Pages

Wednesday, June 24, 2009

Wanita Pemangkin Ekonomi Negara?

Bunyi tajuk macam nak bincang dalam Dewan Ekonomi... Sebenarnya saya terfikir tentang kegawatan ekonomi global tika ini. Bila saya katakan kepada suami, 'zaman gawat ni, kena fikir dua kali nak beli barang', suami betul-betul tak setuju. Katanya, selagi masih boleh cari makan (kerana dia berniaga), boleh bagi saya dan anak-anak makan, boleh bagi mak ayahnya duit saku bulan-bulan dan boleh buat simpanan, tiada istilah gawat dalam 'lap top' hidupnya. Eh, gitu pulak?

Semalam saya meninjau-ninjau Plaza Angsana (saja datang mencuci mata). Saya perhatikan orang ramai sibuk membeli-belah. Bukan setakat itu saja, makan juga yang mewah-mewah. Daripada pemerhatian, tak salah rasanya kalau dikatakan bahawa kaum wanita menjadi penggerak utama ekonomi negara ini. Apa tidaknya, yang sibuk membeli di kedai kaset, orang perempuan. Yang sibuk memilih pakaian bayi, orang perempuan. Yang membelek dan membeli tikar buluh juga orang perempuan. Yang berdedai-dedai di Gulati's, orang perempuan juga. Orang lelaki mana? Ada...ada di kaunter-kaunter jualan, kaunter McDonald's, kaunter Pizza Hut, di celah-celah tangga Angsana, dan yang terselit dan melepak di luar Angsana. Ini baru Angsana...

Kalau tidak orang perempuan yang membeli-belah, mungkin tak berputar modal perniagaan peniaga-peniaga di Angsana tu. Kalau semua duit kita simpan, mungkin ekonomi kita semakin gawat. Sebahagiannya perlu dibelanjakan untuk memacu ekonomi negara (tak gitu sifu???).

Ada pendapat mengatakan yang orang perempuan memang kaki shopping. Setuju? Ya, secara peribadi saya setuju, secara ilmiah belum tentu. Saya sendiri tidak berminat membeli-belah (lagi-lagi sejak membaca laman web yang berkaitan dengan wang, simpanan dan kewangan). Beli yang betul-betul perlu. Saya tak kisah kalau kasut dua tahun tak berganti. Apa peduli! Selagi boleh pakai...sarung sajalah. Tapi keinginan membeli tetap melonjak-lonjak kerana beberapa faktor. Pertama, bila cik abang terlebih bagi duit. Kedua, sale sana sale sini yang kononnya hadir setahun sekali. Ketiga, nafsu tak dapat dibendung! (Maklumlah, wanita dikurniakan dengan sembilan nafsu!). Eh, alasan...

Oleh sebab itulah golongan wanita tetap dijadikan ikon dalam soal shopping. Ini baru kisah golongan marhaen...belum lagi kisah golongan atasan (datin, puan sri, datin sri) berbelanja. Kalau setakat beli-belah di Sogo, Jusco...huh! Apa class???

Tuesday, June 23, 2009

Budaya Orang Johor

Baru-baru ini saya ditegur oleh seorang teman; "kenapa kau suka cakap 'ek'?". Saya gelak agak besar setelah perasan yang teman itu bukan orang Johor. Ya, baru terfikir, kenapa setiap kali buat ayat mesti nak cakap 'ek'? Saya kira, mungkin itu trade mark lidah Johor. Sesiapa yang dilahirkan dan dibesarkan di negeri Johor ini, mesti tak akan terlepas daripada skima ayat seperti ini. Contoh ayat "kenapa kau tak nak pergi ek?" , "kenapa dah lama tak datang ek?", "buat apa belajar pandai-pandai ek?" (dan macam-macam 'ek' lagilah!). Sebenarnya 'ek' itu ialah ganti kepada tanda soal.

Orang Johor juga suka menjadikan 'kawan' sebagai kata ganti nama diri. Contohnya "kawan dah datang, tapi kau yang tak ada kat rumah", "bini kawan masak sedap hari ni", "anak kawan buat bising, kawan malas nak tego (tegur)". Ha...istilah 'kawan' bukan bermaksud sahabat atau teman. Kawan itu ialah 'aku' atau 'saya'. Walaupun mereka bermusuh antara satu sama lain, mereka tetap jadi 'kawan'! Cantik bahasa orang Johor ni.

Jika anda pernah ke majlis perkahwinan orang Johor, mungkin anda biasa mendapat telur pindang sebagai cenderamata daripada pihak pengantin. Telur Pindang ini, biasanya (selalu juga) hanya ada di Johor. Orang negeri lain, mungkin tak suka atau tak tahu langsung tentang telur pindang. Telur Pindang terhasil daripada telur ayam juga. Cuma cara membuatnya agak rumit dan menggunakan kos yang tinggi selain masa yang diambil terlalu lama (sehari semalam pun belum tentu siap!). Telur Pindang direbus bersama-sama daun-daun ulam seperti daun salam, daun jambu, daun serai, daun kunyit, daun lengkuas, daun pandan...(saya tak ingat apa lagi daun). Tapi, majlis kahwin zaman sekarang (zaman ekonomi meleset) jarang-jarang kita dapat telur, apatah lagi telur pindang. Saya pernah tanya ayah saya, kenapa balik rumah pengantin, selalu dapat telur? Ayah saya kata, kalau kita pergi kenduri kahwin (di Johor), kalau balik tak dapat telur, maknanya PENGANTIN TAK TAHU MENGAJI! Haaa...tuuu dia! Orang dulu kalau buat kenduri kahwin, akan dibuat sekali majlis khatam quran. Biasanya pengantin atau anak-anak saudara pengantin yang dikhatamkan. Habis majlis khatam, tetamu akan dihadiahkan dengan telur, atau lebih class lagi telur pindang. Telur pindang juga sebagai petanda aras level pengantin (golongan bawahan atau golongan berada). Biasanya golonga 'ada-ada' saja yang buat telur pindang.

Botok-botok juga salah satu makanan yang berasal dari Johor. Botok-botok merupakan ikan yang dikukus bersama-sama serbuk kari dan daun-daun (daun betik, daun puding, daun salam, iissshh...lupalah daun apa lagi), tapi yang pastinya botok-botok makanan berkhasiat dan sangat sedap (tapi tak semua orang sukakannya). Dan, bukan semua orang pakar membuatnya. Dan...bukan semua ikan sedap dibuat botok-botok.

Beberapa lagi istilah orang Johor yang tidak berbentuk global tetapi sering digunakan dalam masyarakat Johor sebagai bahasa basahan ialah 'endut', 'gebar'/'gebor', 'gerobok'/'gobok', 'bigor', 'bongok'. Setakat yang saya tahu, belum ada mana-mana penerbit buku yang menghasilkan Kamus Istilah Johor. Kamus istilah sangat berguna untuk genarasi akan datang, supaya mereka tidak terpinga-pinga apabila mendengar perbualan orang lain lebih-lebih lagi orang yang lebih tua daripada mereka.

Glosari:
1. Endut - kekasih (tanpa mengira jantina) Contoh ayat - Kau dah ada endut belum? Orang berendut, kau pun nak berendut.
2. Gebar - selimut (tanpa mengira material) Contoh ayat - Gebor semalam dah basuh ke belum? Dah kena air liur basi pun tak basuh-basuh lagi.
3. Gerobok - almari (tanpa mengira fungsinya) Contoh ayat - Gobok baju mak buat simpan baju, gobok kat dapur mak buat simpan pinggan mangkuk Arcopal.
4. Bigor - gila-gila (tidak sama erti dengan gila isim) Contoh ayat - Samdol yang bigor tu pun si Senah hendak.
5. Bongok - bodoh (sama makna dengan sengal dan stupid) Contoh ayat - Samdol tu pergi sekolah hari-hari pun, tetap bongok jugak. Entah apa yang dia makan pun aku tak tahu.

Friday, June 19, 2009

Selamat Hari Bapa

Gembira dan bahagia melihat ayah sihat dan ceria melayan cucu-cucu.
Kasih sayang dan peluk cium ayah sentiasa kudambakan. Semoga ayah terus dilindungi Allah. Terima kasih atas segala-galanya yang sehingga kini tidak berupaya kubalas. Selamat Hari Bapa. I miss you, ayah...
Tangisan ayah semasa majlis pernikahan aku, sehingga kini masih terbayang-bayang. Betapa berat dia melepaskan aku kepada lelaki lain, walhal dialah yang mewalikan pernikahan itu. Itulah lumrah dan fitrah kehidupan. Ayah, tiada yang serupa denganmu. Percayalah. Sayang ayah!
Kaulah satu-satunya...di antara berjuta...insan teristimewa...

