Lewat petang setelah pulang daripada melaksanakan urusan rasmi di ibu pejabat Kuala Lumpur, Maria menatap komputer riba suaminya. Hadi yang kepenatan kerana menemaninya sepanjang perjalanan, lena di ruang tamu. Anak-anak sibuk berbasikal bersama anak-anak jiran. Selagi tidak hujan, mereka tidak akan bertandang ke rumah masing-masing. Selagi tidak ribut, mereka akan mengelilingi dunia mereka. Selagi tidak tsunami, mereka akan terus menongkah pawana petang.
Maria duduk membaca e-mel. Sewarkah e-mel daripada seorang teman yang sangat akrab dengannya suatu waktu dahulu, membuatkan dia tersenyum. Girang.
'Maria...sememangnya aku berazam untuk menamatkan zaman bujangku pada tahun ini. Aku nekad. Aku berdoa. Tapi, aku tidak tahu dengan siapa? Allah menentukan jalanku, Maria. Seperti yang pernah kau katakan, reda dan bersyukurlah dengan ketentuan-Nya. Aku terima lamarannya Ramadan yang lalu. Kami bertunang, sebulan kemudian. Dan sempena Aidiladha yang lalu, kami diijabkabulkan. Cuti Krismas nanti, kami akan mengadakan walimatul urus serentak dengan saudara lelakiku. Maria, terima kasih atas semangat dan doa-doa kau. Aku bahagia. Salam untuk teman-teman di sana. LEENA.'
Leena, sahabat karib Maria sudah selamat menjadi isteri orang. Sekalipun agak lewat, namun jodohnya sampai jua. Tuhan lebih tahu. Maria menaip satu persatu aksara di kekunci komputer ribanya. Membalas e-mel tersebut dengan doa dan harapan. Leena yang dikenalinya, seorang gadis periang. Hatinya penuh dengan kasih sayang. Jiwa wanitanya lembut. Leena seorang yang puitis dan kreatif. Sering membantu dan sangat peramah.
Maria menekan butang 'send' lalu menutup komputernya. Tiada yang lebih menggembirakannya pada hari itu melainkan apabila membaca berita perkahwinan Leena. Selamat berbahagia!
No comments:
Post a Comment