Anak sulung Maria, Zaiqel setia menunggu di simpang tiga di sekolahnya. Seperti biasa, Maria akan mengambilnya pulang dari sekolah bersama-sama Zurin, adiknya. Namun petang itu, wajahnya murung dan kelihatan air matanya bergenang di tubir matanya. Hati Maria mula berkecamuk. Bergaduhkah dia di sekolah? Dipukul gurukah?
"Kenapa menangis?" Maria bertanya lembut sebaik sahaja anaknya itu melangkah masuk ke kereta. Zaiqel diam.
"Kenapa?!" gertakan Maria membuatkan Zaiqel tersentak. Namun dia masih tetap membisu.
"Jawablah sayang, ibu tanya...,"
"Sains abang dapat 73 markah saja...," Zaiqel menjawab takut-takut.
"Oooo...dah dapat keputusan ujian?"
"Dah, tapi baru Sains saja. Yang lain-lain tak tahu lagi," Zaiqel menjawab tenang. Riak takut dimarahi masih bersisa. Maria menarik nafas panjang. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah dihabisi dengan kata-kata memujuk untuk si anak.
"Kenapa markah teruk sangat?"
"Biasanya bu...soalan Sains ada dwi bahasa. Tapi...yang terbaharu ni, soalan semua dalam English. Ada yang abang tak faham. Cikgu kata, masa ujian tak boleh bertanya. So...what can I do?" Maria menggeleng-gelengkan kepala. Kesal. Masalah PPSMI rupa-rupanya yang melanda si anak. Zurin yang duduk di tempat duduk belakang menyampuk.
"Ibu kata, Sains dan Maths tak guna English lagi. Tipu! Now, you see...I got 70 in Maths!" Zurin menghulurkan kertas ujian bulanan Matematiknya. Merosot! Maria pula yang terdiam. Maria menyelak kertas tersebut semasa kereta berhenti di simpang lampu isyarat. Keseluruhan soalan dalam bahasa Inggeris, tidak seperti sebelum-sebelum ini yang menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik. Maria hampa. Mengeluh. Sedih.
Anak-anak Maria bukan tidak boleh bertutur dan membaca dalam bahasa Inggeris. Mereka faham, mereka bijak. Tetapi kefahaman mereka terjejas akibat kebodohan dasar yang dilaksanakan kerajaan. Bila agaknya PPSMI akan benar-benar jumud? 2012? 2014? 2016? 2020??? Adakah pengumuman kerajaan sebelum ini sekadar untuk mengelak demontrasi daripada NGO tertentu berterusan? Adakah sekadar untuk menutup mulut pejuang PPSMI?
Anak-anak Maria dan anak-anak Melayu lain semakin meningkat usianya. Mereka juga sebenarnya tidak suka mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa asing. Jiran berbangsa Jepun di sebelah rumah Maria, pernah ketawa berdekah-dekah apabila mereka mengetahui anak-anak bangsa di tanah yang pernah dijajah nenek moyang mereka, mempelajari subjek yang menarik dengan menggunakan bahasa yang asing bagi mereka. Akibatnya mereka kurang jelas, kurang faham, kurang minat dan akan membawa kepada kepupusan pakar-pakar sains dan matematik.
bersambung...
4 comments:
Kan lebih baik mempelajari Bahasa Arab (bahasa Al-Quran). Cendekiawan2 Barat pun ramai yang mengambil idea cendekiawan2 Islam terdahulu. Sudah terbukti Tamadun Islam adalah tamadun yang unggul di dunia sejak dahulu lagi.
Salam AZURA,
PPSMI tidak akan dimansuhkan, melainkan rakyat memansuhkan penggubal dasar membabi buta itu! Anak Azura, anak saya, anak bangsa Melayu seluruhnya menjadi mangsa dasar seorang doktor yang sentiasa percaya bahawa BM sebagai bahasa tiada nilai...bahasa kampungan...bahasa ketinggalan. Namun, saya lihat guru bahasa Inggeris tidak kaya mana pun!
Azura,
Nampaknya gaya penceritaan begini cukup menarik. Sempat pula sentuh isu semasa.he he
Cikgu Nizar,
Saya setuju. Lagi pun, BA ialah bahasa al-Quran. Memang rapat dengan kita.
Lelaki Unggul,
apakan daya saya cikgu. sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak2. Tertarik dgn ungkapan "guru bahasa inggeris tak kaya mana pun".biar saya sambung ayat cikgu yg tergantung tu... "guru bahasa Melayu juga yang laris mcm... HONDA" (antara kereta yang terlaris di dunia!). Heheheee...
Tuan Haji,
entri blog ini mengalami transformasi sejak tuannya menghadiri HSDT yg lps. Kemaruk nak tulis novel...tapi belum capai piawaian. Camno ni???
Post a Comment