Pages

Friday, May 22, 2009

Kota Buku

Dua hari yang lalu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyidin Yassin telah mengumumkan tentang penubuhan Kota Buku di Kuala Lumpur. Ini berita baik untuk para peminat, penulis, dan penerbit buku di tanah air. Jika benar bagai dikata, Malaysia bakal menjadi satu hab perbukuan. Kota Buku ini bakal menghimpunkan buku-buku (karya asli dan terjemahan) dari seluruh dunia. Ini membuka peluang kepada industri perbukuan Malaysia untuk memartabatkan bisnes buku dan menyemarakkan lagi minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Kota Buku ini (seperti yang diuar-uarkan), akan dibina di Kuala Lumpur (mungkin di Putrajaya) dan akan menjadi satu lagi mercu tanda Malaysia (mudah-mudahan). Malaysia bakal dikenali sebagai kota ilmu apabila siap terbinanya 'mahligai' ini. Namun, pembinaannya hanya akan bermula pada akhir tahun ini (mungkin saat ini kertas awalannya masih dalam proses penyuntingan). Dan, jika benar bagai dikata, rakyat Malaysia sendiri harus bersedia menjadi warga berilmu tanpa mengira status pekerjaan, latar belakang pendidikan, dan kemampuan ekonomi. Pendek kata, jika negara ini mahu dikenali sebagai 'kota ilmu', minda kita mestilah pada tahap kelas pertama (termasuk pemandu teksi yang bakal belajar bahasa Inggeris). Kita sewajarnya mencontohi Perancis yang dikenali dunia dengan jolokan 'kota fesyen'. Rakyatnya kaya dengan fesyen pakaian terkini. Perancis meriah dengan festival fesyen yang turut disertai pereka fesyen seantero dunia. Mereka mampu menonjolkan model-model yang mampu membawa imej fesyen mereka ke seluruh pelusuk benua! Itulah Perancis (yang masih kekal dengan bahasa kebangsaannya di mana saja mereka berada) sekalipun mereka merentas dunia! Mampukah Malaysia membawa imej 'kota ilmu' ini seperti mana Perancis dengan 'kota fesyen'nya?
Semoga impian murni TPM dan seluruh penerbit buku (termasuk DBP) menyambut baik usaha ini (walaupun tapaknya masih kosong). Harapan penulis, maklumat ini benar bagai dikata. Jangan pula jadi seperti Perkampungan Filem yang suatu masa dahulu hebat diperkata, akhirnya impian tinggal impian...

Wednesday, May 20, 2009

Semoga Panjang Umur


Happy 8th Birthday!
Kek pemberian opah, jersi MU hadiah daripada ibu, topi Ferrari istimewa daripada ayah.


Lapan tahun yang lalu, saya melahirkan seorang bayi lelaki yang menjadi kesayangan keluarga (lebih-lebih lagi keluarga sebelah saya), kerana inilah cucu sulung emak dan ayah saya. Mereka sangat teruja dengan kehadirannya. Dia menjadi rebutan! Setiap minggu ada saja yang meminjamnya untuk dibawa berjalan-jalan. Dia juga dijadikan anak angkat kepada adik ketiga saya. Emak dan ayah saya pasti akan membelikan cucu sulung mereka ini dengan bermacam-macam hadiah jika mereka keluar melancong ke mana-mana.

