Pages

Friday, August 14, 2009

15 Ogos...dalam Sejarah

Maria mendengar penuh minat cerita Hideki dan Tomoko tentang sejarah silam. Sejarah perang dunia ke-2. Shusen Kinenbi! Maria terangguk-angguk mendengar kisah keganasan Jepun di Tanah Melayu, kisah bintang tiga, kisah pengeboman Hiroshima. Wajahnya serius. Hati terdetik, kagum dengan dua warga Jepun di hadapannya. Mereka kaya dengan pengetahuan sejarah silam.

15 Ogos 1945 merupakan tarikh keramat sedunia. Maria pasti dan yakin, tidak ramai yang mengetahuinya. Anak-anak sekarang, tidak berminat mengetahui tentang sejarah, sama seperti dirinya semasa bersekolah rendah dahulu. Hatta setelah menjangkau usia belasan tahun pun masih buta dengan sejarah negara sendiri, apatah lagi sejarah dunia. Kesedaran dan minat mengetahui tentang sejarah negara mula timbul semasa Maria mendapat projek penyuntingan buku sejarah terbitan DBP semasa bekerja di ibu pejabat. Buku itu ialah Debu Hiroshima. Semenjak itu, Maria sering mendampingi buku-buku sejarah.

Di Jepun, 15 Ogos setiap tahun merupakan hari peringatan tamatnya perang dunia ke-2. Jepun menyerah kalah tanpa syarat. Kezaliman yang dilakukan oleh Jepun, sehingga kini masih berbekas di hati rakyat China dan Korea. Warga dua negara itu masih menuntut ganti rugi daripada kerajaan Jepun akibat kemusnahan dan kematian rakyatnya.

Tanah Melayu juga tidak terlepas daripada angkara Jepun. Buku terbaharu yang ditangani Maria berjudul Berlabuh di Hujung Senja, sedikit sebanyak memberi gambaran tentang kezaliman dan keganasan Jepun. Insaf...

Hideki dan Tomoko berpesan kepada Maria, agar tidak menjadikan sejarah kezaliman negara mereka sebagai benteng untuk mereka berdua mengenali Malaysia dengan lebih dekat.

"Jangan bimbang tentang itu. Saya dan seluruh rakyat Malaysia sentiasa memberi ruang dan peluang kepada bangsa lain untuk mengenali Malaysia. Sejarah membuktikan, bahawa rakyat Malaysia tidak zalim seperti nenek moyang anda." Hideki dan Tomoko ketawa mendengar kata-kata Maria, sebelum Maria meminta diri. Redup petang itu seredup hati mereka.

Maria masih sempat berpesan kepada warga emas itu bahawa Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos tidak lama lagi. Mereka teruja untuk sama-sama menyambutnya.

Salam kemerdekaan!


bersambung...

1 comment:

Md Nizar Parman said...

Salam Zura,
Kalau ada naskhah yang lebih, ingat-ingatlah teman di sini. Suka membaca Jendela Selatan walaupun karya sendiri tidak pernah "terlantar" di situ.