Pages

Monday, June 8, 2009

Mentua vs Menantu

Drama episod Mentua vs Menantu yang ditayangkan di saluran ASTRO Ria telah pun tamat. Saya dan anak perempuan memang suka menonton lakonan Erra Fazira dan Aqasha itu. Kelakar, sedih, bahagia, dendam, cemburu...semuanya secukup rasa. Kisah menantu yang bercakaran atau tidak sebulu dengan mentua, bukan kisah baru dalam masyarakat kita. Ada juga mentua yang kaki buli, suka sangat menjadikan menantu (biasanya menantu perempuan) sebagai tempat melepaskan kemarahannya. Bak kata pepatah, 'pukul anak sindir menantu'. Kadang-kadang cucu punya hal, si ibu yang disindir-sindir sampai 44 hari!

Saya berbalas-balas sms dengan seorang teman yang baru berkahwin, yang menghadapi masalah dengan ibu mentuanya. Dia dan suaminya baru 3 minggu mendirikan mahligai perkahwinan. Dia terpaksa mengikut suami tinggal di rumah mentua, kerana mereka masih dalam proses mencari rumah. Katanya, baru 3 minggu tinggal dengan mentua, seksanya bagai 3 tahun. Itu tak kena, ini tak kena. Sapu sampah salah, tak sapu pun salah...basuh baju salah, tak basuh...lagilah salah!!! Bila sibuk mencuci pinggan, dikatakan macam cuci kerang! Baju yang sudah bergosok, dikatanya masih ronyok. Lama-lama teman saya ini memendam perasaan sendiri. Cuba juga dia mengadu dengan suaminya...suami pulak buat acuh tak acuh. Saya nasihatkan teman saya itu supaya banyakkan bersabar dan mungkin tempoh 3 minggu belum cukup untuk mengadun keserasian antara mereka berdua. Kesian pun ada...kelakar pun ada.

Jiran selang sebuah dari rumah saya pernah mengadu, betapa terseksanya zahir dan batinnya tatkala tinggal serumah dengan mentua. Mentuanya jenis suka bercerita keburukannya kepada jiran tetangga. Dikatakan dia tak tahu memasak, tak pandai mengemas! Haiii...manalah tak tertekan? Boleh diserang gila meroyan kalau dapat mentua macam tu!

Apabila saya bercerita kepada teman dan jiran saya, bahawa saya sangat bahagia tinggal sebumbung dengan keluarga mentua sejak berkahwin (lebih kurang 9 tahun) sebelum mengambil keputusan membeli kediaman sendiri, semua orang terkejut beruk! Semua hairan, bagaimana saya boleh tabah hati menghadap wajah mentua saban hari. Saya katakan, saya langsung tidak bermasalah. Saya memahami mereka, dan mereka memahami saya. Saya menghormati mereka, dan mereka menghormati saya. Saya dan ibu mentua masih boleh duduk ketawa bersama, bertukar-tukar cerita, bergosip-gosip tentang orang itu dan orang ini (pendek kata mengumpatlah...), boleh bertukar-tukar idea tentang drama-drama televisyen yang kami tonton bersama, dan...sampaikan kami boleh berkongsi tentang karenah suami masing-masing (siapa lagi kalau bukan anak lelakinya dan bapa mentuaku!). Hah! Itulah saya dengan ibu mentua. Dia saya anggap bagai ibu sendiri. Perlu dihormati dan ditaati. Menghargai hari lahirnya dan hari ibu saban tahun.

Saya akui, saya bukan menantu yang pandai memasak, tak juga rajin mengemas, dan langsung tidak tahu menjahit...namun saya melihat itu semua bukan penyebab, saya tidak serasi dengan ibu mentua. Saya mengambil pendekatan psikologi untuk mengambil dan menjaga hatinya. Senang sahaja...berikan apa yang dia suka, elakkan perkara yang dia tak suka, puji masakannya (puji dengan ikhlas), dan jaga anak lelakinya yang telah menjadi milik saya sebaik-baiknya. Hah...habis cerita!

Teman saya yang baru berkahwin itu, tak sabar-sabar nak pindah rumah lain. Jiran saya pula, sampai dah beranak tiga, masih lagi 'berbulu' dengan ibu mentuanya. Saya sangat bersimpati dengan nasib dua wanita ini. Mereka bukan orang bodoh, bukan tak ada pelajaran...sayangnya ibu mentua yang sudah ganyut punnnn nak dijadikan lawan. Seronok juga mendengar kisah mereka yang tak sebulu dengan mentua. Cerita yang sadis, boleh jadi bahan ketawa sampai meleleh air mata!

No comments: