Yang Maha Mulia Tuanku, kota Tuanku telah selamat dirasmikan tanggal 16 April 2009, bersamaan dengan 20 Rabiulakhir 1430 Hijrah. Patik serta rakyat jelata sekaliannya turut hadir dalam upacara perasmian tersebut. Dengan rasa bangga diri, patik dan sekalian jelata yang lain, berpeluang melihat dengan dekat Yang Maha Mulia Tuanku, Sultanah yang dikasihi, anakanda Mahkota Tuanku dan isterinya, cucuanda Raja Muda Tuanku dan rombongan kerabat diraja Tuanku di petala singgah sana diraja yang dikhaskan di Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor Darul Ta'zim. Keberangkatan tiba Tuanku disambut dengan percikan peluh rakyat jelata yang 'sabar' menunggu. Patik sangat kagum dengan kesungguhan Tuanku yang sudi mencemar duli, merasmikan kota Tuanku dengan nama Kota Iskandar di jajahan wilayah Nusajaya. Sungguh membanggakan apabila jajahan takluk Tuanku ini, telah menjadi sebuah negeri paling maju dalam kebanyakan negeri jajahan pemerintahan sultan yang lain. Sepanjang majlis penuh kesederhanaan itu, patik dapati semua hadirin akur dengan kedaulatan Tuanku sebagai raja yang memerintah jajahan takluk ini. Mereka berpakaian baju kurung Teluk Belanga Berdagang Luar, kemas bersongkok dan berkain sampin. Yang wanitanya ayu berkurung dan lengkap selendang kepala. Aduhai, Tuanku! Tuanku masih raja yang dijunjung dengan penuh kasih sayang rakyat jelata. Patik begitu terharu, apabila melihat Tuanku gagah membaca titah ucapan perasmian dengan jayanya sekalipun dimaklumkan Tuanku agak gering ketika ini. Aduhai, Tuanku...moga Allah Taala memberi rahmat dan kesejahteraan kepada Tuanku dan kerabat Tuanku. Ampun Tuanku!
Ampuan, Tuanku. Hari ini, patik berasakan bahawa ketuanan Melayu masih berbisa. Harap mereka yang tidak ada kena mengena dengan ketuanan Melayu jangan terus besar kepala. Pusat pentadbiran di kota Tuanku-Kota Iskandar merupakan lambang Melayu masih menjadi tuan di Tanah Melayu ini. Harap mereka yang tidak ada kena mengena dengan ketuanan Melayu sedar akan diri, bahawa tanah ini milik kami! Yang tidak ada kena mengena dengan ketuanan Melayu hanya diberi peluang menghirup udara damai di tanah bertuah ini dengan gagasan ekonomi dan sosial yang berbatas. Sudah tertera dalam hikayat dan waadat - pantang Melayu menderhaka. Peluang berekonomi dan bersosial gunakanlah sebaik-baiknya. Jangan sampai disumpah raja, kelak terlantar di buana hina. Alam sarwajagat kelak akan tertawa. Tuanku dan kerabat punya daulat berbisa.
Ampun patik Tuanku. Patik berasa bangga menjadi rakyat jelata negeri Hujung Tanah ini kerana modenisasinya mendahului jajahan yang lain. Doa patik, jajahan ini akan kekal makmur di bawah payung mahkota Tuanku. Moga kota Tuanku kekal sebagai medini yang disegani. Patik mohon izin undur diri. Daulat Tuanku!
(Entri ini dicatat pada 16 April 2009, sementara menunggu keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Baginda Almutawakkil 'Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail-Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim, ke majlis perasmian Kota Iskandar, Nusajaya).
4 comments:
Hmm..antara yang paling maju, tetapi antara yang paling banyak hutang!!! Kesian juga pada anak Bumi yang masih merangkak dalam dunia perniagaan, terkial-kial mengemis minta duit pembayaran. HUWAARGHHH... harap pentadbiran Johor dapat disusun semula dengan jayanya, bukan hanya gah dengan kota pentadbiran yang metropolitan.
Zura, aku dah kerja semula..kembali semula ke lubuk asal tempat tumpah keringat aku mengejar segulung kertas. Ikutkan hati memang taknak..apakan daya...
Azura,
Hamba juga bangga menjadi pemastautin di Johor sejak tahun 2001, banyak dan penuh istimewanya antaranya masyarakatnya juga termasuk makanannya.
Namun harapan hamba kini agar Memanda Menteri dan Timbalan Menteri yang rakyat sekalian maklum bahawa Kementerian Pelajaran dijaga tiga peneraju dari Johor Tanah Bertuah Hujung Tanah ini agar PPSMI dimansuhkan, jangan lagi berdolak dalih semacam memanda Sembrong yang hamba tahu selama ini hanya mampu ketawa besar (sambil mulut terbuka luas)... hehehe...
DAULAT BAHASA MELAYU!
Hidup Hujung Madini.
[Saya tertarik ucapan baginda Sultan kelmarin. Lucu tapi penuh makna]
Puan Iza,
Yang berhutang itu kerajaan negeri dgn pusat. Biarkan mereka yang bertanggungjwb, melaksanakan tanggungjwb mereka dgn sebaik2nya. Kita sbg rakyat, jalanilah kehidupan sbg rakyat yg selayaknya.
En. Rusdi,
Tampuk pemerintahan sudah bertukar ganti. Namun, badut-badut itu masih terkinja-kinja dalam gelanggang sarkas ciptaan mereka sendiri. Mereka fikir, apa yg mereka lakukan itu 'menghiburkan' para penonton...mereka tak sedar bahawa mereka menjadi bahan tertawa sekelian manusia yg menyaksikan 'kebodohan' mereka.
Salam blackpurple,
Baginda masih waras, masih bersemangat.
Post a Comment