Menurut Kamus Oxford buku ialah a
portable written or printed treatise, filing a number of sheets, fastened
together. Kamus Webster pula mendefinisikannya sebagai a set of written, printed or blank sheets bound together into a volume.
United Nations
Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) telah mengklasifikasikan
buku sebagai lembaran kertas bercetak yang dijilidkan, mempunyai kulit (yang
berbeza kertas dengan kertas teks) dan mempunyai lebih daripada 49 halaman.
Baru-baru ini, UNESCO telah menambah definisi buku, iaitu dicetak
sekurang-kurangnya 50 naskhah dan terbuka untuk jualan (tapi bagi saya, naskhah yang tidak dijual juga adalah buku jika lengkap fizikalnya sebagai sebuah buku).
Apa pun takrifan buku,
ia tetap diberi perhatian masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahuan. Sehingga
dunia mengiktiraf 23 April setiap tahun sebagai Hari Buku Sedunia. Dan buku
sering kali dikaitkan dengan budaya dan amalan membaca. Di Malaysia senario
menunggu sambil membaca belum diterapkan sepenuhnya dalam jiwa masyarakat.
Membaca di dalam pengangkutan awam juga sangat jarang dilakukan. Lebih
memburukkan keadaan, tiada rak buku disediakan di rumah. Walau bagaimanapun,
statistik menunjukkan amalan membaca rakyat Malaysia meningkat pada setiap
tahun. Mungkin juga tahap keterbacaan ini bergantung pada pendapatan isi rumah.
Peruntukan untuk membeli dan membaca buku sangat terbatas. Perpustakaan awam
pula tidak menyediakan bahan bacaan terkini untuk pengunjung, sedangkan itulah
yang mereka perlukan apabila berkunjung ke perpustakaan.
Sebenarnya buku telah
menjadi medium komunikasi massa kepada manusia sejak lebih 5000 tahun yang
lalu. Apabila mesin cetak diperkenal, maka bermulalah zaman perkembangan buku.
Ia mempunyai hubungan rapat dengan kebudayaan masyarakat awal Mesir purba,
Mesopotamia, China dan kerajaan Rom dan Byzantine. Kegiatan persuratan pada
zaman Mesir purba jelas menunjukkan penggunaan pokok papirus sebagai kertas
yang digunakan untuk membuat buku. Apabila zaman semakin berkembang, manusia
menjadikan kulit binatang sebagai kertas untuk menghasilkan buku. Sehinggalah
pada zaman empayar Rom, kertas codex
pula diperkenal secara meluas bagi menggantikan papirus dan kulit binatang. Jelas,
betapa pentingnya buku!
Amalan membaca buku
wajar diterapkan seawal usia kanak-kanak. Biarpun pada peringkat itu mereka baru
mengenal huruf, usaha tersebut perlu diteruskan bagi memupuk kecintaan terhadap
buku dan budaya membaca. Peranan ibu bapa dan guru sangat penting bagi
menggalakkan anak-anak membaca kerana hanya dengan membaca buku kita beroleh
ilmu dan maklumat yang konsisten dan dipercayai. Kita boleh sahaja mencari ilmu
dan maklumat dengan melayari internet, namun sejauh mana kesahihannya masih
boleh dipertikai.
Suatu ketika dahulu
seorang sarjana barat, iaitu Marshall McLuhan pernah meramalkan yang buku akan
‘mati’ apabila kecanggihan internet semakin berleluasa. Namun, sehingga kini
ramalan McLuhan itu belum menampakkan sebarang tanda sedangkan McLuhan sendiri
telah lama mati.