Cucu dan anak sulung ini karektornya berlainan dengan adik-adiknya. Dia terlalu banyak bertanya. Terlalu banyak bercakap. Orang putih kata 'noisy'. Tapi, cepat merajuk. Kalau hatinya sedih, dia mudah mengalirkan air mata (walaupun tak meraung-raung). Tengok cerita sedih di TV pun boleh menangis??? Ya, hatinya sensitif, mudah tersentuh. Tengok kucing terbiar pun meleleh air mata...Tapi, dia seorang yang aktif. Suka melakukan aktiviti luar (bermain, bercucuk tanam, berlatih silat). Dia sangat 'gila' akan kereta (terutamanya kereta lumba dan kereta mewah). Tanyalah apa saja jenama kereta di dunia ini...pasti dia tahu. Bukan setakat tahu nama, malahan berupaya melukis simbol/lambang kereta tersebut (ayahnya pun kadang-kadang kalah dengan dia). Koleksi kereta mainannya...huhhhh! penuh satu bilik! Ferrari menjadi kebanggaannya. Marah sungguh dia jika Ferrari kalah dalam perlumbaan F1. Dia juga minat dengan bola. Maaf cakap...M.U menjadi kelab bola sepak kegemarannya (nampaknya dia tak boleh geng dengan anak Encik Rusdi). Walaupun kadang-kadang di memuji Everton, namun M.U tetap dalam hatinya. Yang paling saya suka, dia pandai melukis. Lukisannya sering mendapat pujian para guru dan belum pernah mendapat gred selain A dalam subjek Pendidikan Seni dan Visual dalam peperiksaan. Bakat ini mungkin mengalir daripada ayahnya.

Kini, cucu sulung itu telah genap lapan tahun usianya (19 Mei 2009). Dia tetap menjadi kesayangan atuk dan opahnya walaupun dia telah memiliki dua lagi adik. Cucu sulung tetap cucu sulung. Layanannya sangat istimewa jika dibandingkan dengan cucu-cucu yang lain. Tahun ini, seperti tahun-tahun yang sudah, majlis hari jadinya disambut dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan (apatah lagi dia sedang dalam minggu peperiksaan).

Semoga anak ini terus cemerlang dalam pelajaran, tinggi budi pekerti dan penuh iman di dada.

Sushi Party

Tomoko menunjukkan cara-cara membuat sushi

Eeemmm...sedap!

Sedia untuk dimakan
Baru-baru ini jiran Jepun saya mengundang kami sekeluarga menjamu selera di rumahnya. Kami sungguh terharu dengan kesungguhannya mengadakan jamuan sushi. Kebetulan hari tersebut (16 Mei) ialah hari cuti dan bersamaan dengan hari lahir adik ipar saya. Maka kami meraikan ulang tahun kelahirannya dengan SUSHI PARTY! Meriah sungguh! Walaupun jiran saya itu berbangsa Jepun, yang sangat berlainan adat resam, budaya dan agamanya dengan saya sekeluarga namun mereka sangat menghormati kami. Mereka maklum makanan yang boleh dan tidak boleh dimakan oleh orang Islam. Sememangnya sejak awal suami saya sudah memaklumkan kepada mereka bahawa kami sekeluarga sama sekali tidak boleh makan makanan yang mempunyai unsur-unsur khinzir, alkohol dan minuman yang memabukkan. Mereka akur...sehingga mereka sekarang sudah pandai menyebut HALAL...HARAM... (dengan pelat Jepunnya).

Saya berkesempatan mempelajari cara-cara membuat dan menyediakan sushi. Sekarang, saya tidak perlu lagi pergi ke mana-mana restoran sushi! Sushi di sini harganya agak mahal (ikut warna piring!). Walaupun hanya dihidangkan dengan sushi dan salad (termasuk kek hari jadi), kami tetap kenyang. Maklumlah, sushi dibuat daripada beras Jepun yang agak melekat-lekat (walaupun tidak melekit). Sungguh mengenyangkan. Tomoko juga telah mengubah suai sushinya dengan campuran serunding. Memang sedap! Di akhir majlis, baru saya perasan yang semua makanan yang terhidang pada hari itu langsung tidak berminyak! Ini sesuatu yang baik untuk kesihatan. Arigato kozaimas te!

Wednesday, May 13, 2009

Anak-anak Periksa, Ibu yang Gusar

Sepanjang minggu ini anak-anak saya menduduki peperiksaan setengah tahun di sekolah agama. Minggu depan pula, mereka akan mengambil peperiksaan yang serupa bagi sekolah kebangsaan. Saya mengerah mereka mengulang kaji pelajaran sepanjang tempoh tersebut. Beberapa larangan terpaksa dibuat untuk meningkatkan prestasi masing-masing, antaranya DILARANG MENONTON TV, DILARANG BERMAIN GAME, DILARANG MAKAN KEPALA IKAN, DILARANG KETAWA TERBAHAK-BAHAK, DILARANG TIDUR LAMBAT, dan DILARANG MENGHADAP KOMPUTER MELEBIHI DUA JAM. Sungguh pun mereka merengus dengan larangan-larang tersebut, namun nampaknya mereka akur setelah saya bentangkan risiko yang perlu mereka tanggung sekiranya pantang larang tersebut tidak dipatuhi. Saya tidak sama sekali menggunakan kekerasan, tapi tekak saya ni kadang-kala sakit juga apabila arahan tidak dipatuhi.

