Pages

Tuesday, April 30, 2013

Salam Dirgahayu Ayah...

Ayah,
Salam ulang tahun kelahiran yang ke-66. Dalam keadaan ayah terlantar di katil hospital aku tak pasti sama ada ayah mendengar atau tidak ungkapan doa yang aku titipkan untuknya. Sungguh, aku rindu suaranya, gurauannya, tawanya. Mengimbas memori silam bersama-sama ayah memang menyesakkan dada. Kami memang tak pernah menyambut ulang tahun kelahiran dalam suasana meriah. Tetapi aku tak pernah lupa akan tarikh 30 April setiap tahun. Kebiasaannya akan ada hadiah istimewa untuk ayah. Yang termahal tentunya ciuman kasih sayang daripada anak-anak untuk ayah. 

Rindu. Itulah ungkapan terindah yang menjadi kenang-kenangan. Kini kerinduan itu semakin dalam dan sukar untuk aku kaburkan walau sesaat. 

Ayah, doa tak pernah putus untuk ayah. Rindu tak pernah padam untuk ayah. Kasih tak pernah luntur untuk ayah. Semoga ayah diberi kekuatan untuk melawan segala kesakitan. Aku tahu ayah seorang yang kuat semangat dan tak mudah mengalah. 

Ayah...sembuhlah ayah. Pulihlah seperti sedia kala. Sekurang-kurangnya untuk memberi kami senyuman walau tanpa suara garau. 

Monday, April 29, 2013

Tracheostomy

Aku terdiam tatkala doktor memutuskan untuk membuat tracheostomy terhadap ayah. Kaedah ini membolehkan oksigen dari mulut bertukar ke bahagian leher. Dalam bahasa kasarnya, leher ayah akan ditebuk bagi mengeluarkan kahak dan lendir yang semakin menghuni di bahagian paru-paru, selain mengelakkan jangkitan kuman.

Dalam keadaan ayah yang tidak sedar, aku tidak tergamak membuat keputusan drastik untuk menandatangani surat kebenaran waris bagi memudahkan prosedur pihak hospital. Ayah, kalau ayah boleh mendengar, aku nak ayah dengar segala kalimah suci yang aku lagukan di telinganya. Aku tak nak ayah mendengar prosedur hospital yang menyakitkan itu. Sabarlah ayah...

Ayah, esok 30 April jatuh pada hari lahir ayah. Walaupun kami tidak pernah menyambutnya secara meriah, tapi aku tak pernah melupakannya. Mungkinkah tahun ini akan ada hadiah untuk ayah seperti tahun-tahun yang lalu? Ayah...(sebak....)

Saturday, April 27, 2013

Menitip Kelangsungan Karya

Meninggalkan kisah ayahanda dalam sehari memberi peluang untuk aku kembali beraksi dengan pena dan kertas. Sudah sekian lama meninggalkan plot-plot yang aku bina semenjak sibuk menjaga ayahanda yang gering. Minggu ini dek kerana hujan, cuaca agak muram aku tidak merancang untuk beriadah di luar seperti mana kebiasaan yang kulakukan pada setiap hujung minggu. 

Banyak masa diisi dengan membaca blog teman-teman yang sudah lama kutinggalkan. Banyak yang menarik aku temui. Dan aku kembali menggarap serpihan novel yang terbengkalai. Mendapat suntikan baru daripada teman-teman penulis lain yang kini sedang sibuk melayan peminat di PWTC kerana bersama-sama memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Masa untuk aku akan tiba jua.

Talian telefon sengaja aku putuskan bagi memberi ruang kepada diri sendiri mengabdikan minda dan jasad untuk berkarya. Bukan mudah. Itulah yang aku alami untuk bangkit dalam keadaan dihimpit pelbagai masalah, kontroversi, cabaran dan dugaan. Hari ini aku cuba berdiri, walaupun agak tempang.

Sesekali aku mengintip rakan penulis di lama sosial FB. Mereka sedang galak menulis. Cemburu juga melihat kejayaan mereka. Aku...? Seperti hari ini, berkarya sekadar yang termampu. Akan cuba juga untuk berdiri tegap sebaris dengan mereka, insya-Allah.

Thursday, April 25, 2013

Fikir Positif

Aku percaya dengan kaedah 'fikir positif, hasilnya positif'. 