Bicara Herba: Ulam Raja

Ulam Raja merupakan salah satu ulam kegemaran saya sekeluarga. Ulam Raja mendapat perhatian lebih-lebih lagi jika menu pada hari tersebut tiada sebarang lauk bersayur. Lebih teruja apabila dimakan dengan sambal belacan atau sambal lutu! Peerrghh...

Ulam Raja bukan sahaja mudah ditanam bahkan senang menyelenggarakannya. Boleh hidup subur walaupun tidak berbaja. Di kalangan ahli sains, ulam Raja dikenali sebagai Wild Cosmos Caudatus (ganasss tu bunyi dia!!!). Tanaman ini berasal dari Florida, Amerika Syarikat. Bunganya berwarna unggu/kuning. Daripada bunga itulah terhasilnya benih ulam Raja. Walaupun daunnya sedikit berbau...tapi sedap dimakan (lagi-lagi dengan nasi panas!). Antara khasiat ulam Raja ialah:

1. Melancarkan peredaran darah.
2. Membersihkan darah.
3. Menguatkan tulang (kaya dengan kalsium dan vitamin A).
4. Kandungan antioksidanya yang tinggi.

Selamat menjamu selera dengan hidangan yang berkhasiat. Amalan memakan ulam-ulaman berupaya melambatkan proses penuaan sekali gus proses kematian.

Oh, Rupa-rupanya...

Baru kusedari hakikat sebenar. Keruntuhan Stadium Sultan Mizan Terengganu, rupa-rupanya angkara makhluk ini...
Orang Terengganu kena pastikan tempat-tempat lain tidak diserang hendap oleh makhluk ganas ini. Jika tidak, banyak lagi bangunan lain yang akan runtuh...Eeeii..takuutt!

Wednesday, June 17, 2009

Bicara Herba: Belimbing Buluh

Sudah sekian lama tidak bersua dalam entri Bicara Herba. Kali ini saya memasukkan entri tentang belimbing buluh.
Belimbing buluh amat dikenali di kalangan suri rumah untuk menyedapkan masakan terutamanya untuk masakan ikan sepat lemak cili api. Memang kaw..kaw! Lebih sedap jika dicampur dengan sambal belacan! Eh, saya bukan nak bercakap tentang resepi hari ini...

Tahukah anda, belimbing buluh boleh dijadikan pelbagai penawar? Rasanya memang masam...tapi, yang masam itulah penawar. Para saintis mengklasfikasikan belimbing buluh sebagai Averrhoa Belimbi Linn (sedap jugak namanya ek?). Jus belimbing buluh dikenal pasti sebagai panawar darah tinggi, kencing manis dan ubat pitam. Buahnya boleh melicinkan kulit muka dan mengatasi masalah jerawat. Tapi, awas! Sangat pedih jika terkena pada jerawat yang dikategorikan parah. Boleh juga dimakan begitu sahaja bagi merawat sakit gigi. Jika direbus, airnya boleh dibuat penawar batuk (tapi tidak sesuai untuk bayi). Silalah mencubanya bagi mengelakkan diri terus diimunisasi dengan 'dadah' dan bahan kimia lain dalam rawatan moden. Kosnya pun sangat rendah!

Tuesday, June 16, 2009

Jendela Selatan April 2009

Jendela Selatan (JS) keluaran April 2009, telah terbit. Kepada semua penggiat sastera dan bahasa di Johor, Melaka, Singapura dan Riau boleh mendapatkannya secara percuma di Unit Penerbitan, DBP Wilayah Selatan. Naskhah akan dipos hanya kepada penyumbang JS keluaran April 2009.

Antara isu yang dibincangkan pada keluaran kali ini ialah:
1. Adab Menulis dalam Media Digital oleh Zulkifli Khair.
2. Muar: Mengukir Nama dalam Sejarah oleh Ruzaini Yahya.
3. Keindahan Pantun dalam 'Sejarah Melayu' oleh Jafny
Jaapar.
4. Perkampungan Penulis Muda Melaka oleh Rusdi Abd.
Rahman (laporan).


