Pages

Friday, March 27, 2009

Bicara Herba: Lempoyang

Baru-baru ini seorang teman bertanyakan sama ada aku ada menanam lempoyang atau tidak, kerana dia memerlukannya untuk mengubati 'sakit' anaknya yang kurang selera makan. Setakat hari ini, aku belum lagi menanam lempoyang tetapi aku tahu di mana duduk tumbuhnya pokok herba ini. Banyak tumbuh melata di hutan-hutan. Nak mudah, beli saja di Pasar Besar Larkin. Kalau tak ada juga...cuba cari di rumah Husin Lempoyang, saudagar unta!!! (uuppsss...Sorry Lin...).
Lempoyang merupakan tumbuhan spesies Zinger Zerumbet dan daripada famili Zingiberacea (adik-beradik daripada keturunan halialah jugak ni...). Rupanya dan warnanya pun seakan-akan halia. Cuma, lempoyang ada yang bersaiz besar (sebesar tapak kaki gajah) dan itu dipanggil lempoyang gajah (gajaaahhh jugak yang dapat nama!). Genus halia ini mempunyai bunga (cantik macam bunga kantan, macam bunga pokok halia juga). Lempoyang membiak melalui rizom (sama macam halia). Selain untuk menambah selera makan, lempoyang juga, (menurut temanku tadi) boleh digunakan secara tradisional untuk merawat sesak nafas (yang bukan berpunca daripada asma) dan boleh menghilangkan bau badan (jika diamalkan pengambilannya setiap hari). Lempoyang muda boleh dimakan bersama-sama nasi (dibuat ulam).
Pada zaman sebelum para saintis menemui 'hidrocinon' iaitu bahan pemutih untuk kosmetik, masyarakat dahulu menggunakan lempoyang untuk memutihkan kulit. Caranya ialah dengan menghiris lempoyang senipis-nipisnya, kemudian dijemur di bawah sinaran matahari yang terik (untuk menghilangkan kandungan airnya). Kalau nak cepat, boleh dimasukkan ke dalam oven dengan suhu 'pemanasan global' (jangan bakar si lempoyang ni macam nak buat kuih bakar yeee...). Setelah lempoyang betul-betul kering, kisarkannya (menggunakan pengisar kering). Lempoyang tersebut akan menjadi serbuk (kelihatan seperti bedak). Maka, bolehlah digunakan seperti bedak atau dicampurkan dengan bedak sejuk untuk dibuat masker. Lempoyang ini juga, berupaya menghilangkan parut-parut di badan (setakat parut terkena percikan minyak panas tu bolehlah guna lempoyang ni. Parut akibat kena dera dengan tali pinggang....eeemm...payahlah skit!). Oklah, kepada sesiapa yang masih mengamalkan kehidupan konvensional, bolehlah mendapatkan lempoyang di Pasar Besar Larkin, aras bawah, di gerai nyonya yang ada jual telur ayam kampung paling mahal di dunia (sebiji RM6.00!!!).

No comments: