Pages

Tuesday, May 5, 2009

Mikhail

Cuti panjang sempena menyambut Hari Pekerja saya isi dengan membaca. Novel yang menjadi 'mangsa' kali ini ialah 'Mikhail', karya terbaharu penulis kegemaran saya-Ramlee Awang Murshid (RAM).
Mikhail saya beli semasa PBAKL '09 berlangsung, menerusi kiriman seorang teman. Selalu sahaja novel RAM habis dijual. Penat mencarinya. Menurut jurujual di MPH Jusco Taman U, novel tersebut jika dipesan 2,000 naskhah tak sampai seminggu akan habis ! Eeeii...dahsyatnya! Apabila ditanya tentang buku DBP...jurujual mengeluh berat...(isshh...tak payah ceritalah...sendiri mau ingat!).
Mikhail mengisahkan tentang seorang pembunuh upahan yang handal menembak (sharpshoter). Mikhail yang lahir pada tahun lompat (29 Februari) diarah membunuh kononnya untuk membalas dendam atas kematian keluarganya. Arahan pembunuhan itu dizahirkan melalui Dickens, seorang warga Amerika Syarikat yang fasih berbahasa Melayu dan pernah tinggal lama di Malaysia. Tanpa diketahui, Dickens sebenarnya ialah ketua sebuah kesatuan yang mempunyai agenda memporak-perandakan masyarakat Islam dan Asia. Dickens menjadikan Mikhail, seorang Melayu Islam sebagai alat untuk menyempurnakan agendanya. Dengan membawa Mikhail keluar dari Malaysia dan diasuh sebagai penembak tepat, Dickens hampir berjaya menyempurnakan perancangannya. Namun, banyak rahsia yang terbongkar sebelum misinya selesai, hanya kerana Mikhail diganggu halusinasi yang memaksa dia membongkar siapa dirinya yang sebenar. Sementara itu, Raihana yang menjadi salah seorang daripada orang yang wajib dibunuh Mikhail, telah menukar dendam Mikhail kepada cintanya terhadap Raihana. Huh! Betapa cinta itu berjaya memusnahkan sebuah dendam yang bersarang berabad lama!
Satu demi satu rahsia terbongkar apabila, pihak polis yang diterajui ASP Tim, Inspektor Zetty dan Inspektor Sharani mendapati bukan seorang pembunuh bersiri yang bertindak membunuh mangsa-mangsanya. Ini bererti wujud beberapa lagi Mikhail. Kematian Syaiful, Jack, pembantu Jack, dan Kharis akhirnya terbongkar dan didapati pembunuhnya bukan seorang. Ancaman yang diterima oleh keluarga Raihana yang ingin menjatuhkan Syarikat Juara (syarikat keluarganya) mengakibatkan pembunuhan tiga kenalan perniagaan ayahnya iaitu Datuk Bakri, Mr. Yap dan Mr. Sundram. Banyak rahsia yang terbongkar apabila Raihana diculik Mikhail. Penculikan tersebut bukan untuk membunuh Raihana sekalipun itulah niat Mikhail yang sebenar. Kerana cinta terhadap Raihana, Mikhail dan Raihana menjadi teman baik sepanjang dalam tahanan. Malah, Raihana juga telah membantu Mikhail untuk memulihkan semula ingatan Mikhail yang telah dibrainwash oleh Dickens. Tindakan Inspektor Zetty (kakak Raihana) yang menyelamatkan Raihana daripada tahanan Mikhail telah menjurus kepada penangkapan beberapa pembunuh bersiri yang lain. Tanpa disangka-sangka, Inspektor Sharani dan ASP Tim terlibat sama dalam agenda pembunuhan bersiri itu. Semuanya hasil kerjasama Mikhail yang tiba-tiba berasa berdosa kerana membunuh tanpa sebab yang tidak munasabah. Setiap pembunuh akan menembak mangsa di kepala dan akan meninggalkan satu note $1USD sebagai killer signature.
