Pages

Tuesday, March 10, 2009

Majlis Aqiqah Zarin Sofea

8 Mac yang lepas, sempurna sudah majlis aqiqah Raja Zarin Raja Zuraidi dan Sofea Batrisya Fazri Izzuan telah selamat diadakan di Masjid Khadijah, Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru. Sofea merupakan anak saudaraku yang lahir tiga minggu lebih awal daripada Zarin (anakku). Kami sekeluarga sepakat untuk mengadakan majlis aqiqah untuk kedua-duannya sempena hari keputeraan Rasulallah saw.

Majlis aqiqah ini dimulai dengan solat Magrib berjemaah dan disambung dengan segmen tazkirah oleh Ustaz Mohd. Halid Kasrin, penceramah undangan dan juga penaja utama majlis ini. Tazkirah yang disampaikan ialah tentang kelahiran (kelahiran anak dalam sesebuah perkahwinan dan kelahiran baginda junjungan). Selepas azan Isyak berkumandang, bacaan selawat ke atas nabi junjungan diteruskan berserta acara potong jambul. Aku melihat ayah begitu sebak memerhatikan kedua-dua orang cucuandanya yang kini baru mencecah usia 3 bulan. Terlaksana sudah niatnya untuk melihat majlis aqiqah anak sulung N (ibu sofea) dan cucu ketujuhnya (anakku) dilaksanakan dalam majlis yang sederhana namun penuh makna.

Pada pagi 8 Mac, kami beramai-ramai ke Osman Goat Farm untuk acara penyembelihan kambing aqiqah. Sebak dan sangat bersyukur, sebaik-baik sahaja kambing biri-biri jantan yang sihat dan sempurna disembelih betul-betul di hadapan kami. Aku dapati anak-anakku yang lain turut teruja dengan penyembelihan itu. Mereka banyak bertanya apa perlunya kambing-kambing itu disembelih? Apa maknanya aqiqah? Apa perlu dilakukan dengan kambing yang telah disembelih? Mereka belajar banyak perkara tentang agama mereka, tentang adat dan budaya bangsa mereka.

Kesempatan ini, aku ingin mengucapakan jutaan terima kasih kepada semua AJK keluarga yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada kedua-dua ibu bapa, bonda Hajah Jamilah Abd. Aziz dan ayahanda Haji Mohd. Halid Kasrin yang bertungkus-lumus memastikan semuanya berjalan lancar. Terima kasih kepada N dan suami (Wan) yang menaja pulut kuning dan buah-buahan. Terima kasih kepada adinda Eddie yang mengatur logistik dan Zack yang mengatur urusan dengan masjid. Terima kasih kepada keluarga dari Batu Pahat, Kota Tinggi dan Melaka yang sanggup datang. Terima kasih kepada penyumbang telur masin dan minyak wangi untuk tetamu. Terima kasih juga kepada Haji Noh yang memasak nasi beriyani dan daging aqiqah yang saaaangggaaat sedap! Terima kasih kepada semua AJK Masjid Khadijah yang banyak membantu tanpa rasa jemu dan tidak berkira. Maaf, kepada yang tidak diundang.

Semoga kedua-dua bayi ini diberkati kehidupannya di dunia dan akhirat, menjadi anak-anak yang cemerlang dan berjasa kepada kedua-dua ibu bapa, bangsa dan agama mereka. Aminn...

3 comments:

Rahiza Haszian Abdul Rahim said...

laa...nape tak beritahu? kalu tak, leh aku sumbangkan apa2...kuih setalam dua ke..ish ish..

Citra Wangsa said...

Alaa..majlis kecil-kecilan je...Nanti aku buat walimatul urus dia, aku jemput kau sekeluarga. Hehehee (bila tahunnnlah tu agaknya ye..?)

Rahiza Haszian Abdul Rahim said...

alahaii..walimatul urus? panjang umur, boleh la aku gi..kalu aku dah 'berhijrah', tak dan la nak gi, hehe..