Pages
Monday, December 29, 2008
Selamat Tahun Baru 1430
Selamat menyambut maal hijrah 1430 kepada sahabat handai dan pelayar blog ini. Setelah membaca doa akhir dan awal tahun semalam, pastinya terdetik di dalam hati untuk memperbaiki diri menjadi hamba Allah yang terbaik dari tahun ke tahun. Menyimpan keazaman demi menjuruskan diri ke arah kebaikan merupakan sesuatu yang dituntut dalam Islam. Oleh yang demikian, ingin sekali saya mengingatkan kawan-kawan dan diri sendiri agar melakukan yang baik dan terbaik untuk diri sendiri, insan tersayang, bangsa, dan agama.
Kesempatan ini ingin saya kongsi bersama tentang HIJRAH. Tahun hijrah bermula sejak penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah. Penyatuan kaum Muhajirin dan Ansar memperlihatkan betapa umat Islam melalui proses perdamaian dan keharmonian. Umat Islam sebenarnya boleh bersatu. Namun dalam senario global hari ini, kebanyakan negara Islam tidak memikirkan tentang ini. Negara Islam sekadar menghulur salam namun gagal menghulur bantuan apabila umat Islam lain ditindas. Pengorbanan Rasulallah pada 1400 taahun yang lalu, jarang sekali difikirkan dan dijadikan iktibar. Utusan Allah inilah legasi manusia pada hari ini. Perjuangan dan titik peluh baginda sering dilupakan. Umat Islam semakin alpa dengan kemajuan dan kemodenan dunia.
Tahun masihi pula, bermula selepas kelahiran Nabi Isa a.s. Kelahiran Nabi Isa bukan satu kelahiran biasa. Satu keajaiban berlaku dengan kuasa Allah apabila Allah mengutuskan malaikat menghembuskan nafas ke tengkuk Mariyam. Mariyam yang dikenali sebagai ahli ibadat, dipilih Allah untuk melahirkan Isa a.s. Dengan kelahiran Isa a.s maka bermulalah tahun masihi yang menjadi takwim kepada seluruh manusia di dunia sehingga kini.
Sempena menyambut tahun hijrah 1430, saya mendoakan seluruh umat Islam beroleh kejayaan, keamanan, kebahagiaan dan mencapai apa jua yang diimpikan. Wasalam!
Sunday, December 28, 2008
I'm Really Bored!
Baru-baru ini ada ura-ura kerajaan hendak menambah cuti bersalin menjadi 80 hari!!! Aaaggghhhhhhhhhhhhhhhhhh!!!!!!!!! (perlukah? wajarkah?). Suamiku kata, kalau cuti bersalin ini diluluskan...aku akan dihamilkan lagi!!!! Aduhaiii...
Monday, December 22, 2008
Ubat Nabi
Berubat dengan Ubat Nabi memerlukan kemahiran dan doa-doa tertentu. Kepada teman-teman yang ingin mencubanya bolehlah menghubungi Mak Neng di talian 019-7545696. Buatlah temu janji terlebih dahulu, kerana Mak Neng biasanya sibuk ke sana ke mari untuk mengubati orang sakit strok dan mengurut orang lepas bersalin. Mak Neng tinggal di kawasan perumahan Taman Sinaran Kempas (berdekatan dengan Taman Setia Tropika). Sesiapa yang ingin mendapatkan khidmat Mak Neng, perlulah mengambil dan menghantarnya semula di rumah, kerana Mak Neng tidak mempunyai kenderaan sendiri.
Bayaran bagi urut ibu bersalin ialah RM45.00. Urut biasa (yang tidak berpenyakit berat) RM35.00. Set ubat wanita bersalin RM200.00. Urut sakit angin ahmar/strok RM150.00 (untuk satu badan).
Seorang teman baik suami saya pernah terlantar tenat kerana angin ahmar. Beberapa hari berumah di hospital dan akhirnya diarah pulang kerana pihak hospital tidak dapat memulihkannya. Sebelum penyakit tersebut menular ke bahagian-bahagian lain, isterinya telah memanggil Mak Neng untuk mengubati suaminya. Beliau menggunakan Ubat Nabi untuk mengurut bahagian yang sakit (suaminya strok sebelah badan). Alhamdulillah, dengan izin Allah usaha beliau mendatangkan hasil setelah 5 kali berurut. Kini suaminya tidak lagi menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Sudah boleh bercakap, makan, dan berjalan seperti manusia normal.
Saya sendiri telah menggunakan Ubat Nabi semasa berurut lepas bersalin, kerana sakit pinggang dan bengkak payudara (kerana liang susu tersumbat sehingga menyebabkan susu badan tidak dapat mengalir keluar dengan sempurna). Sebaik sahaja menggunakan Ubat Nabi, alhamdulillah keesokan harinya pinggang saya tidak lagi sakit, lebih cergas bergerak walaupun masih dalam pantang dan payudara kembali normal sehingga susu badan dapat dinikmati setiap hari oleh bayi saya.
Kepada teman-teman yang ingin mencubanya, saya sangat mengalu-alukannya kerana usaha dan doa itu di tangan kita. Kita berusaha dan hanya Allah yang memulihkannya. Usahalah berubat demi kesihatan kita dan insan-insan tersayang.
Sunday, December 21, 2008
Berpantang Cara Mudah
Kali ini aku langsung tidak mengikuti peraturan tradisional seperti kebanyakan ibu-ibu berpantang yang lain yang sanggup berparam, berpilis dan makan jamu selama 44 hari. Sebaik sahaja dibenarkan discaj dari hospital, aku mengatur sendiri menu makan ibu bersalin. Banyak makan lada hitam dalam setiap masakan untuk memanaskan badan. Minum air pati halia untuk buang angin dalam badan, dan lebihkan madu dalam minuman untuk tenaga dan kecerdasan. Suamiku telah membelikan pati ikan haruan untuk pemulihan luka dalaman. Aku amalkan pada minggu pertama. Diikuti dengan meminum Gamat Healin (sehingga kini - hari ke-25). Aku bercadang untuk meneruskan pengambilan Gamat Healin ini untuk kesihatan dalaman, merawat luka dalaman, tenaga dan kesihatan kulit.