Di akhir plot cerita, barulah diketahui bahawa yang membunuh Syaiful dan pembantu Jack ialah Kharis. Yang membunuh Jack, Kharis dan Datuk Bakri semasa dalam tahanan polis ialah Inspektor Sharani (atas arahan Robert Lau iaitu ASP Tim). ASP Tim sanggup menjadi pembelot dan pengkhianat negara semata-mata kerana wang 1 juta dolar US! Dia mengumpan Inspektor Sharani dengan RM500,000.00 untuk menjadi 'kambing hitam' dalam pasukan polis. Namun taktiknya terbongkar kerana kepakaran Mikhail dalam memanipulasikan teknologi komputer, peranti hand phone dan kecekapannya sebagai pemerhati tingkah laku manusia. Mikhail pula, berjaya mendapatkan Dickens di Israel dan menghabiskan riwayat hidup manusia dajal itu dengan tembakan di kepala selain meninggalkan pistol silencer yang digunakan untuk membunuh Dickens berserta wang $1USD di kepala. Mikhail tidak berjaya didakwa kerana identitinya telah dimatikan (dianggap mati dalam satu letupan bom di kilang). Sekalipun dia membunuh, tetapi semua pembunuhan dilaksanakan di luar negara. Mikhail telah membunuh Mr. Yap di Beijing, Mr. Sundram di Mesir dan Dickens di Israel. Jika dia menyerah diri kepada polis pun, pendakwaan tidak boleh dilaksanakan. Kecuali jika dia menyerah diri kepada Interpol.
Seperti kebanyakan novel-novel RAM yang lain, unsur watak lelaki perkasa sering dijadikan subjek utama. Watak utama kali ini bukanlah lelaki yang baik. Tidak seperti Hilman, Luqman, Ejim, Laksama Sunan dan watak-watak lelaki baik dalam novelnya sebelum ini. Namun mereka mempunyai persamaan iaitu, lasak, kacak, sarat dengan cinta dan kasih sayang, dan dibuka pintu taubat pada akhir cerita. RAM kaya dengan pengetahuan tentang senjata api dan ini memberi input berguna kepada pembaca. Yang lebih menyeronokan apabila plot cerita melangkau sempadan antarabangsa. Latar tempat seperti Cromwell, New Zealand; Kaherah, Mesir; Beijing, China; Amman, Jordan; dan Juruselam, Israel telah membuka luas pemikiran pembaca dengan suasana ketidakamanan dunia sejagat. Ini bererti, ada kuasa besar di dunia ini yang mahu mencemar imej Islam dengan taktik-taktik kotor, seperti mana kisah-kisah realiti yang berlaku sekarang seperti tindakan pengebom berani mati, serangan 11 September, penghapusan etnik Serbia, ancaman terhadap Iraq dan lain-lain lagi. Rahsia di sebalik note $1USD juga terbongkar.
Kenapa semua pembunuh menggunakan killer signature $1USD? Kerana, jika diamati terdapat lambang dajal (makhluk bermata satu) di atas imej piramid, di wang kertas tersebut. Piramid melambangkan Asia Timur. Apa kesannya? Inilah yang dinamakan Annuit Coeptis. Lambang burung hantu di wang kertas $1USD pula ialah lambang rahsia sebuah kesatuan rahsia yang sangat berpengaruh di dunia. Objek burung hantu sengaja tidak dicetak dengan jelas. Huh! Memang cerita ini best! Macam dalam filem! (Memang patut difilemkan untuk tatapan generasi yang malas membaca!).
Novel ini bukan novel cinta, namun dialog antara Mikhail dan Raihana yang saling menyintai terlalu menusuk kalbu, meruntun perasaan. Sebagai peminat setia RAM...saya menanti Sembilan Nyawa!
*Kalaulah Dato' Yusof Haslam membaca novel ini, pasti Gerak Khas sekarang ini lebih bersifat global. Sayangnya Gerak Khas semakin terkubur semenjak tertangkapnya Inspektor Haris.