
Cikgu Pisang Sejoli,
perempuan semakin tua semakin anggun ibadahnya...(pinjam kata-kata ustazah cakaran harimau).
Azhar,
Pada saya perempuan semakin berusia semakin pandai mengasihi dan makin bertimbang rasa.
Betul tak Zura?
Tuan Haji,
saya setuju pendpt tu. mungkin sbb itu jgklah...lelaki yg nak kahwin lagi satu, dia tunggu 'usia matang' isteri pertama...
Post a Comment