Ada cinta di dalam gelas
Penuh kasih sekilas
Ada cinta di dalam gelas
Untuk kita saling berbalas
Pages
Thursday, December 29, 2016
Ada Cinta di dalam Gelas II
Tuesday, December 20, 2016
REZEKI DI MANA-MANA
SIHAT
Dalam meniti usia yang semakin meningkat, angka 40 bukan lagi muda untuk berangan jelita ala-ala model nak 'cat walk' atas pentas peragaan. Anak pun dah enam berderet. Malahan sudah ada yang meningkat remaja. Cabarannya satu macam! Nak kukuhkan keimanan bukan perkara mudah. Dugaan Allah bukan sedikit untuk seorang wanita yang berkerjaya dan mengurus rumahtangga sekali gus. Apatah lagi apabila suami jarang-jarang berada di depan mata. Tapi, syukurlah. Kesihatan yang sentiasa segar membuatkan segala urusan harian yang dirancang dan tidak dirancang berjalan lancar. Allah sentiasa ada untuk aku. Sebelah malam, sungguh pun sering diganggu dengan kepenatan melayan kerenah anak kecil, aku masih berkesempatan menghadap-Nya, berbicara dengan Maha Pencipta dan meneliti setiap surahnya.
SAHABAT
Baru-baru ini seorang sahabat jauh (dekat dalam hati) datang 'balik kampung' katanya. Kesempatan itu kami bersua, menjamu selera, menonton wayang, bercerita, gosip seadanya. Manis! Terasa betapa indahnya persahabatan yang terjalin sejak darjah satu bertali-arus ke usia 'kilauan emas'. Siapa sangka? Tiada kata secantik bahasa hendak aku berikan kepadanya. Buku-buku yang dia hadiahkan kepada aku menajdi simbolik persahabatan kami yang luhur. Sahabat yang ada untuk aku, saat sakit dan ceria, gembira dan duka. So sweet!
SAYANG
Anugerah terindah dalam hidup seorang ibu ialah anak-anak. Tahun ini tahun cabaran bagi Zarin, anak ketiga aku yang enggan ke sekolah gara-gara cikgu garang. Dia disaran bertukar sekolah. Sementara menanti sekolah kemasukan ke sekolah lain, Zarin terpaksa 'homeschooling'. Aku dikecam kerana anak homeschooling. Tiga bulan lamanya aku bersabar dengan tingkah Zarin sehinggalah dia diterima di sekolah lain yang agak jauh dari lokasi kediaman kami. Benar, aku bersyukur. Aku tangani sendiri tanpa suami yang ketika itu berjauhan kerana sering ke luar negeri. Sungguh, Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu ditempuh. Sehinggalah saat sesi persekolahan akhir tahun menutup tirai, aku mendapat surat daripada pihak sekolah untuk hadir ke Majlis Anugerah Anak Cemerlang. Ya, Zarin bukan anak yang bermasalah seperti sangkaan guru sekolah lamanya. Dia mampu belajar seperti anak-anak lain. Malahan lebih baik daripada yang aku jangka.
Zafri pula menghadapi peperiksaan besar PT3. 19 Disember keputusannya agak memberangsangkan dengan deretan A. Syukur sangat kerana dia mampu menjadi contoh kepada adinda-adindanya yang lain. Aku...terima seadanya rezeki yang Allah kurniakan. Walaupun tidak kaya harta benda dan wang berbilion, aku masih bahagian dengan apa jua yang ada.
Syukur.
Sunday, October 2, 2016
Ada Cinta Di Dalam Gelas
Ada cinta di dalam gelas
Yang belum pasti dibalas
Yang punya sekeping ikhlas
Yang manis untuk dibias
Thursday, September 8, 2016
Eksklusif
Ada kalanya kita memerlukan privasi dalam ruang dan masa yang terhad. Privasi itu haruslah eksklusif. Eksklusif masa dan eksklusif tempat. Jika ingin berteman...haruslah teman yang juga eksklusif di hati kita.
Demikianlah kehidupan. Dalam memeluk keriuhan suara anak-anak ada masanya aku perlukan keeksklusifan. Tenang. Damai. Persona.