Puisi-puisi yang tersiar pada kali ini merupakan puisi pilihan karya pelajar daripada Perkampungan Penulis Muda Melaka 2009.


Sekian, untuk makluman.

Thursday, June 11, 2009

ASTRO Layak untuk Semua?

Siapa punya kerja ni? Tiang lampu pun mampu pasang ASTRO?

Apa Sebenarnya?

Cuba baca dengan teliti. Apakah kehendak mesej ini sebenarnya? Siapa yang harus dipersalah? Inilah akibat, jika bahasa kebangsaan terus diabai.

Wednesday, June 10, 2009

Audit Datang Lagi...

4 hingga 7 Mei yang lalu, kami sepejabat menerima kunjungan AUDIT. 4 hari kami diterjah! Macam biasa, kedatangan mereka yang tidak diundang ini sedikit sebanyak menyentap jantung yang masih dalam keadaan baik (alhamdulillah). Diaudit...jawab! Disoal...jawab! Ditanya...jawab! Disindir...jawab! Ditanggung...lagilah kena jawab sebab semua itu tanggungjawab. Secara peribadi, memang semua kehendak AUDIT telah lama disediakan bagi memudahkan tugas-tugas mereka (siap tandakan lagi mana yang penting-penting). Minta fail...bagi. Minta rekod...serah. Minta jadual...hah! ambiklah semua! Tiada apa pun yang perlu disembunyikan. Kerja ikut prosedur. Tak ada apa nak mengelat. Organisasi ni kecil sahaja, tak sempat nak makan rasuah.

Belum sempat tarik nafas lega, AUDIT ISO datang pula (3 hari berkampung di pejabat dari 19-21 Mei). Terdapat ketidakakuran...ye, saya akur tuan, saya silap tuan, saya akan buat tuan, saya mengaku tuan...(setakat silap bilangan surat pun aku kena ketidakakuran...huhuhuuu...). Apatah lagi lupa minit fail! Aduh...

Baru nak duduk bersandar, AUDIT datang balik!!! Mereka membelek-belek lagi hasil kerja yang terdahulu (8-10 Jun). Aduh...letih. Kerjasama tetap diberikan dengan sejuta kesabaran. Tanduk dan taring sama sekali tidak dibenarkan keluar tatkala menghadap mereka. Sabar...sabar...sabar. Kena banyak bersabar sebab mereka meminta perkara yang sama berulang-ulang. Dan perkara yang sama juga dimaklumkan secara berulang-ulang. Kalau hilang sabar...(haiii...tak tahulah nak cakap...). Audit oh, audit! Semoga kerja kalian diberkati. Amin...

Pemandu Teksi Warga Asing

Saya terbaca keluhan seorang pak menteri di Jabatan Perdana Menteri tentang isu pemandu teksi Malaysia yang terdiri daripada warga asing Indonesia, Pakistan dan Nepal (KOSMO! 10 Jun). Saya tersenyum sinis. Isu ini bukannya baru. Saya sendiri pernah terkena (ternaik teksi pemandu asing) sejak berkhidmat di DBP ibu pejabat lagi - sekitar 2003. Saya menaiki teksi dari KL Central ke Bangsar. Di KL Central, teksi tak perlu ditahan-tahan kerana sistem pembelian tiket teksi di kaunter telah dipraktikkan. Setelah mendapatkan tiket/resit tersebut, terus sahaja ke tempat menunggu teksi dan di situ deretan teksi setia menanti. Maknanya, penumpang tidak diberi peluang untuk memilih mana-mana teksi yang hendak dinaiki. Apa sahaja teksi yang berada di hadapan kita, itulah yang akan menangkut kita.

Destinasi ke Bangsar cuma mengambil masa tidak lebih dari 35 minit (tanpa kesesakan lalu lintas). Oleh sebab, saya tinggal di kawasan Bangsar, maka saya amat maklum tentang jalan-jalan yang dilalui. Teksi yang saya naiki telah memasuki Ampang! Lalu pula di Istana Budaya! Akhirnya lalu di hadapan Muzium Negara! Apabila saya bersuara dengan perjalanan yang terlalu jauh, pemandu teksi kata "saya ngak maklum jalannya buk!" Aduh!!! Indon rupanya! Mujurlah saya tak dibawa bersiar-siar ke kedutaannya! Gawat sih!!!