Ini baru peperiksaan setengah tahun. Belum lagi peperiksaan yang besar-besar. Saya melatih mereka berdisiplin dengan menubuhkan undang-undang kecil di rumah. Undang-undang yang telah diwartakan, wajib dilaksanakan! Jika tidak mereka akan dikompaun. Sepanjang dua minggu ini, saya sering melihat jam. Dalam kepala sering terfikir, bolehkah mereka mengekalkan prestasi cemerlang seperti keputusan yang sudah-sudah? Terbayang wajah mereka menjawab soalan di sekolah. Ah, anak baru sekolah rendah, ibu dah kalut! Namun, dalam kekalutan dan kegusaran...saya tetap tidur dengan lena! Tidur tetap tidur... All the best for both of you, my kids!

Tuesday, May 12, 2009

Cebisan Kertas Penuh Makna

Ketika seluruh warga dunia menyambut Hari Ibu pada 10 Mei yang lalu, kami sekeluarga menyambutnya dengan penuh kesederhanaan dan penuh kesyukuran kerana saya dan suami, masing-masing masih mempunyai ibu. Anak-anak kami juga masih bernasib baik kerana beribu. Kami berada di rumah ibu mertua pada hari tersebut. Meraikannya bersama-sama adik-adik ipar yang berderet-deret. Kami kenduri 'pizza' yang dibuat sendiri....Sedapppp...lebih sedap daripada Pizza Hut! Dengan sekilo tepung, kami berjaya menghasilkan antara 5-7 keping piza! Memang berbaloi! Untuk emak tersayang, saya sampaikan 'Zikir Rindu' karya Azizi Abdullah, memandangkan emak saya sangat gemar membaca novel (sekalipun hayatnya menjulang usia emas!). Syabas mak!!!
Saya bisikan kepada suami, bahawa 10 Mei 2009 ialah hari ibu. Jawabnya ''you're not my mother..." Ya, saya bukan ibunya...tetapi saya ibu kepada anak-anaknya. Lelaki selalu terlupa akan hal itu. Apabila kenyataan itu saya keluarkan, barulah dia tersenyum...bersetuju dengan kenyataan itu. Lalu, dia mengoyakkan secebis kertas dan menulis 'Selamat Hari Ibu'. Dia menghulurkannya kepada saya. Suami saya, sejak sebelum berkahwin sehingga kini, amat tidak suka akan warkah-warkah cinta, kad-kad cinta, hatta ayat-ayat cinta sekalipun! Semasa pertemuan kali pertama dahulu, dia menzahirkan perasaan suka terhadap saya hanya dengan secebis kertas (yang ntah daripada mana dia koyakkan). Cebisan kertas itu, tertera 'Boleh berkenalan dengan awak tak?'. Hahahahaa....mujurlah saya saya tidak mencampakkan cebisan kertas itu ke dalam tong MBJB! Kalau tidak, pastinya saya tidak tahu niat suci hatinya. Oleh sebab pertanyaan dalam cebisan kertas itu tidak saya jawab, keesokan harinya saya menerima satu lagi cebisan kertas. Cebisan tersebut tertera beberapa digit angka keramat! Itulah nombor telefonnya! Huh! What kind of person this guy??? Itulah yang terlintas dalam fikiran saya. Kerana cebisan-cebisan kertas itulah, maka kami akhirnya bertahan sehingga ke hari ini. Dan...semua cebisan kertas yang pernah dihulurkan kepada saya, masih setia dalam simpanan saya. Cebisan kertas itu semua punya sentimental value yang tersendiri. Thanks abang...