Tuesday, August 23, 2016
Salam Perjuangan Abadi (dedikasi buat Zafri)
Monday, August 22, 2016
Cantuman Rasa Terlerai Binasa (buat ipar yang masih leka)
cubalah kau hadap diri penuh percaya
bahawa akan ada hati yang sakit dan terluka
miski yang kau caci itu seorang yang lebih tua
jika tidak kerana hormat akan keturunanmu Yang Mulia
sudah lama aku membias hina.
Sedarkah dikau
kerana mulut badan binasa
sejahat-jahat hati dan dan sebenak-benak puaka
tidak sesekali aku menghina
kerana darjat suamiku dan keluarga orang ternama
namun kau tidak pernah mengambil kira
tidak pernah memikir buruk segala petaka
bahawa lidahmu sangat menghiris rasa cinta
antara kita...
Saturday, August 20, 2016
Lihat Dengan Mata Hati, Dengar Dengan Telinga Tuli
Kau kejar darjat dan pangkat
Kau tebak pidato berdegar
Kau raih undi berbau sampah
Kau abdikan tanah yang kau pijak.
Kau tabur janji yang mungkir
Kau rasa kami tak punya fikir
Kau binasakan kepercayaan si fakir
Kau megah bak ahli sihir!
Kau lihatlah dengan mata hati
Bukan mendengar dengan telinga tuli
Kau insaflah sebelum dipanggil Ilahi
Jangan tunggu kami halau kau pergi!
Friday, August 19, 2016
Tuah
Tuah,
Demi kasih seorang saudara aku dituduh penderhaka.
Demi sayang seorang sahabat aku dianggap penjahat.
Tuah,
Kau mungkin benar dalam melayar onar.
Kau disanjung sultan yang menjunjung.
Tuah,
Sungguh kau bertuah.
Memiliki bukan sekadar nama, pangkat dan Taming Sari.
Tetapi kedudukanmu di mata sultan waimah baginda menitahkan kau dibunuh.
Kau rela dirimu dihukum atas dasar kesetiaan terhadap baginda. Tetapi kau rela pula menghukum kasih sayang kita yang lahir sejak telapak kaki masih sebesar ibu jari.
Tuah,
Aku menderhaka kerana menegakkan keadilan, memperkukuh persahabatan.
Kau pada zamanmu dianggap pahlawan. Aku pada zamanmu seorang penderhaka sultan.
Tuah,
Waris yang kita tinggalkan...rupa-rupanya lebih ramai yang rela menderhaka menegak kedaulatan daripada menabur budi setia menebak kecurangan! Kau pilihlah...legasi mana satu untuk telus dalam perjuangan!
Tuah,
Aku Jebat penderhaka mulia! Mengagungkan kesetiaan melawan kemungkaran!
Monday, August 15, 2016
Makan Gaji Makan Hati
Saturday, August 13, 2016
Mak Bukan Orang Gaji
Sudah banyak kali ayat keramat "Sabtu pun mak bapak kau hantar kau kat rmh atuk!"
Nampak? Apa sebenarnya yg orang tua kita rasa? Anak-anak sengaja bikin panas hati mak ayah. Mak ayah tak akan nak cakap ayat tu depan anak-anak? Bangsat-bangsat pun dia akan cakap dpn cucu dia dan telinga org lain mestilah ada yang peka.
Dunia akhir zaman...ramai anak yg buat mak bapak macam orang gaji. Memang aku sedih. Bukan tak mampu nak hantar ke pusat jagaan, rumah pengasuh atau jaga sendiri...tapi mak ayah dia jugak yang dipaksa jaga anak dia. Bukan seorang bukan dua orang. Bukan budak besar...malahan baby lagi. Ingat tak renyah ke nak jaga baby? Mak tu ada kerja lain. Mak tu ada masa nak rehat. Mak tu dah tiba masa nak tumpu ibadah. Tapi semua tu tak terlaksana sebab nak jaga cucu. Dia terpaksa redha dgn keadaan. Paksa rela itu sudah sebati dlm dirinya. Lebih sedih lagi bila anak itu setiap hujung bulan akan cakap "Nak mak...ni duit jaga budak-budak!"