Itulah senario yang saya alami pada tahun 2003! Pak menteri membangkitkan isu ini setelah 6 tahun peristiwa ini berlaku! Apa dah jadi? Soalan ini bukan untuk pemandu teksi tersebut, tetapi khas untuk pak menteri itu. Di mana keprihatinannya? Sejauh mana undang-undang dilaksanakan? Mengapa senario ini berlaku? Apa nak jawab dengan pelancong asing? Pak menteri pengangkutan sibuk nak pemandu teksi belajar bahasa Inggeris, pak menteri pelajaran sibuk nak wajibkan bahasa Inggeris lulus dalam SPM.

Isu yang lebih penting, yang mencerminkan maruah negara dan bangsa telah diabaikan! Atau, mungkin pak menteri tak ingat ada teksi dalam Malaysia ni, kerana pak menteri duduk di 'leather seat' bahagian belakang seekor buraq bernama Merc.

Monday, June 8, 2009

Rewang...Rewang...Rewang

Setelah berbelas-belas tahun tidak pulang ke kampung, akhirnya semalam saya menjejakkan semula kaki ini ke Kampung Berong, Punggur, Batu Pahat, Johor. Kepulangan saya ke kampung kerana undangan majlis walimatulurus Mohd. Hafiz bin Abu Zaki, sepupu sebelah bapa, anak Pak Uda saya.

Majlis perkahwinannya betul-betul cara kampung. Saya sangat merindui kampung halaman. Itulah tempat saya belajar berjalan, belajar mengayuh basikal, bersama-sama arwah atuk mengheret lembut dan kambing untuk meragut rumput, memberi ayam itik makan, bermain-main dengan monyet peliharaan arwah atuk, mengopek pisang dengan arwah nenek untuk membuat pisang salai, membakar tempurung kelapa untuk dijadikan arang....setiap kali tiba musim cuti sekolah ayah akan menghantar saya pulang ke kampung. Tinggallah saya bersama atuk, nenek dan mak dan bapa saudara (Pok Da, Pok Cu, Mak Anjang...). Semua nostalgia lama terimbas kembali semalam, sehingga terkesan di hati. Tak terbendung air mata, tatkala bersalaman dan saling berpelukan dengan sepupu-sepupu yang lain yang semuanya menanti kehadiran saya.

Majlis tersebut penuh dengan adat istiadat Jawa-Melayu. Dimulakan dengan majlis khatam al-Quran, bersanding, makan beradab. Paling meriah apabila kenduri kahwin itu melaksanakan acara merewang pada malam sebelum majlis. Rewang beramai-ramai oleh penduduk kampung setempat telah lama diamalkan di Kampung Berong. Rewang bererti bergotong-royong menyediakan jamuan dan persiapan majlis perkahwinan. Saya suka suasana rewang ini kerana selain merapatkan hubungan kekeluargaan, rewang juga amat menjimatkan kos perbelanjaan majlis yang besar ini. Bayangkanlah apabila tukang masak dilantik daripada kalangan sukarelawan, tukang kupas bawang pun sukarelawan, tukang basuh periuk pun sukarelawan, tukang kemas dapur pun sukarelawan, tukang urus bontrot pun sukarelawan, tukang sibuk pun...sukarelawan! Pendek kata, semuanya dilakukan secara SUKA dan RELA. Lebih menghiburkan dengan kepetahan DJ kampung daripada saluran Radio Malaysia Kelam-Kabut (RKMM). Meriah...meriah...dan sungguh meriah! Jelas terbayang kebahagiaan wajah mak dan bapa pengantin.

Semoga pasangan ini beroleh rahmat sehingga ke akhir hayat. Amin...

Mentua vs Menantu

Drama episod Mentua vs Menantu yang ditayangkan di saluran ASTRO Ria telah pun tamat. Saya dan anak perempuan memang suka menonton lakonan Erra Fazira dan Aqasha itu. Kelakar, sedih, bahagia, dendam, cemburu...semuanya secukup rasa. Kisah menantu yang bercakaran atau tidak sebulu dengan mentua, bukan kisah baru dalam masyarakat kita. Ada juga mentua yang kaki buli, suka sangat menjadikan menantu (biasanya menantu perempuan) sebagai tempat melepaskan kemarahannya. Bak kata pepatah, 'pukul anak sindir menantu'. Kadang-kadang cucu punya hal, si ibu yang disindir-sindir sampai 44 hari!

Saya berbalas-balas sms dengan seorang teman yang baru berkahwin, yang menghadapi masalah dengan ibu mentuanya. Dia dan suaminya baru 3 minggu mendirikan mahligai perkahwinan. Dia terpaksa mengikut suami tinggal di rumah mentua, kerana mereka masih dalam proses mencari rumah. Katanya, baru 3 minggu tinggal dengan mentua, seksanya bagai 3 tahun. Itu tak kena, ini tak kena. Sapu sampah salah, tak sapu pun salah...basuh baju salah, tak basuh...lagilah salah!!! Bila sibuk mencuci pinggan, dikatakan macam cuci kerang! Baju yang sudah bergosok, dikatanya masih ronyok. Lama-lama teman saya ini memendam perasaan sendiri. Cuba juga dia mengadu dengan suaminya...suami pulak buat acuh tak acuh. Saya nasihatkan teman saya itu supaya banyakkan bersabar dan mungkin tempoh 3 minggu belum cukup untuk mengadun keserasian antara mereka berdua. Kesian pun ada...kelakar pun ada.

Jiran selang sebuah dari rumah saya pernah mengadu, betapa terseksanya zahir dan batinnya tatkala tinggal serumah dengan mentua. Mentuanya jenis suka bercerita keburukannya kepada jiran tetangga. Dikatakan dia tak tahu memasak, tak pandai mengemas! Haiii...manalah tak tertekan? Boleh diserang gila meroyan kalau dapat mentua macam tu!

Apabila saya bercerita kepada teman dan jiran saya, bahawa saya sangat bahagia tinggal sebumbung dengan keluarga mentua sejak berkahwin (lebih kurang 9 tahun) sebelum mengambil keputusan membeli kediaman sendiri, semua orang terkejut beruk! Semua hairan, bagaimana saya boleh tabah hati menghadap wajah mentua saban hari. Saya katakan, saya langsung tidak bermasalah. Saya memahami mereka, dan mereka memahami saya. Saya menghormati mereka, dan mereka menghormati saya. Saya dan ibu mentua masih boleh duduk ketawa bersama, bertukar-tukar cerita, bergosip-gosip tentang orang itu dan orang ini (pendek kata mengumpatlah...), boleh bertukar-tukar idea tentang drama-drama televisyen yang kami tonton bersama, dan...sampaikan kami boleh berkongsi tentang karenah suami masing-masing (siapa lagi kalau bukan anak lelakinya dan bapa mentuaku!). Hah! Itulah saya dengan ibu mentua. Dia saya anggap bagai ibu sendiri. Perlu dihormati dan ditaati. Menghargai hari lahirnya dan hari ibu saban tahun.

Saya akui, saya bukan menantu yang pandai memasak, tak juga rajin mengemas, dan langsung tidak tahu menjahit...namun saya melihat itu semua bukan penyebab, saya tidak serasi dengan ibu mentua. Saya mengambil pendekatan psikologi untuk mengambil dan menjaga hatinya. Senang sahaja...berikan apa yang dia suka, elakkan perkara yang dia tak suka, puji masakannya (puji dengan ikhlas), dan jaga anak lelakinya yang telah menjadi milik saya sebaik-baiknya. Hah...habis cerita!

Teman saya yang baru berkahwin itu, tak sabar-sabar nak pindah rumah lain. Jiran saya pula, sampai dah beranak tiga, masih lagi 'berbulu' dengan ibu mentuanya. Saya sangat bersimpati dengan nasib dua wanita ini. Mereka bukan orang bodoh, bukan tak ada pelajaran...sayangnya ibu mentua yang sudah ganyut punnnn nak dijadikan lawan. Seronok juga mendengar kisah mereka yang tak sebulu dengan mentua. Cerita yang sadis, boleh jadi bahan ketawa sampai meleleh air mata!

Tuesday, June 2, 2009

Seronoknya Cuti Sekolah...

Cuti sekolah pertengahan tahun bermula sejak Isnin (1 Jun) yang lepas. Buat seketika saya rasa 'bebas' (bebas yang terbatas). Anak-anak dah tentu seronok bercuti kerana tidak terikat dengan jadual pergi balik sekolah, bebas menonton program kegemaran, tidak terikat dengan masa untuk mengulang kaji pelajaran, tidak lagi mendengar leteran ibunya kerana lambat menyiapkan kerja sekolah dan bebas bermain apa sahaja. Mereka tidak tahu, bahawa saya sebenarnya yang dua kali ganda lebih seronok daripada mereka. Pertama kerana saya tidak perlu menggosok baju sekolah mereka sehingga berpeluh-peluh, tidak perlu memikirkan tentang bekalan makanan mereka, tidak perlu tergesa-gesa menghantar mereka ke sekolah, boleh memandu dengan tenang kerana tiada kesesakan jalan raya setiap kali ke tempat kerja, boleh memandu sambil menyanyi lagu-lagu kegemaran saya, boleh makan sambil memandu, berkesempatan pergi ke rumah rakan taulan dan saudara mara...peerrrgghh...alangkah seronoknya. Namun dalam keseronokan itu, saya gagal satu perkara...Saya sama sekali tidak berkesempatan menonton rancangan kegemaran saya...CSI! Bayangkanlah...pukul 12.00 malam pun mereka masih mahu menghadap TV!

Monday, June 1, 2009

Apa Dah Jadi?

Semalam saya, suami dan anak-anak berpeluang menghadiri Johor Furniture Fair di Persada Johor. Bukan tentang kehebatan perabot dan hiasan dalaman yang hendak diperkata, tapi tentang penggunaan bahasa. Sebaik sahaja kami tiba di Persada Johor, kami diarah oleh pengawal bertugas "please...to main entrance". Saya tersenyum memandang pengawal berbaju coklat cair itu - sekilas dipandang, wajah Melayunya amat menyerlah (terima kasih kerana berbahasa Inggeris dengan saya yang bukan pelancong asing).
Saya tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa yang amat besar apabila hampir semua kain rentang dan gegantung yang dipasang bersempena pesta tersebut, dipaparkan dalam bahasa Inggeris. Furniture Fair: Once A Year, Change Your Home, Best Buy, More Quality Less Pay, dan bermacam-macam lagi promosi yang dipaparkan. Tiada satu pun yang saya nampak, ditulis dalam bahasa kebangsaan. Apa dah jadi? Adakah saya berada di London? Frankfurt? Los Angelas? Huhhh!!! Semakin menyakitkan hati apabila acara cabutan bertuah di pentas utama, pengacaranya seratus peratus berkomunikasi dalam bahasa Inggeris! Mengapa dia perlu berbahasa Inggeris dengan hampir keseluruhan pengunjung yang hadir ialah rakyat Johor? Mengapa berbahasa Inggeris jika dia (pengacara itu) sendiri berbangsa Melayu? Mengapa, mengapa dan mengapa?

Emosi saya benar-benar terganggu untuk meninjau, membeli dan membelek perabot baru. Saya terpaksa menjadi diri saya yang sebenar. Kerana hidup mati saya dengan tugas-tugas editorial dan bergelumang dalam arena kerja dalam organisasi ini, maka saya akhirnya tidak dapat menghayati Pesta Perabot itu. Saya terfikir, kenapa semudah itu promosi hebat dalam bahasa Inggeris dilaksanakan? Mengapa penganjur tidak peka dengan sensitiviti masyarakat Melayu? Mana perginya peranan PBT yang mewajibkan semua kain rentang/gegantung disahkan oleh DBP sebelum dipasang? Tidurkah? Tak buat kerja kah? Makan gaji buta kah?

Bukankah cantik jika Furniture Fair diganti dengan Pesta Perabot atau Karnival Perabot atau Festival Hiasan Dalaman. Alangkah indahnya jika Best Buy diganti dengan Belian Terbaik, atau Harga Rendah. Alangkah bagusnya jika Lucky Draw ditukar dengan Cabutan Bertuah. Salahkah? Orang tak fahamkah? Saya sangat yakin, hal seumpama ini akan berulang lagi jika terus didiamkan. Bagaimana?

Mujur saya mendukung bayi saya, jika tidak semua saya rakam!