Tuesday, May 5, 2009

Ketidakstabilan Emosi

Sejak dua tiga hari kebelakangan ini, seisi keluarga diserang deman, selsema dan ketidakstabilan emosi. Anak-anak saya baru pulih daripada demam dan selsema. Alhamdulillah... Tetapi penyakit tersebut kini berjangkit kepada saya. Mungkin kurang vitamin dan sistem imunisasi yang agak rapuh. Seperti mana biasa, hanya herba yang bisa menjadi penawar. Selain minum air rendaman bunga cengkih untuk menghilangkan kegatalan tekak, saya juga mengamalkan minum air suam sebanyak mungkin. Harap-harap penyakit ini bukan jangkitan virus H1N1. Huh! Selisih!

Dalam keadaan yang agak pening-pening lalat dan selsema, saya kurang berminat untuk memandu. Namun, kerana tuntutan kerja dan rutin harian, saya tetap memandu. Malangnya, seringkali berlaku gangguan di atas jalan raya. Apabila memandu kereta dalam kelajuan 50 km/jam, mulalah kereta di belakang 'bingit'. Tabiat pemandu Malaysia memang macam ni gamaknya!!! Kalau boleh nak over taking dari jarak 100 meter! Tadi, saya berhenti di lampu isyarat di simpang Perpustakaan Sultan Ismail, untuk pulang ke rumah pada waktu tengah hari. Kereta saya berada dalam deretan paling depan. Apabila lampu bertukar hijau, dengan malasnya saya menukar gear dan menekan pedal untuk bergerak. Belum sempat gear bertukar, kereta belakang membunyikan hon! Memang tak menyabar! Saya geram kerana, jalan raya (lebih-lebih lagi di simpang) bukan tempat menunjukkan kehebatan cc kereta mahupun kehandalan memandu. Kerata saya, sudahlah manual...sabarlah sikit! Hidung saya sudahlah selsema...sopanlah sikit! Saya menjeling kereta di belakang menerusi cermin tengah di hadapan. Sebuah proton Wira Aeroback berwarna hitam - WHE 78**. Elehhhh!!! Wira jeee...saya sangkakan Ferrari Juliana Barnos!!! (Maaf, saya tidak bermaksud memperlekeh kereta buatan Malaysia). Saya cuma ralat dengan tindakan sesetengah pemandu Malaysia yang kononnya berjiwa patriotik apabila memakai kereta buatan tempatan, tetapi tidak mempamerkan ciri-ciri yang mampu dipuji. Pemandu Wira tersebut sekali lagi membunyikan hon (yang lebih panjang dari tadi), lantas menekan minyak sekuat hatinya ketika memotong kereta saya. Asap berkep0l-kepol! Saya sempat memerhati dengan hati yang menggerutu. Kalau nak tunjuk jaguh pun, tak kanlah dengan saya yang perempuan ni...saya mencebik apabila pemandu Wira itu memandang sekilas ke arah saya. Sudahhhlah! Setakat Wira bumper kemik...lagi kau nak eksyen yeee...(itulah kata hati saya, cuma tidak terluah kerana saya tiada teman berbual ketika itu).

Ketika sampai di Jalan Datin Halimah, kenderaan bergerak perlahan...jamm la pulak. Hidung saya mula tersumbat. Emosi tambah kacau. Saya sangat mengejar masa. Saya tahu jalan tersebut agak sesak pada waktu-waktu puncak apatah lagi waktu itu waktu makan tengah hari. Kereta saya bergerak perlahan. Beratur panjang bagai menunggu giliran membeli tiket wayang 'Upin dan Ipin'! Saya sangkakan mungkin kerana lampu isyarat di hadapan SM Teknik Azizah mengganggu perjalanan saya...rupa-rupanya sangkaan saya meleset. Tiba di hadapan PNB, kelihatan sebuah kereta Wira hitam terbabas di selekoh jalan. Hahahahaha.....(gelak kuat dalam hati je). Itulah Wira yang membunyikan hon kepada saya tadi...