Aku mula berurut selama 3 hari berturut-turut bermula hari ke-3 selepas bersalin, bagi membetulkan urat-urat yang tersimpul dan melegakan perjalanan darah. Berurut dengan bidan kampung lebih baik daripada berurut di SPA. Selain berurut, mak bidan akan sengkak di bahagian perut dan aku memilih menggunakan 'ubat nabi' untuk memulihkan urat. Sesiapa yang teringin menggunakan 'ubat nabi', boleh menghubungi aku! 'Ubat nabi' juga boleh memulihkan penyakit angin ahmar.
Setiap kali selesai bersiram (dengan air suam) aku pastikan badan dilulur dengan losyen pati halia,limau dan cili supaya badan sentiasa panas. Stretch mark yang muncul di kulit (kesan pengembangan perut semasa mengandung) aku sapu dengan Bio Oil. Yaaa... sungguh berkesan! Pilis kugantikan dengan minyak aleo vera. Untuk menurunkan berat badan, aku amalkan penyusuan susu badan sepanjang aku cuti bersalin. Sungguh berkesan. Berat badan turun 10kg (pada hari ke-25). Dengan keazaman yang tinggi, rasanya boleh turun lagi. Mujurlah aku tidak mempunyai masalah untuk menyusukan bayi.
Aku tidak mengamalkan pemakaian bengkung sepanjang tempoh berpantang, kerana bengkung telah banyak membuang masa aku. Lebih-lebih lagi pemakaian bengkung kain yang mengambil masa yang lama untuk melilitnya. Aku memakai girdle dan corset yang mempunyai infra red sepanjang hari termasuk semasa tidur. Lebih mudah dan menjimatkan masa. Kesannya juga lebih cepat, apatah lagi jika badan dibalut dengan plastik pembalut makanan (pada bahagian-bahagian tertentu sahaja). Mudah! Buat sendiri pun boleh.
Untuk memastikan semua darah kotor keluar sepanjang tempoh berpantang, aku mengamalkan minuman pati ibu kunyit yang sedia ada di pasaran selama tiga hari berturut-turut. Selebihnya aku menggunakan pad herba yang terbukti berkesan mengeluarkan seluruh toksid dan darah kotor. Pad biasa di pasaran tidak membantu mengeluarkan darah secara keseluruhan. Aku yakin dengan pad herba, sekalipun harganya agak mahal.
Setiap kali menghadap makanan, aku pastikan lada hitam dan halia tidak ketinggalan. Bukanlah untuk membuka selera, sebaliknya untuk menjarakkan anak (pengganti kepada pil perancang keluarga). Aku mengambil banyak jus dan buah oren untuk melawaskan pembuangan air besar. Ibu dalam pantang biasanya akan mengalami sembelit, lebih-lebih lagi jika mengamalkan jamu dan kurang minum air. Alhamdulillah, aku tidak pernah mengalaminya sejak dulu lagi.
Selepas habis tempoh berpantang (tempoh berpantang aku sebaik sahaja darah kering) tak kiralah, 30 hari ke...40 hari ke...44 hari ke...60 hari ke...amalan pemakanan sihat akan berterusan apatah lagi aku menyusukan bayi (menyusu bayi boleh mengecutkan rahim).
Selepas darah kering, aku bersedia ke sauna bagi memastikan badan kembali cergas. Sauna tidak perlu setiap hari, memadailah dengan 3 hari sahaja.
Kepada teman-teman yang bakal menimang cahaya mata pada tahun ini (Iffa, Zu, Faiz, Yati), pilihlah jalan terbaik untuk kesihatan kita. Jadikanlah tempoh cuti bersalin yang diperuntukan kepada kita, sebagai tempoh untuk memulihkan badan secara dalaman dan luaran. Pilihlah produk-produk yang terbaik untuk kesihatan kita. Jenama yang mahal belum tentu menjamin kesejahteraan kesihatan. Yang penting, amalan kesihatan yang konsisten, terutamanya bab makan.
Selamat bersalin kepada ibu-ibu yang disebutkan tadi.
Friday, December 19, 2008
Hijab Sang Pencinta
Sepanjang melalui proses berpantang, aku sempat menamatkan pembacaan novel Hijab Sang Pencinta karya Ramlee Awang Mursyid. Novel tersebut aku beli sehari sebelum aku melahirkan Raja Zarin.
Sambung kisah Laksamana Sunan dan Haryati akhirnya menemui penamatnya. Seperti biasa RAM mengangkat watak seorang lelaki untuk menerajui cerita. Laksamana Sunan atau Saifudin digambarkan sebagai seorang lelaki luar biasa yang paling hebat sejak kurun ke-15 sehingga alaf 21. Terdapat juga plot cerita yang di luar batas pemikiran manusia waras, tetapi RAM bijak menjinakkan pembaca dengan statement 'segala-galanya berkemungkinan dengan izin Allah'. Namun, seperti novel-novel beliau yang lain, Hijab Sang Pencinta sarat dengan ilmu. Tahniah kepada beliau yang berjaya menghidupkan watak dengan jalan cerita yang menarik. Tak sabar menanti kemunculan MIKHAIL.
Zarin is Golden
Puteri ini kunamai Raja Zarin. Ringkas dan mudah diingati. Wajahnya tidak dapat kupaparkan di sini memandangkan Raja Zarin masih terlalu mentah untuk dijadikan bahan tatapan di layar blog. Insya-Allah satu hari nanti.
Kepada rakan-rakan yang datang menziarah aku di hospital dan di rumah, kuucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga atas kehadiran kalian. Terima kasih juga atas kiriman hadiah untuk baby. Kepada rakan-rakan dan kenalan yang menghantar ucapan tahniah melalui sms, terima kasih banyak-banyak. Maaf, sekiranya sesetengah sms kalian tidak dapat kubalas. Raja Zarin merupakan cucu ke-7 bagi pihak keluarga aku dan cucu ke-10 bagi pihak keluarga suami.
Kesempatan ini, ingin sekali kuucapakan tahniah kepada adikku yang akhirnya selamat melahirkan puteri sulungnya setelah sekian lama menunggu. Kehadiran Sofea Batrisya bakal menyinarkan lagi kehidupan mereka suami isteri. Tahniah!
Friday, November 21, 2008
Ekuinoks
Baru-baru ini aku keluar dating dengan hubby. Kami ke Plaza Kotaraya untuk minum petang sementara menanti pukul 5. Seperti biasa, setiap kali berada di dalam kompleks beli belah, kaki ini akan menuju ke kedai buku. Sudah sekian lama aku tidak menjengok kedai-kedai buku sekitar bandar Johor Bahru ini. Kali terakhir di Angsana pada bulan lepas.
Sekali lagi, untuk ke sekian kalinya aku mencari Hijab Sang Pencinta. Kukira ini kali ke-4 aku mencari karya terbaharu Ramlee Awang Mursyid (my favourite writer). Sekali lagi aku hampa, apabila dimaklumkan oleh tauke kedai itu, novel tersebut telah sold out! Aaahhh!!! Tak kan semua tempat sold out!? Mungkin juga, kerana RAM mempunyai pengikutnya yang tersendiri.
Tiba-tiba, mataku terpandangkan sebuah novel seakan-akan novel thriller karya Azizi Ali. Azizi Ali jutawan buku telah menjadi novelis rupanya! Hebat! Ekuinoks! Tinggal satu! Pasti novel ini selaris buku-buku Azizi yang lain. Apabila aku membaca blurbnya, aku terus tertarik dengan plot ceritanya! Sesungguhnya blurb memainkan peranan penting dalam usaha menarik minat pembaca. Oleh sebab novel tersebut berbalut plastik, aku langsung tidak berpeluang membaca bab-bab tertentu di dalamnya. Lantas kubeli novel tersebut dengan harapan, novel ini dapat menghilangkan kebosananku yang gagal mendapatkan Hijab Sang Pencinta!
Ekuinoks, tidak seperti yang kujangkakan. Masih tidak dapat menandingi novel-novel thriller Ramlee Awang Mursyid. Kisah yang dipaparkan menyentuh tentang pembunuhan Dato' Chin yang misteri kerana pembunuhnya sukar dikesan. Terlalu banyak suspek sehingga kisah polis menyiasat kes ini menjadi kabur. Namun, sedikit sebanyak berjaya meninggalkan teka-teki di hati pembaca, siapa pembunuh sebenarnya. Namun, tidak terlalu suspens kerana penulis sendiri telah memberi jawapan sekalipun kisahnya belum di penghujung. Terlalu banyak kisah sejarah terutama sejarah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, sehingga aku rasa aku membaca sebuah novel sejarah yang sangat kompleks untuk satu peperiksaan penting. Dan, penulis banyak kali mengulangi plot cerita yang sama dalam satu-satu bab (editor buku ini mungkin tidak membuat suntingan naskhah!). Kisah pertemuan dan percintaan Iskandar dengan Datin Brenda diulang-ulang setiap kali wujud dialog 'Macam mana kau mengenali Brenda?' Hal ini sedikit sebanyak menimbulkan kebosanan kerana buku thriller wajar melebihkan unsur suspens, bukannya unsur perulangan. Siapalahhh editor buku ni ye? Dan, terlalu terperinci penulis menceritakan tentang selok-belok seni mempertahankan diri Tae Kwon Do. Sehinggakan ciri-ciri, teknik pukulan, istilah-istilah pukulan, semuanya dimuatkan dalam novel ini, seolah-olah pembaca perlu belajar tentang tae kwon do untuk tahu pembunuh Dato' Chin. Terlalu janggal!
Biasanya aku akan menghabiskan sesebuah novel dalam masa dua hari (paling lama). Tapi, novel ini dah masuk hari kelima, baru nak habis baca. Boleh diperbaiki lagi.
Thursday, November 20, 2008
Lagi-lagi PPSMI
Tak selesai juga isu PPSMI sekalipun keputusan UPSR 2008 telah diumumkan beberapa hari yang lepas. Menteri yang bertanggungjawab, masih juga dengan keputusan yang lama. Bak kata Dato' A. Aziz Deraman dalam Bicara Jerayawara pada 30 November yang lepas, ahli politik perlu membuat sesuatu keputusan bersama-sama pakar jika keputusan yang hendak dibuat itu berkaitan dengan kepentingan bangsa. Ahli politik hanya tahu sesuatu perkara itu secara 'sedikit-sedikit' (bukan pakar bidang).
Isu PPSMI bukan baharu dalam sejarah negara. Telah banyak kali diperdebat. Namun, keputusannya tetap sama! Aku bosan! Timbalan Presiden PENA- Dato' Baha Zain melihat PPSMI akan menjejaskan masa depan bahasa Melayu kerana hal ini mengakibatkan 47 subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Bantahan daripada PENA telah dikemukan kepada kerajaan, namun sehingga kini pihak kerajaan tiada sebarang maklum balas!
Datuk Dr. Hassan Ahmad pula menyatakan bahawa, pelaksanaan PPSMI sama sekali salah dan 'berdosa'. Tiada negara dalam dunia ini yang membuat keputusan sebodoh Malaysia! Jelas! Semua negara di dunia mengamalkan bahasa ibunda masing-masing dalam sistem pendidikan mereka. Pembuat dasar di Malaysia ni...mungkin tidur...! Tak buat kajian! Tahu cakap tak tahu bertindak! (Ni pandangan aku, bukan Dr. Hassan). Dr. Hassan Ahmad yang aku kenali memang seorang tokoh bahasa yang disegani. Semangat juangnya dalam mendaulatkan bahasa Melayu terlalu tinggi. Beliau pernah mengingatkan kerajaan supaya jangan cuba membohongi rakyat dan bangsa Melayu dengan menyorokkan stastistik keputusan pelajar luar bandar dalam UPSR! Pesannya lagi - Orang Melayu perlu mengemukakan pendirian mereka berhubung PPSMI dalam Perhimpunan Agung UMNO Mac 2009. Mereka mesti membantah PPSMI sebelum berlaku malapetaka kepada bangsa Melayu. Soalnya...masih relevankah UMNO bagi bangsa Melayu pada zaman sekarang? Apa yang UMNO perjuangkan? UMNO (PEMUDA, WANITA, PUTERI dan PUTERA) masing-masing sibuk dengan peralihan kuasa! Semuanya gila kuasa! Bila dah diberi kuasa, tak pandai pula nak menguasai! Lagi nak menjahanamkan ada laaa...Mana ahli UMNO yang lantang bersuara menegakkan kedaulatan bahasa Melayu??? Siapa? Cuba namakan!