Nampak? Sebijik kau buat mak kau macam bibik Indon.
Sedih aku. Duit tu mak kau leburkan utk makan minum anak-anak kau juga sudahnya. Duit itu jugalah yang mak kau guna beli brg dapur nak sumbat mulut anak-anak kau juga akhirnya. Kau bangga ke? Lagi besar pangkat lagi besar gaji lagi besarrrrr kebodohan kau!
Aku harap anak-anak aku semua tak buat aku macam tu. Aminnnn...
Tuesday, July 26, 2016
Slot Memanjakan Diri
Sunday, July 17, 2016
Letak Jawatan vs Bersara Awal
Lewat minggu ini kisah Britain dan Brexit tersebar luas. Negara Sang Ratu itu sudah keluar dari blok Kesatuan Eropah, biarpun Perdana Menterinya David Cameron dilihat tidak begitu setuju. Namun undian majoriti rakyat Britain tidak menyebelahinya. Sungguh peratusan yang menyokongnya dengan peratusan yang membantah tidak jauh beza. Disebabkan jiwa lelaki Inggeris ini yang saya lihat sangat budiman, Cameron akhirnya berundur daripada arena politik sekali gus meletakkan jawatan sebagai pembesar negara! Beliau dilihat sangat gentelmen!
Kisah empat pemain skuad bola sepak negara dan juga pemain JDT, iaitu Syafiq Rahim, Adil Zafuan, S. Kunalan dan Amirul Hadi bersara awal daripada skuad bola sepak negara menjadi isu panas arena bola sepak Malaysia. Bola sepak di Malaysia tidaklah segah dan sematang bola sepak antarabangsa yang mengkormesialkan pemain dengan bidaan jutaan dolar. Kekuatan dam ketangkasan fizikal meraka juga bak langit dan bumi. Mentaliti dan gaji mereka juga tidak setanding dengan senario di luar negara. Status piala yang dipertandingan juga sangat jauh prestijnya. Tetapi isu empat pemain ini sangat panas sehingga melibatkan pak menteri, persatuan bola sepak dan orang istana yang terjerumus dalam kendalian bola sepak negara. Apalah sangat isu bersara awal ini? Ini isu remeh. ramai penjawat awam yang bersara awal daripada usia pesaraan yang dihadkan atas sebab-sebab tersendiri. Persaraan awal empat pemain bola ini lebih tepat dikatakan sebagai 'menarik diri' atau sama saja istilah dengan 'letak jawatan'.
Apabila kita merasakan segala usaha menjayakan sesuatu tidak kesampaian sama ada kerana diri sendiri atau faktor pihak lain, kita sering mengambil keputusan untuk melepaskannya. Bukan kerana tidak mahu bertanggungjawab tetapi kerana rasa bersalah kerana 'gagal' memberi yang terbaik.
Dua contoh di atas merupakan contoh terbaik yang saya anggap sebagai teladan kepada diri sendiri dan orang lain. Ketidakberadaan kita itu nanti pasti akan diisi oleh individu lain yang mungkin lebih menyerlah daripada apa jua yang kita tawarkan semasa khidmat kita. Jadi, menarik diri atau letak jawatan atau bersara awal itu sebenarnya tindakan yang wajar dan berani!
Namun, tidak semua di antara kita yang sanggup melakukannya. Mungkin kerana ego, tamak dan perasan bagus. Jika selalu sangat memegang kanta pembesar, pasti kesalahan orang lain melebihi kesalahan diri sendiri. Jadi, cermin-cerminlah diri selalu untuk melihat kekurangan diri.
Monday, April 25, 2016
Kisah Zarin - Bahagian II
Aku berusaha menyediakan jadual untuk Zarin belajar di rumah. Rutin hariannya bermula seawal subuh. Bersiap-siap awal pagi untuk aku hantar dia ke rumah mak mentua aku. Bas sekolah agama akan mengambil Zarin pergi dan balik ke sekolah agama pada pukul 10.00 pagi. Zarin akan pulang dari sekolah agama pada pukul 12.00 tengah hari.
Kebiasaannya dia akan berehat (solat Zuhur dan makan tengah hari) di rumah nenek, memandangkan tiada sesiapa di rumah kami kerana anak-anak lain ke sekolah dan tiga yang terakhir aku hantar ke rumah pengasuh.
Zarin, akan belajar mengemas rumah nenek selesai solat dan makan tengah hari. Dia suka persekitaran yang kemas dan bersih. Usai semuanya dia akan mulakan latihan Matematik atau Penulisan (Melayu dan Inggeris) yang telah aku tetapkan. Pada sebelah petang Zarin akan keluar bermain. Dia akan ikut nenek ke kebun untuk belajar berkebun (gardening). Kalau cuaca terlalu panas atau hujan, biasanya nenek tidak membenarkan Zarin ke kebun, bimbang dia akan demam atau tak tahan panas. Waktu itu akan digunakan Zarin untuk melukis. Zarin, pandai berkebun. Memetik sayur, mengenal jenis tanah, mengenal tumbuh-tumbuhan, membuat baja kompos dan sebagainya. Ya, itu juga salah satu proses pembelajaran.
Pada sebelah malam aku bantu Zarin menghafal ayat-ayat al-Quran mengikut kemampuannya. Jika tidak pun aku pantau dia menghafaz doa-doa dalam solat. Pada masa yang sama aku semak latihan Matematik dan Penulisannya.
Aku cuba daftarkan Zarin ke Kelas Art and Design untuk kanak-kanak (tanpa pengetahuan suami). Aku tidak dapat bertahan lebih lama memandangkan kosnya terlalu tinggi iaitu sekitar 800.00. Kukira tidak berbaloi dengan usianya yang masih kecil. Begitu juga dengan kos kelas Phonetic English yang mencecah 3,600.00 (60 kali kelas) sahaja. Aku gagal bertahan untuk meneruskannya kerana pencapaiannya tidak memberangsangkan dan tidak berbaloi dengan harganya. Akhirnya aku sendiri yang mengajar Zarin di rumah.
Pihak PPD nampaknya tidak bersetuju dengan penjadualan homeschooling Zarin. Aku disaran untuk menghantar Zarin semula ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan formal supaya dia dapat bergaul dengan rakan sebaya yang lain. Buat masa ini aku masih memikirkan jalan terbaik untuknya.
Waallahualam...
Tuesday, April 19, 2016
Kisah Zarin
Punca keengganan dia ke sekolah bermula daripada sikap seorang guru Matematik yang garang. Dia dimarahi gara-gara tidak menyiapkan kerja sekolah. Dia salahkan guru kerana cepat sangat padam soalan di papan putih menyebabkan dia ketinggalan menyalin soalan. Saya salahkan Zarin kerana dia lambat menyalin. Dia tak mengaku kesilapannya kerana menyalin bukan sesuatu yang dia suka. Buku latihan Matematik sedia ada dengan soalan Matematik yang cikgu beri di papan putih tidak ada beza. Kenapa mesti disalin semula? Itu kata Zarin. Aku katakan kepadanya proses menyalin mungkin salah satu cara galakan mencantikkan tulisan murid. Alasan itu disangkal dengan pendapatnya. Lebih baik menulis karangan atau cerita untuk latihan mencantikkan tulisan. Ok. Ibu mengalah!
Perbincangan dengan pihak sekolah sama sekali tidak membantu usaha menempatkan Zarin ke sekolah semula. GPK gagal, guru kelas gagal, guru kaunseling gagal, guru besar langsung tak ambil peduli. Ok, aku pasrah! Zarin wajar ditempatkan ke sekolah lain. Aku ke PPD bagi urusan pertukaran sekolah. Nasib tidak menyebelahi aku untuk berurusan dengan cepat kerana beberapa kerenah birokrasi. Sebulan menunggu keputusan kekosongan sekolah baharu. Aku berulang alik ke sekolah-PPD-sekolah-PPD sehinggalah akhirnya aku 'penat' dan give up!