Emosi saya kian stabil tatkala melepasi tempat tersebut. Betapa bersyukurnya saya kerana terselamat dalam perjalanan. Kereta yang Allah berikan, hanya untuk kemudahan perjalanan, bukan untuk bermegah-megah. Apapun kenderaan yang kita gunakan, mulakanlah dengan langkah kanan, diikuti dengan 'subahannallazi saharalana haza, wamakunnalahu mukrinin, wa inna ila rabbina, la munqalibun...'.

*Ini iktibar untuk saya juga. Perlu banyak bersabar ketika memandu.

Mikhail

Cuti panjang sempena menyambut Hari Pekerja saya isi dengan membaca. Novel yang menjadi 'mangsa' kali ini ialah 'Mikhail', karya terbaharu penulis kegemaran saya-Ramlee Awang Murshid (RAM).
Mikhail saya beli semasa PBAKL '09 berlangsung, menerusi kiriman seorang teman. Selalu sahaja novel RAM habis dijual. Penat mencarinya. Menurut jurujual di MPH Jusco Taman U, novel tersebut jika dipesan 2,000 naskhah tak sampai seminggu akan habis ! Eeeii...dahsyatnya! Apabila ditanya tentang buku DBP...jurujual mengeluh berat...(isshh...tak payah ceritalah...sendiri mau ingat!).
Mikhail mengisahkan tentang seorang pembunuh upahan yang handal menembak (sharpshoter). Mikhail yang lahir pada tahun lompat (29 Februari) diarah membunuh kononnya untuk membalas dendam atas kematian keluarganya. Arahan pembunuhan itu dizahirkan melalui Dickens, seorang warga Amerika Syarikat yang fasih berbahasa Melayu dan pernah tinggal lama di Malaysia. Tanpa diketahui, Dickens sebenarnya ialah ketua sebuah kesatuan yang mempunyai agenda memporak-perandakan masyarakat Islam dan Asia. Dickens menjadikan Mikhail, seorang Melayu Islam sebagai alat untuk menyempurnakan agendanya. Dengan membawa Mikhail keluar dari Malaysia dan diasuh sebagai penembak tepat, Dickens hampir berjaya menyempurnakan perancangannya. Namun, banyak rahsia yang terbongkar sebelum misinya selesai, hanya kerana Mikhail diganggu halusinasi yang memaksa dia membongkar siapa dirinya yang sebenar. Sementara itu, Raihana yang menjadi salah seorang daripada orang yang wajib dibunuh Mikhail, telah menukar dendam Mikhail kepada cintanya terhadap Raihana. Huh! Betapa cinta itu berjaya memusnahkan sebuah dendam yang bersarang berabad lama!
Satu demi satu rahsia terbongkar apabila, pihak polis yang diterajui ASP Tim, Inspektor Zetty dan Inspektor Sharani mendapati bukan seorang pembunuh bersiri yang bertindak membunuh mangsa-mangsanya. Ini bererti wujud beberapa lagi Mikhail. Kematian Syaiful, Jack, pembantu Jack, dan Kharis akhirnya terbongkar dan didapati pembunuhnya bukan seorang. Ancaman yang diterima oleh keluarga Raihana yang ingin menjatuhkan Syarikat Juara (syarikat keluarganya) mengakibatkan pembunuhan tiga kenalan perniagaan ayahnya iaitu Datuk Bakri, Mr. Yap dan Mr. Sundram. Banyak rahsia yang terbongkar apabila Raihana diculik Mikhail. Penculikan tersebut bukan untuk membunuh Raihana sekalipun itulah niat Mikhail yang sebenar. Kerana cinta terhadap Raihana, Mikhail dan Raihana menjadi teman baik sepanjang dalam tahanan. Malah, Raihana juga telah membantu Mikhail untuk memulihkan semula ingatan Mikhail yang telah dibrainwash oleh Dickens. Tindakan Inspektor Zetty (kakak Raihana) yang menyelamatkan Raihana daripada tahanan Mikhail telah menjurus kepada penangkapan beberapa pembunuh bersiri yang lain. Tanpa disangka-sangka, Inspektor Sharani dan ASP Tim terlibat sama dalam agenda pembunuhan bersiri itu. Semuanya hasil kerjasama Mikhail yang tiba-tiba berasa berdosa kerana membunuh tanpa sebab yang tidak munasabah. Setiap pembunuh akan menembak mangsa di kepala dan akan meninggalkan satu note $1USD sebagai killer signature.
Di akhir plot cerita, barulah diketahui bahawa yang membunuh Syaiful dan pembantu Jack ialah Kharis. Yang membunuh Jack, Kharis dan Datuk Bakri semasa dalam tahanan polis ialah Inspektor Sharani (atas arahan Robert Lau iaitu ASP Tim). ASP Tim sanggup menjadi pembelot dan pengkhianat negara semata-mata kerana wang 1 juta dolar US! Dia mengumpan Inspektor Sharani dengan RM500,000.00 untuk menjadi 'kambing hitam' dalam pasukan polis. Namun taktiknya terbongkar kerana kepakaran Mikhail dalam memanipulasikan teknologi komputer, peranti hand phone dan kecekapannya sebagai pemerhati tingkah laku manusia. Mikhail pula, berjaya mendapatkan Dickens di Israel dan menghabiskan riwayat hidup manusia dajal itu dengan tembakan di kepala selain meninggalkan pistol silencer yang digunakan untuk membunuh Dickens berserta wang $1USD di kepala. Mikhail tidak berjaya didakwa kerana identitinya telah dimatikan (dianggap mati dalam satu letupan bom di kilang). Sekalipun dia membunuh, tetapi semua pembunuhan dilaksanakan di luar negara. Mikhail telah membunuh Mr. Yap di Beijing, Mr. Sundram di Mesir dan Dickens di Israel. Jika dia menyerah diri kepada polis pun, pendakwaan tidak boleh dilaksanakan. Kecuali jika dia menyerah diri kepada Interpol.
Seperti kebanyakan novel-novel RAM yang lain, unsur watak lelaki perkasa sering dijadikan subjek utama. Watak utama kali ini bukanlah lelaki yang baik. Tidak seperti Hilman, Luqman, Ejim, Laksama Sunan dan watak-watak lelaki baik dalam novelnya sebelum ini. Namun mereka mempunyai persamaan iaitu, lasak, kacak, sarat dengan cinta dan kasih sayang, dan dibuka pintu taubat pada akhir cerita. RAM kaya dengan pengetahuan tentang senjata api dan ini memberi input berguna kepada pembaca. Yang lebih menyeronokan apabila plot cerita melangkau sempadan antarabangsa. Latar tempat seperti Cromwell, New Zealand; Kaherah, Mesir; Beijing, China; Amman, Jordan; dan Juruselam, Israel telah membuka luas pemikiran pembaca dengan suasana ketidakamanan dunia sejagat. Ini bererti, ada kuasa besar di dunia ini yang mahu mencemar imej Islam dengan taktik-taktik kotor, seperti mana kisah-kisah realiti yang berlaku sekarang seperti tindakan pengebom berani mati, serangan 11 September, penghapusan etnik Serbia, ancaman terhadap Iraq dan lain-lain lagi. Rahsia di sebalik note $1USD juga terbongkar.
Kenapa semua pembunuh menggunakan killer signature $1USD? Kerana, jika diamati terdapat lambang dajal (makhluk bermata satu) di atas imej piramid, di wang kertas tersebut. Piramid melambangkan Asia Timur. Apa kesannya? Inilah yang dinamakan Annuit Coeptis. Lambang burung hantu di wang kertas $1USD pula ialah lambang rahsia sebuah kesatuan rahsia yang sangat berpengaruh di dunia. Objek burung hantu sengaja tidak dicetak dengan jelas. Huh! Memang cerita ini best! Macam dalam filem! (Memang patut difilemkan untuk tatapan generasi yang malas membaca!).
Novel ini bukan novel cinta, namun dialog antara Mikhail dan Raihana yang saling menyintai terlalu menusuk kalbu, meruntun perasaan. Sebagai peminat setia RAM...saya menanti Sembilan Nyawa!
*Kalaulah Dato' Yusof Haslam membaca novel ini, pasti Gerak Khas sekarang ini lebih bersifat global. Sayangnya Gerak Khas semakin terkubur semenjak tertangkapnya Inspektor Haris.