Seperti mana saudara-mara, adik-beradik dan rakan taulan di sekeliling aku yang mengharapkan keajaiban berlaku terhadap ayah, aku sejuta kali mengharap. Dengan doa yang berterusan aku sentiasa memikirkan ayah akan sedar daripada koma suatu hari nanti.

Usai kerja aku bergegas lagi ke hospital melawat ayah dan melihat perkembangannya. Seperti rutin petang yang lalu, sebaik selesai membersihkan badannya, aku membisikkan kalimah Allah di telinganya. Tatkala lafaz suci itu aku bisikkan, ayah mula membuka mata...sesaat kemudian tertutup semula kelopaknya. Air matanya berlinangan. Aku cuba mengejutkan ayah, namun ayah pejam semula. Sebak melihat keadaan ayah. Tak terbendung melihat sakit yang ditanggungnya. 

Tuesday, April 23, 2013

Rutin Petang

Setiap kali usai waktu pejabat, aku akan bergegas ke HSI. Untuk apa lagi kalau bukan menziarahi ayah yang masih belum sedar daripada 'tidur'. Dengan waktu yang terhad, aku akan mengelapkan tubuhnya yang kaku itu. Membersihkan liang-liang yang terbuka, menyisir rambutnya yang sudah pudar warnanya. Itulah lambang kasihku.

Aku berbual-bual dengan ayah, dengan harapan dia mendengar segala isi hatiku yang mahu dia cepat pulih, sembuh, segar, sihat. Aku bisikkan kata-kata semangat untuknya...mengimbau kenangan manis kami... Oh, Tuhan...!!! Sebaknya Engkau saja yang tahu. Ada ketikanya air mata ayah mengalir di hujung matanya. Aku tak pasti sama ada dia menangis atau memang matanya basah. Setiap kali aku lap air mata yang mengalir...tisu di tangan berwarna kuning. Air mata ayah sudah mulai kuning... sebak hati melihat keadaannya.

Sebelum meninggalkan ayah, aku akan membacakan ayat-ayat suci atau selawat Tiib berulang-ulang kali dengan harapan akan ada penyembuhan buatnya. Apa lagi yang mampu aku lakukan, selain berdoa dan terus berdoa.

Sunday, April 21, 2013

Ayah...
jari jemarimu kukucup lembut...beku
dahimu kucium mesra...hangat
tubuhmu kudakap erat...kaku
nafasmu kuhirup sayu...sarat

Kalimah suci bertandang lagi
kuperdengarkan untukmu, ayahanda
kalam Tuhan kubisikkan di telingamu 
biar kau mendengar keindahan-Nya
ayat syifa membasahi bibirku
sungguh, aku mahu kau sembuh...

Rindu bertandang lagi, ayahanda
rindu belaian manjamu...
rindu senyuman manismu...
rindu gelak tawamu...
rindu usik guraumu...
rindu dakapan hangatmu...

Kurenung bola matamu
melihat sinar yang kabur
kulihat kilas wajahku pada matamu, ayah...
sungguh, kumengharapkan keajaiban!!!

Wad ICU HSI

Ayah,
sekarang ayah dah tak sedarkan diri. Semalam 20 April 2013, 12.30 tengah hari nadi dan jantung ayah terhenti. Sepasukan doktor dan jururawat membuat rawatan kecemasan sehingga ayah bernafas semula setelah 30 minit mereka berusaha. Saat genting itu sungguh mencemaskan sekalian ahli keluarga yang sudah mulai berkumpul di hospital. Dalam keadaan kritikal seperti ini doktor terpaksa memberi suntikan agar ayah 'rehat'. Lebih baik ayah tidak sedar daripada terjaga dengan keadaan wayar yang berselirat. Ayah bernafas dengan bantuan mesin oksigen. 

Ayah,
Kami anak-anak ayah tidak putus berdoa dan membacaan kalimah suci diperdengaranmu. Kami tidak pernah leka membisikkan kalam-kalam Allah agar ayah bertahan dan kuat melawan sakit. Kami tahu ayah dengar...kami tahu ayah tahu apa pun yang kami lakukan. Ayah, kami janji kalau ayah sihat nanti kami akan tunaikan hajat ayah untuk bertemu Rasulallah di Raudahnya. Kami janji..ayah! Ayah akan jumpa lagi dengan pesuruh Allah. Sembuhlah. Sembuhlah ayah. 

Ayah,
Doktor kata, ayah akan diletakkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan doktor. Kadar potisium K ayah terlalu tinggi, jantung pula sangat lemah. Dialisis ayah tidak dapat lagi dilasanakan mengikut jadual seperti sedia kala kerana ayah masih tidak stabil. Sabarlah ayah. Kesakitan itu penghapusan segala dosa. Kami sentiasa di sisi ayah memberi sebanyak mana kekuatan untuk ayah kembali pulih. Kami mengharapkan keajaiban dan kekuasaan Allah menyelamatkan ayah.

Ayah,
Kami reda jika kecintaan Allah melebihi cinta kami terhadap ayah. Sesungguhnya Dia lebih berhak ke atas setiap hamba ciptaannya. Mudah-mudahan ayah berdepan dengan kesudahan yang baik dan dalam keadaan beriman kepada-Nya. Ayah, hajat ayah nak bertemu dengan cucu kesayangan ayah (Zafri) dah tertunai. Sedih dan sebak melihat ayah bertalu-talu mencium Zafri. Ayah ingat tak, saat kelahiran cucu sulung ayah itu, kita sekeluarga diselubungi kegembiraan. Dia lahir secara pembedahan kerana tali pusat membelit lehernya. Keadaan sangat cemas namun ayah tetap setia menemani aku bersama-sama emak dan suami. Tuhan kurniakan Zafri yang sangat tembam, putih melepak, berlesung pipit, dan kental tubuhnya. Ayah kelek Zafri hampir setiap hari. Zafri membesar dengan kasih sayang atuknya. Ayah, kami tahu Zafri kesayangan ayah. Dia pun sayangkan ayah. Orang kata, Zafri itu jelmaan ayah semasa muda...sebab itulah ayah rapat dan serasi dengan Zafri. 

Ayah, sembuhlah ayah. Kami sentiasa bersama-sama ayah.

Wednesday, April 17, 2013

Kesihatannya Semakin Merosot

Ayah,
Selagi ada kudrat, selagi itulah aku akan terus-menerus mendoakan ayah dan berusaha memberi keselesaan kepadanya.

Malam tadi aku bertandang lagi ke rumah ayah dengan perancangan untuk bermalam di sana, solat hajat untuk ayah, mengaji untuk ayah, menemani lena ayah. Belum pun sempat semua itu aku lakukan, ayah kulihat semakin lemah. Sebak dada melihat kesakitan yang ayah tanggung. Mak cik menghubungi seorang doktor di klinik swasta untuk memeriksa ayah di rumah. Tekanan darahnya sangat rendah. Suhu badannya mencecah 37 darjah celsius. Aku memanggil namanya berulang kali tetapi ayah antara sedar dengan tidak.

Setelah setengah jam diperiksa doktor, ayah disaran dibawa ke hospital lantaran suhu badanya yang tinggi. Kami menghubungi ambulans untuk memudahkan kemasukan ayah ke wad. Sehingga pukul 2.00 pagi, baru ayah disahkan untuk tinggal di hospital.

Aku dan adik-adik bergilir-gilir menjaga ayah. Apa lagi yang mampu dilakukan selain mendoakannya agar diberi kekuatan menghadapi sakitnya. Kami berusaha menyediakan segala kemudahan dan keperluan untuk keselesaan ayah.

Ayah,
Walaupun tiada lagi untuk bergurau senda denganmu, namun kenangan dengan ayah masih segar dalam ingatan. Walaupun sudah hilang senyum tawamu, hati masih mengharap sekelumit kemanisan wajahmu, ayah. Senyumlah ayah...walaupun hanya sesaat. Kubisikan kalam Tuhan di telingamu agar kau bisa mendengar yang indah-indah. Kudakap mujizat Muhammad dengan titisan air mata...kulafazkan doa agar kekuatan menjadi milikmu, ayah.

Saturday, April 13, 2013

Perkembangan Kesihatan Ayah

Hampir setiap hari aku akan menjengok ayah. Kalau tidak di rumah, di hospital, atau di pusat dialisis. Rutin itu tidak janggal lagi. Kunjungan di rumah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Lawatan di hospital biasanya selepas waktu pejabat. Ziarah di pusat dialisis setiap Selasa dan Khamis waktu minum pagi.

Keadaan ayah yang tenat bertambah tenat semenjak ayah jatuh. Lengannya bengkak, badannya sakit dan tulang tangannya retak. Tuhan, berilah kekuatan kepada ayah untuk terus bertahan dan kuat semangat melawan sakitnya. Itulah doa yang aku panjatkan setiap hari. Semoga ayah terus sihat. 

Aku dan Edi (adik bongsu) silih berganti menjaga ayah. Sehingga aku terkadang mengabaikan keperluan diri sendiri dan anak-anak. Bukan aku lupa tanggungjawab aku terhadap anak-anak, cuma aku terlalu letih untuk menyemak hal-hal perseolahan mereka. Hanya pada Sabtu dan Ahad sahaja aku sempat menjengok buku-buku sekolah anak-anak, menghantar mereka ke kelas tuisyen, memantau kerja sekolah mereka.Mujurlah mereka memahami.


Thursday, April 11, 2013

Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Terindah

Selepas magrib aku mendapat panggilan telefon daripada mak tiri yang kini menjaga ayah yang sedang sakit. Ayah tenat katanya. Dia membawa ayah ke klinik yang berhampiran, tetapi doktor menyarankan ayah dirujuk ke hospital memandangkan keadaannya terlalu sakit. Selepas isyak aku bergegas ke Hospital Sultanah Aminah bagi menguruskan ayah. 

Memang keadaan ayah semakin tenat selepas dia jatuh di bilik tidur dua minggu lepas. Mungkin kerana terseliuh badannya rasa sakit, dan semakin sakit. Aku menunggu penuh sabar sehingga pukul 1.00 pagi apabila doktor mengarahkan ayah ditahan di wad bagi memantau keadaannya. Menerusi imbasan dan x-ray yang dilakukan pihak hospital, didapati badan ayah mengalami bengkak. Mujurlah tak ada tulang yang patah. Sample darah dan najis juga diambil bagi mengetahui tahap kesihatan selanjutnya.

Pukul 2.00 pagi aku masih setia menemani ayah di wad Dahlia, HSA. Ayah teringin sangat nak makan keow teow goreng dan teh o panas. Lapar sangat katanya sepanjang pemeriksaan doktor tadi. Aku meninggalkan ayah seketika untuk mencari restoran mamak yang dibuka 24 jam untuk membelikan keow teow goreng dan teh o panas.

Kami menikmati menu tersebut bersama-sama di katil hospital. Buat julung-julung kalinya aku menyambut 11 April di hospital bersama-sama ayahanda tercinta. Menyuap ayah makan dan berkongsi teh o panas merupakan tabiat yang asing bagiku. Tak pernah aku melaluinya sebegitu apatah lagi dalam suasana menyambut ulang tahun kelahiran.

"Kau lahir memberi kebahagiaan berganda untuk ayah dan emak. Anak sulung memang kami tunggu-tunggu kelahirannya. Tapi kau membesar dengan nakal, degil. Mujurlah otak kau agak geliga dan tidak pernah menyusahkan mak ayah, walaupun kadang-kadang mak ayah bimbang dengan pencapaian akademik kau. Satu rahmat buat mak dan ayah apabila kau lahir pada bulan April. Sama bulan dengan emak dan ayah. Semakin besar, kau semakin banyak berubah dengan matang. Cuma kau 'gembeng'. Dari dulu sampai sekarang!"

Ayah, betapa kau telah mendedahkan sesuatu yang tidak pernah aku peduli sepanjang hayatku. Sebak mendengar pengakuan ayah. Tapi, itulah ayah...dalam diam dia mengingati anak-anaknya. Anak-anak sahaja yang kadang terlupa dengan kewujudan ayah.

Wednesday, April 10, 2013

Kisah Penjaja Kanak-kanak

Dalam perjalanan pulang dari pejabat saya singgah di sebuah stesyen minyak. Tiga orang kanak-kanak dalam lingkungan usia 10-12 tahun sibuk ke hulur ke hilir bersama-sama raga masing-masing yang berisi jualan. Seorang daripada mereka mendekati saya dan mempelawa membeli jualan mereka. Saya menolak dengan baik kerana bukan tabiat saya membeli makanan di luar atau makan di luar. Wajahnya murung sekali tatkala saya menolak jajaannya.
    
"Belilah...," rayunya memandang tepat wajah saya. Saya tetap menggeleng dan tersenyum tawar. Dia menundukkan wajah sayunya dan berlalu meninggalkan aku. 

Kulihat dia menghampiri rakan sebayanya yang lain sambil masing-masing mengira baki jualan. Sayu dan sebak melihat titik peluh mereka yang mengalir mencari rezeki bagi kelangsungan hidup. Tiba-tiba saya diserang rasa bersalah. Hampir-hampir air mata membasahi pipi. Betapa sukarnya mereka menjaja dari satu tempat ke satu tempat. Menghampiri setiap orang yang lalu-lalang di situ. Merayu agar jualan mereka dibeli.

Sebelum meninggalkan stesyen minyak setelah selesai segala urusan, saya memanggil ketiga-tiganya.

"Jual apa dik?"
"Mihun goreng dan kuew teow goreng," jawab mereka hampir serentak.
"Eeemmm...bagilah satu bungkus. Mak masak ke?" mereka mengangguk.
"Belilah saya punya juga," kanak-kanak yang seorang itu merayu lagi kepada saya. Tersekat kerongkong saya...saya memandang wajahnya yang begitu mengharap. "Belilah...," rayunya lagi. Saya senyum.
"Bagilah semuanya," jawab saya ringkas. 

Setelah menerima wang saya, mereka gembira melambung-lambung bakul yang telah kosong. 

"Oh, Tuhan...siapa yang nak makan banyak-banyak ni?" hati saya mulai terdetik. 

Walaupun saya tidak memerlukan makanan yang saya beli, sekurang-kurangnya saya dapat mengembirakan hati mereka. Saya teringat zaman kanak-kanak saya yang tidak merasai erti kepayahan mencari rezeki. Ya, saya beruntung kerana keperluan makan pakai saya adik-beradik mencukupi biar pun kami bukan dari keluarga yang terlalu mewah, dan tidak juga terlalu sengkek.

Sesampai di rumah, anak-anak menyambut kepulangan saya dengan keriangan. Mereka teruja melihat saya membawa makanan. Masing-masing kelaparan rupa-rupanya. Akhirnya semua jualan kanak-kanak tadi licin 'dibedal' anak-anak saya. Anak-anak saya seperti saya juga, tidak pernah merasai keperitan hidup mencari sesuap nasi. Saya kagum melihat kanak-kanak tadi berniaga. Mudah-mudahan mereka berjaya menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti. Itulah doa saya. 

Tuesday, April 2, 2013

Demi Seorang Ayah

Kalau nak cakap fasal penat, memang penat. Mengurus anak-anak dan seorang ayahanda yang dicintai amat memenatkan. Rutin harian menghantar anak ke sekolah dan menghantar ayahanda ke pusat dialisis semakin sebati dalam diri seorang aku. 

Setelah puas berubat ke sana ke mari akhirnya doktor mengesahkan ayah mengalami sakit hempedu. Beberapa biji batu kecil kelihatan mendiami hempedu ayah sehingga seluruh badan dan matanya menjadi kuning. Itulah yang disahkan oleh doktor semalam (1 April 2013). Aku pasrah jika itu yang ditanggung ayah. Aku tahu ayah sakit. Aku tahu ayah semakin lemah. Tapi sesekali tidak akan aku membiarkannya terus sakit dan lemah. Melihat penderitaan seorang ayah, membuatkan air mata aku tak pernah kering. Tapi sesekali tidak aku izinkan air mata gugur di hadapannya, kelak akan menambah lagi penderitaannya. 

Demi seorang ayah, aku abaikan penat jerih memandu berulang-alik menghantar dan mengambilnya ke pusat dialisis. Memberi ruang waktu yang terhad untuk melayan kerenah dan kehendaknya. Sebagai mana aku menjaga bonda ketika sakit dahulu, begitu jugalah aku melimpahkan kasih sayangku terhadap ayah. Sengaja aku tidak mahu adik-adik yang lain melayan keperluan ayah kerana aku sendiri mahu berbakti kepadanya. Terlalu banyak masa yang aku habiskan sebelum ini dengan hal-hal yang menjauhkan diri daripadanya. Ya...aku pernah merajuk setelah ayah berkahwin satu lagi. Walaupun aku tidak membantah, tidak membentak, namun jauh di sudut hati kecil ini aku kecewa. Apatah lagi apabila melihat seraut wajah bonda yang semakin lanjut usianya. Tapi, itu dulu. Semakin berganjak usia, semakin matang jiwa. Inilah sisa peluang yang ada untuk aku terus mendampingi ayah yang semakin tenat pada pandangan mataku.

Ayah, maaf jika ada yang tidak sempurna dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab menjagamu. Sedaya-upaya akan aku lakukan yang terbaik untukmu.