Puas berusaha dan berdoa, suatu hari Allah pertemukan aku dengan beberapa insan yang mendorong aku untuk melaksanakan homeschooling! Yessss!!!! Allah datangkan ilham kepada aku untuk post tentang homeschooling di status FB. Kesannya, aku menerima beberapa pendapat dan pandangan positif rakan-rakan FB tentang homeschooling. Ya, tidak kurang juga komen yang memberi kencaman!
Bersambung...
Saturday, March 19, 2016
Hilang
Semalam kau bersamaku. Menyambung perjalanan bertemu rumah Penciptamu. Kau berjanji akan kembali...
Hari ini kau hilang. Bersama dosa yang kuampunkan. Bersama bicara terakhir yang kau panggil. Kurantai segala rindu melepaskan kau pergi ke negeri abadi. Kerana...aku tahu, kususulimu jua suatu hari nanti. Damailah engkau di sana. Bersama kecintaan yang kau tinggalkan...
Thursday, February 18, 2016
Ola Bola
Ola Bola...mati-mati aku ingatkan filem Melayu. Nope!
Aku dipaksa menonton filem oleh seorang teman. Waktu stres merupakan waktu yang paling sesuai menonton filem di pawagam. Kami memilih Ola Bola!
Bukan sekadar filem...ia lebih daripada itu. Persoalan tentang kenapa Malaysia tidak ke Olimpik pada 1980 terjawab akhirnya. Menyaksikan kisah benar ini sangat menghiburkan. Filem Malaysia yang harmoni. Melayu, Cina dan India saling memerlukan! Semangat cintakan negara dan patriotisme sgt terserlah. Ada lelucon yang bersulam sendu! Semangat Stadium Merdeka! Kasih sayang dan kekeluargaan menebal dalam filem ini. Terlalu majmuk dgn bahasa yang kita gunakan seharian. Melihat watak Rahman yg dibawa pelakon hebat Bront Palare mengingatkan aku tentang kehebatan arwah Hasbullah Awang. Jersi no 10 mengingatkan aku terhadap Mokhtar Dahari. Semangat kesukanan yg tinggi dlm filem ini wajar ditonton oleh ahli sukan! Terutamanya pemain bola sepak negara! Tahniah kpd krew filem ini! Puas hati sangat!!!
Sunday, February 14, 2016
Kenangan Terpahit!
Anakanda Zareesh sudah lebih dua tahun. Tapi masih tak nak putus susu badan. Dengan adiknya Zawra pun tak nak mengalah. Seolah-olah dia yg punya semuanya. Berebut susu badan perkara biasa baginya. Lagi Zawra melalak sebab tak dapat susu...lagi rare baginya!
Dah letih memujuk dan menggunakan kaedah psikologi utk putuskan susu badan, dia tetap nak juga! Dgn idea ibu mentua, aku cuba getah bakawali (sapu). Bila dia kemaruk nak menyusu...dia rasa pahit yang teramat sangat!!! Mula-mula terkebil-kebil biji mata...tak lama tu batuk-batuk...pelik agaknya dgn rasa terbaru! Tak sampai lima minit dia muntahhh!!!! Haaaa...tuuu makan dia!!! Hahaha
Sorry Zareesh 😉 kali ni memang tak ada belas kasihan... Bukan apa, nak utamakan Zawra yang sering mendapat saki baki kakaknya.
Monday, February 8, 2016
Wajah Baharu Komtar
Cuti - bagi aku bukan sekadar bersantai-santai dengan keluarga malahan lebih daripada itu. Semalam waktu santai itu aku bawa anak-anak ke Komtar JB.
Suatu ketika pada tahun 90-an Komtar itulah 'port' lepak aku bila bosan stay di rumah. Kadang-kadang balik sekolah, naik bas T Hakim berhenti depan Komtar sekadar nak lepak kat kedai kaset dengar lagu-lagu rock. Masa tu popular sgt lagu Taman Rashidah Utama! Nak beli kaset kadang duit tak cukup. Kalau cukup pun dah spend nak beli novel Steven Spielberg.
Dulu Komtar itulah tempat arwah ayah tempah songkok. Ayah memang peminat tegar songkok. Macam-macam pesen! Yang 2 inci, yang 4 inci, baldu hitam, baldu biru, berlubang dua, special shape, simple shape... tukang jahit songkok yg di Komtar tu je yg faham permintaan ayah. Lagi satu...kalau nak beli songket Terengganu, di Komtar itulah kedainya. Ayah suka betul ke Komtar. Lepas beli-belah mesti singgah Medan Selera pekena mi rebus Haji Wahid!!! 😍
Mak pulak kalau datang Komtar akan cari barang jahitan dan sulaman. Situ aje kedai yang menawarkan barang dengan harga patut.
Semalam, kali pertama aku jejak Komtar selepas ia diubah suai. Huh! Sudah hilang nostalgia lama. Sudah tiada peniaga bumiputera. Sudah hilang warisan Melayu! Saling tak tumpah macam City Square jiran sebelahnya. Inilah perubahan zaman perubahan ekonomi negeri. Perubahan yg terpaksa dilaksanakan demi modenisasi dan urbanisasi kerana berjiran dgn sebuah negara kaya!
Kepada mereka yang mementingkan jenama...Komtar tempatnya. Aku? Cukuplah 6 tahun sekali!
Tuesday, February 2, 2016
Mulia Sekeping Hati
Thursday, January 28, 2016
Touch N Go CareLine
Tuesday, January 26, 2016
Cikgu Maths
Monday, January 25, 2016
Ceritera FB
Aku menjadi mangsa dalam keperibadian aku sendiri. Secara peribadi, laman itu aku anggap sebagai ruang peribadi aku yang aku garap dengan pelbagai rencah. Luahan hati dan minda sering kali aku luaskan pengaruhnya di FB. Analoginya bagai sebuah rumah milik persendirian. Kita berhak mendapat hak eksklusif di kediaman sendiri apatah lagi jika kita menjadi residen tetap! Asal sahaja kita tidak menceroboh hak dan meruntuhkan rumah orang lain itu sudah cukup bagus. Kita punya sukalah nak pakai apa pun di dalam rumah sendiri. Tak nak pakai apa-apa pun itu hak kita. Jika dianggap melanggar hak asasi manusia, mana aktanya? Apa hukumannya? Begitu jugalah FB. Akaun kita, suka hati kitalah. Malangnya ada pihak yang tidak bersetuju dan memandang sendeng keberadaan aku dalam ruang privasi tersebut. Sanggup menjadi 'stalker' untuk menjahanamkan kerjaya dan reputasi aku. Hanya kerana ada tika dan waktunya aku 'beraku engkau' semasa berstatus. Adakalanya aku dianggap marah tak bertempat (oooo...aku tak boleh marah orang lain rupanya!). Sehinggakan aku tidak lagi dianggap sopan, maka aku mengambil keputusan untuk DIAM. Maka diam itu lebih baik. Aku mengalah bukan kerana kalah. Aku muak! Muak dengan sandiwara rakan sejawatan yang sakit hati apabila status yang aku 'update' mendapat perhatian dan komen yang pelbagai.
Begitulah hati manusia. Selagi ada titik hitam dalam sanubarinya selagi itu hidupnya walang! Aku begini adanya. Meneruskan catatan harian aku ke medium yang lebih mengujakan. Selain berblog di halaman sendiri aku bisa post lakaran kehidupan di Instrgram dan bertwit di laman Twitter. Yaaa...di situ lebih aman. Selamat tinggal FB dan rakan FB. Kutinggalkan kalian dengan jejak yang tidak terkesan. Wasalam.
Sunday, January 24, 2016
Aku
Mata editor tak pernah berdusta selagi dia tidak buta dan membuta. Tetapi telinganya bisa bertelingkah menidakkan dan mengendahkan [Azura Halid]
Diam Sekian Lama
Sekian lama menyepi diri daripada keriuhan berblog kini aku kembali menjalin semula aksara yang suatu ketika dulu menemani hari-hariku.
Izinkan aku Tuhan, menyandarkan baris-baris ayat yang lebih bermanfaat. Moga ruang ini menjadi medan terindah buat seorang Azura!
Selamat bertemu kembali blog dan bloger!