Maria melangkah penuh sopan dengan kebaya hitam berbunga merah. Kakinya menjejaki lantai 'Setia Resident Club'. Bangunan berdinding kaca berbentuk bulat itu sangat menarik. Hiasan dalamannya penuh dengan pokok-pokok segar. Hijau. Sedap mata memandang.
"Silakan, puan. Masih ada lagi tawaran banglo dua tingkat," seorang gadis India mempelawa Maria masuk sambil menghulurkan brosur terbaharu pemaju perumahan.
"Saya bukan nak beli rumah. Dengan siapa saya perlu berjumpa untuk membuat aduan?"
"Oooo, puan residen di sinikah?" gadis India tersipu-sipu. Maria mengangguk lembut.
"Sila berjumpa dengan Cik Gentia," gadis India menunjukkan arah bilik Cik Gentia. Setelah mengucapkan terima kasih, Maria melangkah ke bilik yang dimaklumkan kepadanya.
'Melayu kah? Cina kah? India kah?' hati Maria berbisik. Pelik dengan nama tersebut. Namun, dia tidak mempeduli tentang asal usul nama tersebut. Biarkanlah. Siapa pun orangnya, Maria nekad untuk bertemu. Cik Gentia sedang menghadap komputer, mungkin sibuk dengan kerja rasminya.
"Ya, puan. Boleh saya bantu," berhemah sungguh sapaannya. Cik Gentia bingkas bangun dan menyambut Maria dengan huluran tangan kanannya. Maria lantas mengambil tempat duduk di hadapan Cik Gentia. Sepucuk surat dikeluarkan dari beg tangannya, lalu dihulurkan kepada wanita 40-an itu. Secara fizikalnya, Cik Gentia persis wanita Melayu macam Maria juga. Namun, sari yang dipakainya tidak menimbulkan citra Melayu. Maria masih tertanya-tanya akan status ras wanita tersebut. Namun, tidak terkeluar pula soalan dari mulutnya.
Surat yang dihulur, dibuka dan dibaca Cik Gentia. Wajahnya tampak sedikit berkerut. Dia menarik nafas panjang.
"Puan dari PBT mana?" soalan pertama yang meluncur keluar dari lidahnya.
"Saya tidak mewakili mana-mana organisasi. Saya cuma nak komplen tentang kesalahan tatabahasa yang berlaku, dalam papan tanda tersebut," jawab Maria dengan selamba.
"Kami tak perasan pula papan tanda ini salah. Hari ini baru saya tahu. Saya pun tak faham apa maksudnya," Cik Gentia membelek-belek gambar papan tanda yang dilampirkan Maria bersama-sama surat tersebut.
"Saya mohon, pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera. Sepatutnya sebelum pasang papan tu, semak dulu dengan yang pakar," Maria memulakan bicara. Cik Gentia masih menatap lampiran tersebut.
"Saya sangat sensitif dengan hal-hal seperti ini. Lagi lama dibiarkan lagi bahaya. Bukan satu dua papan tanda yang salah, bahkan hampir keseluruhan papan tanda di Setia ini, menggunakan bahasa Melayu yang tonggang-langgang. Sudahlah penggunaan bahasa Inggeris semakin melambak-lambak...penggunaan bahasa Melayu pula, tak betul. Tolonglah...tolong ambil tindakan yang sewajarnya."
"Tapi, puan tak ada kuasa memberi arahan kepada kami untuk membetulkan...,"
"Saya memang tak ada kuasa, tapi saya ada maruah. Ini bukan arahan, ini aduan. Ini bahasa saya, bahasa rasmi negara. Jangan sampai saya bagi ceramah bahasa di sini, ya!" Maria memintas kata-kata Cik Gentia. Cik Gentia menyelak lagi lampiran-lampiran lain. Kesemuanya gambar papan tanda yang mempunyai kesalahan tatabahasa. Dan, kesemuanya dirakam oleh Maria di sekitar taman tersebut.
"Cik, saya minta diri dulu. Saya harap perkara ini dipertimbangkan dan diberi perhatian serius," Maria mencapai beg tangannya dan bangkit dari kerusi empuk mewah hati. Tugasnya sebagai seorang residen di kawasan tersebut sudah selesai. Hatinya berdoa agar pihak yang bertanggungjawab mengambil kisah akan hal tersebut.
bersambung...
2 comments:
Salam AZURA,
Pertama sekali, tahniah dan saya sangat bangga dan terharu dengan tindakan Maria! Bukan mudah utk berjumpa dengan sesuatu pihak utk meminta mereka membetulkan bahasa yang salah. Memang saya bangga dan diucapkan setinggi-tinggi penghargaan. DBPWS pasti bangga dengan adanya pegawai/staf seperti Maria. Maria, teruskan perjuangan...teruskan!
Cikgu Azhar,
Maria hanya menjalankan tanggungjawab sosialnya. Itu saja kemampuannya...
Post a Comment