Sebaik kereta dipakir di pouch, Maria, Hadi dan anak-anak mereka bergegas memunggah semua barang dari dalam kereta. Beberapa beg dilonggok di tepi pintu sebelum dikemaskan semuala. Percutian hujung minggu ke bumi Hang Tuah, sedikit sebanyak memenatkan walaupun mereka seronok makan angin dan berbelanja keperluan hari raya akan datang. Dahsyat! Ramadan belum menjelang, tetapi persiapan raya telah dibereskan. Maria memang merancang untuk menyiapkan semua persiapan hari raya sebelum Ramadan. Dia tidak mahu terkocoh-kocoh pada saat umat Islam sibuk beribadat mengerjakan puasa dan tarawih.
Belum pun sempat Maria dan anak-anak mengemas barang-barang, Hideki jiran berbangsa Jepunnya menjengah dan memberi ucap selamat. Hadi, suami Maria menyambut sapaan Hideki dengan mesra.
"Please come to my house. Take a simple dinner," Hideki mempelawa dengan penuh keikhlasan.
"Ohhh...what kind of dinner? We've taken a dinner already," Hadi cuba menolak memandangkan jam sudah pukul 8.00 malam. Jarang-jarang Maria sekeluarga makan malam apatah lagi di rumah orang.
"Tomoko makes takoyaki! Dozo...dozo...," ujarnya bersungguh-sungguh.
"Ohhh...ok," Hadi memanggil Maria dan anak-anak untuk ke rumah Hideki bagi menyempurnakan hajatnya untuk menjamu takoyaki. Maria dan anak-anak tidak keberatan memenuhi undangan itu. Suami isteri berbangsa Jepun itu memang cukup ramah dan sangat baik hati.
Takoyaki ialah makanan Jepun yang dibuat daripada adunan tepung, telur, sedikit garam, air dan boleh dicampur dengan sotong atau daging atau daun bawang atau udang. Dibakar dalam bekas pembakar khas. Rasanya seperti cucur udang tetapi takoyaki agak menyihatkan kerana tidak digoreng.
Anak-anak Maria, makan dengan berselera.
"Oishi...oishi...," sesekali Hadi memuji masakan Tomoko yang sedap dan menyelerakan. Mereka berbual-bual sambil makan. Sudah hampir empat bulan mereka di Johor, dan Tomoko sudah pandai berbahasa Melayu, walaupun tidak lancar. Mereka khabarnya tidak sabar menunggu Ramadan untuk merasai suasana Ramadan yang dikatakan bulan menahan lapar dan dahaga bagi umat Islam.
Menjelang pukul 9.30 malam, Maria mohon diri untuk beredar.
"Arigato gozaimas," ujar Hadi.
"Sama-sama," Hideki menjawab dalam pelat bahasa Melayu.
"Sayonara!" mereka berpisah malam itu dengan kemesraan yang ketara. Maria sekeluarga sesekali berbahasa Jepun untuk menyaksikan betapa mereka juga berminat mempelajari bahasa negara matahari terbit itu seperti mana Tomoko dan Hideki yang berminat mempelajari bahasa Melayu. Kini, sedikit sebanyak budaya dan bahasa Melayu sudah difahami mereka.
No comments:
Post a Comment