Kerajaan harus 'insaf' dan 'kembali ke pangkal jalan'. Bertaubatlah sebelum terlambat...sementara pintu taubat masih terbuka! Aku pernah bertemu Hassan Ahmad di pejabatnya di Yayasan Karyawan di Damansara. Ketika itu aku hanya budak mentah yang teruja mendengar ceritanya tentang nasib bangsa dan bahasa Melayu di tanah air sendiri. Beliau bukan tidak menyokong penggunaan bahasa Inggeris, malah menyahut baik langkah kerajaan untuk menjadikan BI sebagai bahasa kedua. Tetapi dengan tidak meminggirkan BM. Aku lihat, orang Melayu sendiri memperlekeh bahasa ibunda mereka. Kerajaan negeri Pulau Pinang semakin berani menidakkan kewujudan BM di Pulau Pinang. Pasang papan tanda dalam tulisan Cina dan Tamil selain Jawi! Baru-baru ini pula, Timbalan Menteri Pelajaran (Wee Ka Siong) memutuskan soalan peperiksaan Kertas Lukisan peringkat SPM diterjemah dalam bahasa Mandarin dan Tamil! Kenapa Wee Ka Siong seberani ini??? Membelakangkan Parlimen dalam membuat keputusan! Mustahil pelajar Cina dan India tak faham BM setelah Malaysia berusia separuh abad! Si Wee ni, sengaja mencetuskan huru-hara! Pemimpin Melayu buat apa? Diam, tengok dan tidur!
Aku tidak hairan kenapa ramai kenalan dan kawan-kawan aku yang beriya-iya hendak berhijrah ke negara lain. Mereka dah bosan dengan senario politik sebegini. Selain hijrah mereka itu satu pembaharuan, ada kalanya penghijrahan itu sesuatu yang melegakan.
Monday, November 10, 2008
Apa Masalah dengan 1.2 Juta?
Semalam anakku Zafri menyatakan kepada ayahnya 'Dr. Sheikh Muzaphar Shukor dapat 1.2 juta'. Sambungnya lagi...'boleh beli BMW cash!'. Ya, Zafri memang gila kereta. Apa sahaja yang dibualkannya akan bersangkut paut dengan kereta, atau komponen-komponen enjin kereta. Namun, bukan perihal Zafri yang nak aku coretkan di sini. Kisah Dr. SMS, angkasawan negara yang meraih 1.2 juta menjadi perbualan hangat. Sehinggakan anak aku yang berusia 7 tahun pun sibuk dengan gosip ini. Bila aku baca tajuk tentang 1.2 juta ini...aku hanya berkata sendirian...'itu pun nak kecoh?'. Biarlah Dr. SMS tu dapat 1.2 juta. Memang dia layak dan untuk apa dipertikai? Adik ipar aku (Dr. Zu) pun ada meluahkan...'biarlah dia dapat 1.2 juta...apa masalahnya?'.
Pada pandangan peribadi aku, tak ada salahnya Dr. SMS mendapat habuan sebegitu banyak. Beliau layak diberi imbuhan sebegitu besar kerana sumbangannya kepada masyarakat dan negara. Ceramah yang diberikan di merata-rata tempat dengan tujuan mempromosi sains angkasa lepas kepada belia, remaja dan masyarakat sangat tidak ternilai. Sekalipun beliau menafikan khabar angin itu, tidak salah kiranya perkara itu satu realiti. Mungkin itu rezeki beliau.
Kenapa segelintir masyarakat cuba mencari masalah dan membesarkan isu yang remeh seperti ini? Ada penyanyi tersohor tanah air yang dibayar sehingga RM8K untuk satu lagu. Ada sesiapa merungut? Ada sesiapa nak pertikai? Jika Dr. SMS meraih pendapatan berjuta-juta, sekurang-kurangnya beliau mampu memberi input yang berguna kepada orang ramai. Ilmu dan pengalamannya bukan semua orang ada. Apalah yang nak dikisahkan sangat? Sekurang-kurangnya juga, anak aku Zafri rasa teruja dengan pendapatan yang diperoleh Dr. SMS. Kepala otaknya berputar ligat, untuk mencapai impian menjadi seperti Dr. SMS. Moga Allah memberi rezeki yang melimpah-ruah kepada mereka yang berusaha. Amin.
Warisan Diendah Budaya Indah
'Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas', peribahasa yang paling tepat menggambarkan warisan nenek moyang yang tetap terpelihara dalam khazanah warisan bangsa. Warisan yang dipertahankan bukan semata-mata suatu seni persembahan, malah menjadi lambang kedaulatan bangsa. Jati diri bangsa akan terpamer dengan megah. Budaya bangsa yang unggul akan terus bertakhta dan disuburkan. Budaya sangat penting untuk memajukan dan membangunkan bangsa dan negara. Integrasi nasional akan menjadi padu jika kebudayaan dianggap milik bersama-sama.
Menyedari hakikat tersebut, budaya bangsa Malaysia hendaklah dihargai. Salah satu cabaran yang menjadi matlamat Wawasan 2020 ialah "...untuk mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara". Dalam usaha mencapai negara maju, aspek kebudayaan nasional menjadi elemen yang terpenting kerana dapat menyatupadukan pelbagai bangsa.
Wednesday, November 5, 2008
Jati Diri Bangsa Melayu dalam Arus Globalisasi
Sekian lama aku tidak menatap blog sendiri lantaran kesibukan menguruskan program BBSN peringkat Wilayah Selatan. Terima kasih kepada Pengarah kerana memberi kepercayaan ini kepada aku yang semakin sarat. Ikutkan hati, hendak sahaja aku menolak peluang ini. Tapi, aku terima sebagai satu tanggungjawab yang mencabar. Aku sanggup ketepikan buat sementara waktu manuskrip yang melambak di sekelilingku.
Bicara jerayawara pada 30 Oktober 2008 di Institut Perguruan Temenggong Ibrahim (IPTI) berjalan dengan lancar. Memang itu yang aku harapkan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada ketiga-tiga ahli panel (YB Datuk Ahmad Zahri Jamil, Y. Bhg. Dato' A. Aziz Deraman dan Tuan Haji Ismail Zamzam) atas kesudian mereka menerima pelawaan kami. Bukan mudah berurusan dengan insan-insan yang sentiasa sibuk ini. Lagi-lagi Datuk Ahmad Zahri yang merupakan Exco kerajaan negeri Johor, yang tidak pernah menyangka akan dilantik sebagai panel bicara jerayawara. Terima kasih juga kepada sdr. Ghapar Abdullah (Editor majalah Dewan Budaya) yang sanggup menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi. Bicara jerayawara berlangsung dengan jayanya dan aku sangat berpuas hati dengan lontaran idea ahli panel.
Antara isu yang telah dibincangkan sepanjang 2 jam berbicara ialah erti sebenar Melayu dan asal-usul etnik ini. Selain itu, isu ketuanan Melayu juga disentuh selain hal-hal yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan/bahasa Melayu, budaya dan tradisi Melayu, sejarah pembentukan Tanah Melayu, dan isu pendidikan orang Melayu yang disulami dengan keputusan menteri kabinet dalam mengharungi cabaran bahasa Melayu dalam subjek Sains dan Matematik di sekolah. Aku setuju benar dengan pandangan Datuk Ahmad Zahri, jangan diundi/disokong ahli politik yang enggan mempertahankan hak-hak bangsa Melayu!
Semangat jati diri bangsa Melayu pada hari ini mula pudar. Jangan kita menunding jari kepada belia dan remaja yang gagal mempertahankan budaya dan adat Melayu. Jangan salahkan pihak lain yang enggan menegakkan jati diri bangsa Melayu. Lihat dulu tampok pemerintahan pada hari ini. Boleh dikatakan hampir 99% pemimpin kita merupakan orang Melayu. Baik kepimpinan di kampung, di felda, di pekan, dan di peringkat nasional sendiri. Rata-rata orang Melayu. Tapi mereka sendiri mengambil keputusan untuk mengenepikan hak-hak orang Melayu. Contoh paling ketara ialah tentang keputusan kerajaan membuka peluang Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Namun, siapa berani bertindak? Pakar bahasa pun sudah hilang taring untuk berunding dengan pak menteri. DBP sendiri bagai hilang punca. Kerana...kuasa bukan di tangan.
Sejarah telah membuktikan, bahawa bangsa yang tidak mampu mempertahankan dan mendaulatkan bahasanya, akan lenyap di muka bumi ini satu hari nanti. Pelbagai usaha giat dijalankan oleh DBP dalam memperjuangkan dan memartabatkan bahasa Melayu termasuk gerakan BBSN yang saban tahun diadakan. Sejarah juga telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi lingua franca dan bahasa ilmu yang mantap. Jadi, apa masalah sebenarnya sehingga bahasa Melayu dianaktirikan di bumi sendiri?
Tuesday, October 28, 2008
Kerenah Klinik Kerajaan
Inilah detik yang paling aku tak suka. Bukan tak suka diperiksa atau membuat pemeriksaan kesihatan. Aku tak suka menunggu lama. Penat dan bosan. Aku mula mendaftar pada pukul 8.00 pagi. No. giliran aku yang ke-027. Aduhai...letihnya! Pukul 9.00 barulah nama aku dipanggil. Check urin, berat, hp darah, tekanan darah, hanya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja. Kemudian aku diarah masuk ke dalam bilik pemeriksaan untuk berjumpa doktor. Tunggu lagi sekitar 20 minit, barulah namaku dipanggil. Doktor periksa denyutan jantung baby dan kedudukan baby sahaja. Selebihnya dia banyak nasihat itu dan ini. Lepas tu aku ambil ubat/vitamin (yang tak pernah aku makan), sebab adik ipar aku dah bekalkan vitamin yang lebih ringkas dan mudah daripada vitamin yang klinik kerajaan beri. Mujurlah ada adik ipar yang bertugas sebagai doktor. Sudahnya, aku selesai berada di situ sekitar pukul 10.00. Huh!!! Jenuh!
Selama menanti nama dipanggil, aku selesai membaca The Star dan KOSMO. Novel yang aku baca sementara menanti nama dipanggil, genap 8 bab aku selesaikan. Sebelum ini aku pernah membuat pembacaan pruf sementara menunggu di klinik. Kira selesai juga kerja pejabat di klinik.
Bulan depan aku diarah hadir lagi. Aku tak sanggup nak datang lagi sebenarnya. Tapi...belum ada pilihan lain untuk aku elak.
Kadang-kadang aku terfikir, tak adakah cara lain yang lebih efisyen yang boleh diamalkan di klinik kerajaan agar masalah menunggu lama dapat dielakkan? Mungkin boleh ditambah jururawat dan doktor yang memeriksa. Kementerian Kesihatan sepatutnya lebih peka hal-hal begini. Sudahlah sarat mengandung, sakit pinggang, sakit kaki, pening kepala, ditambah lagi dengan kepenatan dan kebosanan menunggu lama. Kuperhatikan, kebanyakan ibu-ibu yang datang, hanya membawa beg tangan. Tiada bahan bacaan untuk dibaca, padahal waktu menunggu boleh digunakan dengan membaca. Pihak klinik sepatutnya boleh sahaja menyediakan sudut bacaan yang bersesuaian dengan situasi tersebut. Taklah mereka yang datang asyik termenung dan berborak kosong sahaja.
