Dua hari yang lalu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyidin Yassin telah mengumumkan tentang penubuhan Kota Buku di Kuala Lumpur. Ini berita baik untuk para peminat, penulis, dan penerbit buku di tanah air. Jika benar bagai dikata, Malaysia bakal menjadi satu hab perbukuan. Kota Buku ini bakal menghimpunkan buku-buku (karya asli dan terjemahan) dari seluruh dunia. Ini membuka peluang kepada industri perbukuan Malaysia untuk memartabatkan bisnes buku dan menyemarakkan lagi minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Kota Buku ini (seperti yang diuar-uarkan), akan dibina di Kuala Lumpur (mungkin di Putrajaya) dan akan menjadi satu lagi mercu tanda Malaysia (mudah-mudahan). Malaysia bakal dikenali sebagai kota ilmu apabila siap terbinanya 'mahligai' ini. Namun, pembinaannya hanya akan bermula pada akhir tahun ini (mungkin saat ini kertas awalannya masih dalam proses penyuntingan). Dan, jika benar bagai dikata, rakyat Malaysia sendiri harus bersedia menjadi warga berilmu tanpa mengira status pekerjaan, latar belakang pendidikan, dan kemampuan ekonomi. Pendek kata, jika negara ini mahu dikenali sebagai 'kota ilmu', minda kita mestilah pada tahap kelas pertama (termasuk pemandu teksi yang bakal belajar bahasa Inggeris). Kita sewajarnya mencontohi Perancis yang dikenali dunia dengan jolokan 'kota fesyen'. Rakyatnya kaya dengan fesyen pakaian terkini. Perancis meriah dengan festival fesyen yang turut disertai pereka fesyen seantero dunia. Mereka mampu menonjolkan model-model yang mampu membawa imej fesyen mereka ke seluruh pelusuk benua! Itulah Perancis (yang masih kekal dengan bahasa kebangsaannya di mana saja mereka berada) sekalipun mereka merentas dunia! Mampukah Malaysia membawa imej 'kota ilmu' ini seperti mana Perancis dengan 'kota fesyen'nya?
Semoga impian murni TPM dan seluruh penerbit buku (termasuk DBP) menyambut baik usaha ini (walaupun tapaknya masih kosong). Harapan penulis, maklumat ini benar bagai dikata. Jangan pula jadi seperti Perkampungan Filem yang suatu masa dahulu hebat diperkata, akhirnya impian tinggal impian...
1 comment:
Azura,
Dalam majlis ini dijemput juga para penulis, sasterawan mapan dan sasterawan unggul termasuk SN Pak Samad. Mungkinkah ingin 'bodek' agar reda tentang hal PPSMI? (Harap-harap tidaklah tapi jika ya... harap-harap pejuang @ penulis tidak terikut dengan rentak pemimpin no.2 1 Malaysia ini.)
Post a Comment