Pages

Monday, April 20, 2009

Semoga Atuk Dicucuri Rahmat

Petang 16 April 2009 semasa sedang bersiap-siap untuk pulang dari pejabat, aku menerima sms daripada suami 'atuk singapore meninggal'. Ringkas. Mengejutkan. Aku terduduk. Kucapai telefon dan menghubunginya untuk mendapatkan kepastian. Katanya Atuk Singapore meninggal di rumah Cik Ros (salah seorang anaknya) di Melaka. Tanpa lengah aku terus memandu ke rumah Kempas. Setibanya di rumah, suasana muram menyelubungi ahli keluarga (yang pastinya sudah mengetahui berita sedih itu lebih awal). Kulihat wajah emak mentua dibasahi air mata. Mahu tak sedih, dengan kehilangan ayahandanya yang dikasihi. Saudara-mara di luar negara dikhabarkan jua dengan berita ini. Mereka sememangnya tidak dapat pulang untuk memberi penghormatan terakhir. Hanya doa mengiringi Atuk.
Kami sekeluarga (tiga buah kereta) meninggalkan rumah dan menuju ke Melaka pada 17 April 2009, sebaik selesai solat Subuh. Kami tiba dua jam kemudian. Ketika itu jenazah sedang dimandikan. Sebelum dikebumikan, diadakan majlis tahlil yang pertama. Selesai dikebumikan pada pukul 10.30 pagi, sekali lagi majlis tahlil diadakan. Semua saudara-mara dan rakan taulan Atuk tidak ketinggalan memberi penghormatan terakhir untuknya. Wajah Atuk begitu tenang. Matanya tertutup rapat, seolah-olah semua hajatnya telah tercapai. Aku masih terbayang wajah tua itu tatkala memohon maaf pada Syawal 1429 yang lalu. Terkilan sungguh hati ini kerana Atuk tidak sempat melihat cicitnya yang baru (Zarin dan Aifa). Atuk pergi dengan mudah. Jatuh selepas keluar dari bilik air. Atuk yang disangka pengsan, telah disahkan meninggal dunia akibat Bronchiol Asthma, pada pukul 2.30 petang. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para anbia dan khalifah yang soleh. Al-Fatihah buat Allahyarham Bakhtiar bin Asiar.

3 comments:

Rahiza Haszian Abdul Rahim said...

Takziah. Alhamdulillah..perginya dalam keadaan yang amat mudah..apalagi di petang Jumaat..Insya-Allah selamat segala-galanya. Insan terpilih..Insya-Allah. Semoga rohnya dilimpahi rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. AMIN.

Rusdi Abd Rahman said...

Azura,

AL-FATIHAH disedekahkan.

Azhar Salleh said...

Salam AZURA,
Al-Fatihah, dan moga-moga Allah mengampuni segala dosanya, dan memberikan rahmat kepadanya. Mudah-mudahan akan tenteramlah arwah di sisi Allah.