Pages

Monday, June 8, 2009

Rewang...Rewang...Rewang

Setelah berbelas-belas tahun tidak pulang ke kampung, akhirnya semalam saya menjejakkan semula kaki ini ke Kampung Berong, Punggur, Batu Pahat, Johor. Kepulangan saya ke kampung kerana undangan majlis walimatulurus Mohd. Hafiz bin Abu Zaki, sepupu sebelah bapa, anak Pak Uda saya.

Majlis perkahwinannya betul-betul cara kampung. Saya sangat merindui kampung halaman. Itulah tempat saya belajar berjalan, belajar mengayuh basikal, bersama-sama arwah atuk mengheret lembut dan kambing untuk meragut rumput, memberi ayam itik makan, bermain-main dengan monyet peliharaan arwah atuk, mengopek pisang dengan arwah nenek untuk membuat pisang salai, membakar tempurung kelapa untuk dijadikan arang....setiap kali tiba musim cuti sekolah ayah akan menghantar saya pulang ke kampung. Tinggallah saya bersama atuk, nenek dan mak dan bapa saudara (Pok Da, Pok Cu, Mak Anjang...). Semua nostalgia lama terimbas kembali semalam, sehingga terkesan di hati. Tak terbendung air mata, tatkala bersalaman dan saling berpelukan dengan sepupu-sepupu yang lain yang semuanya menanti kehadiran saya.

Majlis tersebut penuh dengan adat istiadat Jawa-Melayu. Dimulakan dengan majlis khatam al-Quran, bersanding, makan beradab. Paling meriah apabila kenduri kahwin itu melaksanakan acara merewang pada malam sebelum majlis. Rewang beramai-ramai oleh penduduk kampung setempat telah lama diamalkan di Kampung Berong. Rewang bererti bergotong-royong menyediakan jamuan dan persiapan majlis perkahwinan. Saya suka suasana rewang ini kerana selain merapatkan hubungan kekeluargaan, rewang juga amat menjimatkan kos perbelanjaan majlis yang besar ini. Bayangkanlah apabila tukang masak dilantik daripada kalangan sukarelawan, tukang kupas bawang pun sukarelawan, tukang basuh periuk pun sukarelawan, tukang kemas dapur pun sukarelawan, tukang urus bontrot pun sukarelawan, tukang sibuk pun...sukarelawan! Pendek kata, semuanya dilakukan secara SUKA dan RELA. Lebih menghiburkan dengan kepetahan DJ kampung daripada saluran Radio Malaysia Kelam-Kabut (RKMM). Meriah...meriah...dan sungguh meriah! Jelas terbayang kebahagiaan wajah mak dan bapa pengantin.

Semoga pasangan ini beroleh rahmat sehingga ke akhir hayat. Amin...

5 comments:

D'Rimba said...

Jangan lupa lawat blog saya ada iklan pasal aktiviti sastera kita. Sama-sama kita martabatkan.

Azhar Salleh said...

Salam AZURA,
Ketika saya menulis komen ini, saya baru sahaja sampai di kampung di Penang. Memang jauh berbeza kehidupan di sini dengan JB. Terlalu sangat berbeza. Tiba sahaja, terus kait buah kelapa muda, kutip ulam, telefon adik-adik datang makan nasi tengah hari sama-sama, dengan ulam kampung, kari ikan gerut putih, sambal sotong, ikan temenung goreng, perghhh! Itulah suasana kampung, dan kita memang merinduinya. Sebabnya, nampak sangat kita dah lama tak balik kampung!

Semencu said...

saya ada mengikuti blog awak dan hasrina... kekadang timbul rasa irihati sebab saya belum mampu menulis sehebat kamu berdua. saya memang minat bidang penulisan sejak kecil, tapi mungkin sebab kurang fokus, saya belum "ke mana-mana"...

insyaAllah pada kesempatan yang ada, saya akan terus melayari blog kamu berdua untuk mempelajari cara penulisan orang yang biasa menulis

Anonymous said...

PuaN, BONTROT TU APA? SAYA NI TAK BERAPA FAHAM CAKAP JERMAN. HE HE..
ahh.. lagi satu... buletin tu next week repair. pas tu dah boleh print. by 19th of june siap. insyaallah.. pena daksina nama dia. cantik uuuuuuu...

Citra Wangsa said...

D'Rimba,
Saya sering melawati blog sdr., cuma kadang-kala tidak menginggalkan jejak. Banyak aktiviti sastera yg saya maklumi drpd blog sdr. TK.

Cikgu Azhar,
Saya memang anak kampung, cuma dibesarkan dalam suasana moden apabila berlaku penghijrahan.

Semencu,
Mungkin boleh dedahkan serba sedikit tentang diri sdr., supaya kita lebih mudah berinteraksi tentang dunia penulisan. Untuk pengetahuan, hampir saban tahun saya mengendalikan bengkel penulisan di wilayah selatan(penulisan artikel, penulisan novel, penulisan tesis, penulisan ilmiah, penulisan majalah dll). Hasrina dan saya masih berhubungan dan kami sesekali berbincang juga hal-hal yang berkaitan dgn kerjaya masing-masing yang bersangkut paut dgn penulisan.

Tuan Syed,
Bontrot tu orang putih kata 'souvenir'. Orang Arab kata 'zikrayat'. Lebih dikenali dengan nama 'nasi berkat' kalau di Johor. Tak pastilah pulak mcm mana nasi tu boleh membawa berkat...Org Melayu kita ni kaya dgn adat dn budi bahasa. Dah makan kat kenduri, dapat lagi bekal nasi dan lauk pauk dan bermacam makanan ringan lain utk dibawa pulang - bawa balik 'berkat'...

Tahniah kpd kumpulan editorial UiTM JB yg bakal menerbitkan buletin sulung. Saya setia menanti kelahiran Pena Daksina!