Thursday, October 23, 2008
Asal-usul Istilah 'CASANOVA'
Wednesday, October 22, 2008
Menghitung Hari
Aku dijangka bersalin pada akhir November ini. Teman-teman yang sama-sama mengandung pada tahun ini dah pun selamat bersalin. Kebanyakannya bersalin awal dari jangkaan asal. Terdahulu, Faizah yang melahirkan anak ke-2, bersalin awal sebulan. Rohaida temanku di KL juga bersalin awal (tahniah atas kelahiran si kembar). Rosmaini juga dikhabarkan bersalin seminggu lebih awal. Yang terbaru, Kak Nisah Haron, menghantar sms kepadaku menyatakan bahawa dia telah selamat melahirkan anak lelaki. Tahniah untuk semua. Kini, tiba giliran aku menghitung detik-detik mendebarkan. Maklumlah, kelahiran kali ini merupakan yang ke-3 buatku, tetapi disebabkan jarak anak ke-2 dengan ke-3 lebih kurang 6 tahun, terasa seolah-olah aku mengandung anak sulung.
Pada zaman ekonomi tak menentu ni, semuanya kena 'cut cost'. Barang-barang baby, semuanya dikitar semula. Mana-mana yang masih elok, aku guna semula, termasuk pakaian yang masih boleh dipakai. Untuk kelahiran kali ini, aku dan suami tidak merancang untuk mendapatkan perkhidmatan di Hospital Pakar Puteri seperti kelahiran yang lepas-lepas. Semuanya kerana 'under bajet'. Aku merancang untuk bersalin di HSI. Yang aku lebihkan sedikit, ialah maintainent aku sendiri...hehehehe...Maklumlah, semakin umur meningkat semakin banyak pelaburan kesihatan yang diperlukan. Aku tak teragak-agak untuk membeli supliment kesihatan yang terbaik untuk diri sendiri. Wanita berkerjaya dan pada masa yang sama perlu menguruskan anak, suami dan rumahtangga, memerlukan perhatian lebih dalam aspek kesihatan.
Dan untuk kelahiran kali ini, aku berazam menyusukan bayi selama yang boleh. Kalau sebelum ini aku terlalu sibuk dengan kerja dan terpaksa berulang-alik dari KL ke JB hampir saban minggu, sehingga penyusuan susu ibu kepada anak-anak sedikit terabai, kali ini aku akan pastikan si kecil mendapat khasiat terbaik susu ibu selama yang boleh. Tak sabar rasanya hendak melalui detik-detik bersalin lagi.
Thursday, October 16, 2008
Harga Minyak Turun...?
Sama ada harga minyak turun, mahupun naik...aku tetap berulang-alik ke pejabat dan ke tempat-tempat lain dengan menggunakan kereta sendiri. Kereta persendirian tetap menjadi pilihan utama keluarga, tanpa mengambil kira tentang kenaikan dan penurunan harga bahan mentah itu. Ketika kerajaan Malaysia mengisytiharkan tentang kenaikan harga minyak petrol sedikit masa dahulu, harga barang keperluan turut naik mendadak. Sangat terasa 'kemahalan' harga barang di pasaran terutama ketika membeli belah di pasar raya. Penat kepala saja memikirkan dan membeza-bezakan harga barang tertentu dari sebuah pasar raya dengan pasar raya yang lain. Kalau harga telur di Giant mahal, harga MILOnya pula murah sikit. Harga telur di TESCO pula murah, tapi harga berasnya lebih mahal daripada di GIANT. Alahaaii...sudahnya semua tempat terasa sama saja, apatah lagi kalau di kedai-kedai runcit.
Semalam bila harga minyak dah turun, harga barang masih lagi kekal pada harga lama. Santan di Pasar Borong masih kekal RM7.00 (sebiji kelapa). Pada bulan Ramadan kelmarin harganya RM6.00, tapi naik RM1.00 menjelang Syawal! Kini harga itu masih kekal RM7.00 walaupun harga minyak sudah turun. Barang makanan lain, tak usah cakaplah! Nak makan ayam pun kena fikir dua tiga kali! Pemimpin tertinggi meminta rakyat ubah cara hidup sihat! Maknanya makan kena catu, kurangkan makanan berminyak dan berlemak. Kalau dipaksa secara drastik...memang susah. Cuma yang boleh dilakukan sekarang ialah, beringat-ingat ketika makan!
Itu baru kisah bab makan dan makanan. Belum lagi keperluan lain! Nak beli penyidai baju pun kena fikir dua tiga kali. Penyidai baju pun dah naik harga! Apa hal??? Tauke kedai perabot kata, sebab harga besi dah naik! Pelik ek??? Serta merta harga besi naik bila harga minyak naik. Tak pula harga besi turun bila harga minyak turun! Harga kain ela pun dah naik melambung! Alasannya...harga kapas naik! Aduhai... Tailor pun dah berani naikkan harga perkhidmatan dengan alasan, harga benang dan peralatan lain semakin mahal. Kaki ini dah tak mampu nak melangkah ke butik-butik! Sekarang ni, pakai saja apa yang ada. Makan saja apa yang boleh.
Jadi...kalau semuanya naik...kenapa gaji tak naik-naik??? Kali terakhir gaji kakitangan kerajaan naik ialah pada tahun lepas. Alahai...naiknya tak seberapa (nak cakap pun malas!). Bukan boleh menampung keperluan lain yang melambung tinggi! Takat jadi 'nasi tambah' bolehlah...
Monday, October 13, 2008
Ada Apa Dengan Shah Rukh Khan?
Sepanjang-panjang nafas aku tarik...mengeluh! Terus berfikir...apakah kehebatan SRK? Apakah jasanya kepada bangsa kita, apakah sumbangan besarnya kepada negara kita? Adakah kerana penglibatan dan kepopularannya dalam filem-filem hindustan yang stereotaip...maka SRK layak menerima anugerah seumpama ini?
Dalam diam, aku bertambah pelik, kerana tiada bantahan daripada mana-mana pengiat seni dalam hal ini (sehingga artikel ini ditulis). FINAS sendiri berdiam diri seolah-olah bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri. Secara peribadi, aku sama sekali membantah pencalonan SRK. Pencalonannya sahaja aku tak setuju, inikan pula keputusannya. Perbelanjaan untuk menerbangkan SRK ke Melaka semata-mata untuk menyematkan pingat tersebut sahaja, sudah memakan belanja yang besar. Rakyat Melaka main angguk kepala sahaja kah? Orang Melaka setuju kah? SRK bukan tokoh seni yang harus dibangga-banggakan, walaupun dia pernah manjalani pengambaran filem di sini. Ramai lagi penggiat dan tokoh seni di Malaysia yang jauh lebih layak untuk diiktiraf penglibatan mereka.
Ada ramai pelakon, penyanyi, pelukis, pengarah filem dan komposer muzik di Malaysia yang layak menerima anugerah seumpama ini. Mungkin peribasa ini sesuai digunakan dalam konteks ini - kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Kepada 'umat' tertentu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pemilihan ini, fikirlah di luar kotak pemikiran yang sebenar. Wajarkah keputusan ini dibuat? India sendiri tidak/belum memberi sebarang penghargaan dan anugerah tertinggi kerajaannya kepada SRK...kenapa kita yang berada di ceruk rantau, bersungguh-sungguh berbaik budi dengan SRK?
Banyak media hiburan yang menyiarkan tentang peribadi SRK yang dianggap sombong dengan wartawan hiburan. Tak mahu diganggu semasa pengambaran, tak mahu ditemu ramah sepanjang berada di Malaysia...Nak kah dia datang ke Melaka, semata-mata kerana sekeping pingat...tanpa sebarang bayaran!? Apa ada dengan SRK??? (menyanyi pun miming!).
Wednesday, October 8, 2008
Raya Oh, Raya!
Inilah kisah 'tragis' yang aku alami sepanjang Syawal. Bukan tragis yang menyayat hati sanubari, tapi tragis yang memeningkan kepala.
Kawan-kawan sedia maklum yang aku baru sahaja berpindah ke rumah baru. Baik yang di KL mahupun kawan-kawan di pejabat, semuanya sibuk sms dan telefon nak datang beraya. Kadang-kadang sukar menolak hajat kawan-kawan ni, sekalipun badan terasa penat, dan tak larat nak menyambut tetamu. Aku gagahkan juga untuk menyambut kunjungan mereka. Mudah-mudahan kehadiran mereka meluaskan lagi rezeki aku sekeluarga. Tapi, yang lawaknya...ada kawan-kawan yang kata nak datang beraya di rumah aku, bukan betul-betul nak beraya! Nak menjejakkan kaki di Setia Tropika...nak melihat keadaan rumah baru, nak ambil gambar RUMAH aku...(bukan gambar tuan rumah!), nak compare perumahan mana yang 'the best'. Hai...kawan..kawan... Dah hilang konsep ziarah sempena Syawal yang mulia ni.
Monday, September 29, 2008
Selamat Tinggal Ramadan...
Warga Singapura juga 'menyibuk' shopping sakan di Johor. Mungkin kerana faktor pertukaran mata wang. Johor sentiasa membuka peluang kepada warga asing untuk berbelanja. Peniaga di Johor pun senang hati dengan kehadiran warga Singapura yang berbelanja tanpa sempat memikirkan mahal murah sesuatu barang. Kebanjiran warga Singapura di Johor Bahru semakin merancakkan perkembangan ekonomi Johor. Orang Johor saja yang tak sudi nak berbelanja di Singapura!
Dalam kesibukan menyambut Syawal, hati sebenarnya terasa pilu dan hiba. Pertama-tama sekali kerana akan berakhirnya Ramadan yang penuh berkat. Rasa tak puas beribadat dalam bulan Ramadan tahun ini. Hampir setiap kali solat, air mata pasti akan gugur mengenangkan Ramadan yang akan meninggalkan aku...dan seluruh umat Islam. Sayu mengenangkan...mungkinkah Ramadan 1430 akan kutemui? Atau mungkinkah...Ramadan tahun ini menjadi Ramadan terakhir bagiku? Itulah yang paling menyayat hati! Sebak sangat kerana tahun ini aku tak sempat menyempurnakan terawih sepenuhnya. Aku tak sempat khatam Quran seperti tahun-tahun yang lepas. Kepenatan bekerja, melaksanakan tugas di rumah dalam keadaan berbadan dua, sering kali menghalang aku mengerjakan ibadat-ibadat sunat itu secara konsisten. Namun, aku bersyukur kerana masih berupaya bangkit malam untuk kiamulail pada malam-malam tertentu. Itu sahaja yang mampu aku laksanakan. Semoga Allah memudahkan jalanku mengerjakan ibadat pada masa-masa akan datang. Amin...
Tahun ini juga aku tidak berhasrat untuk pulang ke kampung di Rengit. TIDAK! Sekian lama aku tidak berhari raya di kampung. Duka lama masih belum pulih. Luka lama masih basah berdarah. Kesedihan masih bersarang di hati, sekalipun tidak bersulam dendam kesumat. Mak Ngah dan Pak Uda sering mengajak aku pulang ke kampung, tapi hati aku masih berbaki pedih. Maaf...belum terbuka pintu hati untuk menjejakkan kakiku ke sana. Belum tergerak sanubariku untuk meraikan hari raya bersama-sama sanak saudara di kampung. Aku harap mereka faham. Apapun, hubungan kekeluargaan yang terjalin sekian lama akan tetap aku pelihara. Setitis darah yang gugur ke bumi ini pun tidak akan memutuskan silaraturahim kami. Percayalah...
Friday, September 26, 2008
Rumah Baru
Ruang di bawah tangga, aku cadangkan untuk meletakkan rak buku dan boleh dijadikan sudut bacaan. Segera suami mengeluh...'buku...buku...buku...Macam tak ada aset lain yang boleh diketengahkan!' Hehehhee...'Ok pee..buku'. Suami kata, di office aku dikelilingi buku, bertugas hari-hari menghadap buku, tak kan rumah pun nak dijadikan gedung buku? Salah memang tak salah...tapi rumah akan nampak 'ilmiah'. Buku juga sebenarnya 'perangkap habuk'. Ahhh...peningnya nak fikir. Eric Leong kalau datang rumah aku, mesti dia pun pening jugak!
Satu perkara lagi, aku ni paling tak suka pada bunga. Baik bunga hidup mahupun bunga mati. Maka, rumah ini juga gagal aku hiasi dengan bunga. Sampaikan corak langsir pun tak berbunga! Tapi...sesekali aku teruja juga bila suami bagi aku bunga...
Bicara Jerayawara
Ingin sekali diuar-uarkan tentang Bicara Jerayawara yang akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:
Tarikh: 30 Oktober 2008
Masa: 9.00 pagi
Tempat: Institut Perguruan Temenggong Ibrahim, Larkin, Johor Bahru.
Tajuk: Jati Diri Bangsa Melayu dalam Arus Globalisasi
Bicara jerayawara ini akan dibicarakan oleh 3 orang ahli panel iaitu:
YB Datuk Haji Ahmad Zahri Jamil, Y.Bhg. Dato' A. Aziz Deraman dan Tuan Haji Ismail Zamzam. Majlis ini akan dipengerusikan oleh Sdr. Abd. Ghapar Abdullah (Editor majalah Dewan Budaya, DBP KL).
Kepada teman-teman yang berminat dan berkelapangan, dijemput hadir mendengar bual bicara ini. Banyak manfaatnya menghadiri majlis ilmu, apatah lagi untuk mendengar exco berbicara tentang topik yang bukan dalam bidangnya (politik).
Thursday, September 25, 2008
Kisah Seorang Teman
Aku tidak pernah mendesak S untuk menghasilkan novel walaupun dia berpotensi besar dalam dunia penulisan. Sering kali S mengadu yang dia tiada masa yang banyak untuk menghasilkan sebuah novel, lantaran kesibukan sebagai seorang suri rumah yang rutin hariannya asyik menguruskan suami dan anak-anak. Penulisan cerpen dan puisi sekadar mengisi waktu-waktu lapang sahaja.
Beberapa tahun kemudian, S memaklumkan kepadaku rumahtangganya berantakan lantaran si suami (yang kutahu seorang yang alim dan patuh pada agama) telah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis di sekolah yang sama. Setiap kali S mengadu kepadaku, aku tidak dapat memberi respon atau nasihat yang terbaik buatnya. Mungkin kerana aku sendiri tak ada pengalaman seperti mana yang S lalui. Kehidupan rumahtanggaku berjalan secara tipikal (setakat ini). Tapi aku berjaya menjadi pendengar yang terbaik. S sebenarnya seorang yang ceria, suka bergurau, happy go lucky, suka ketawa namun dalam masa yang sama dia dihimpit masalah yang bukan calang-calang masalah.
S dah terlalu banyak berkorban demi sang suami. Sanggup meninggalkan pekerjaan lama untuk berkhidmat sepenuhnya dengan rumahtangga. Sanggup meninggalkan hasrat untuk menyambung pelajaran semata-mata menanggung perbelanjaan pelajaran suami di peringkat tinggi di universiti. Sanggup duduk terperuk di rumah untuk menguruskan anak-anak yang masih kecil. Aduhai...sayangnya S dengan suami dan anak-anaknya. Tentu S tertekan apabila mengetahui yang suaminya 'curang'. Ah, lelaki... (nak cakap lebih pun tak boleh sebab aku pun ada suami...).
Satu hari, S menghubungiku dan memaklumkan kepadaku yang dia telah ditalakkan! Bukan 1, bukan 2 tapi 3 sekali gus! Ya, Allahhhh!!! Aku pula yang terasa nak pitam! Kejamnya sang suami itu! Beberapa hari kemudian, S kata, suaminya mula gila talak. Pada masa yang sama, masih sibuk dengan kekasihnya itu. S yang tiada pendapatan tetap sudah seperti orang hilang arah. Cerpennya selepas diceraikan 'Masjid yang Roboh' memberi gambaran betapa seksanya bergelar seorang ibu tunggal yang diceraikan kerana suami ingin berkahwin lain. Kebahagiaanya diragut oleh kaum sejenisnya juga. Hanya doa yang mampu aku hulurkan kepadanya agar S terus tabah mengharungi masalahnya.
S akhirnya mendapat pekerjaan di KL. Kini beliau hidup bahagia dengan kerjaya tetapnya dan lebih bahagia apabila anak-anaknya kekal bersama-samanya. Mahkamah Syariah memutuskan bahawa beliau layak mendapat nafkhah edah, nafkhah mutaah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak, nafkhah anak sehingga anak-anak boleh berdikari sendiri dan hak-hak lain. Pada masa yang sama, S semakin rancak menulis. Dan terbaharu, beliau hadir di pejabatku membawa senaskhah novel untuk direalisasikan. S...tabahnya engkau mengharungi kehidupan ini dengan semangat dan keyakinan diri yang tinggi.
Kini, genap setahun S menjadi ibu tunggal. S kini mampu menghulurkan wang ringgit untuk ibu bapanya sempena hari raya ini. Sesuatu yang tak mampu dilakukan semasa bergelar isteri. S mampu menguruskan anak-anaknya dengan baik. Pelajaran mereka juga memberangsangkan. Yang sulung masih bersekolah rendah, tapi telah fasih membaca dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Yang paling menggembirakan aku, S dah mampu membuktikan bahawa dia kini semakin bersemangat menulis apatah lagi setelah berjaya menghasilkan sebuah novel. Sesuatu yang tak mampu dilakukannya semasa bergelar isteri. Perceraian yang berlaku ada hikmahnya. Sekalipun bekas suami S sering berdolak-dalih dengan nafkhah anak-anak, S tetap berjuang mendapatkannya. Kata S, kalau tidak dituntut di dunia, di akhirat kelak pasti dia akan menuntut juga haknya.
Semoga kisah S ini menjadi teladan kepada insan lain terutamanya kaum wanita. Jangan cepat mengalah dan jangan sesekali 'lembik' dengan urusan seharian. Secara peribadi pun, aku tak suka dengan wanita yang lemah longlai dan 'slow'.
Monday, September 22, 2008
Buku: Medium Informasi dan Kepengarangan yang Jitu
Di Malaysia, kerja mengarang belum menjadi profesion, sehinggakan profesionalisme dalam kepengarangan sentiasa berada pada tahap yang rendah. Namun, kita bernasib baik kerana masih berupaya menjadi pengguna terhadap penerbitan negara-negara maju. Pada masa yang sama, banyak usaha dilakukan untuk membantu perusahaan penerbitan supaya bergerak seiring dengan industri lain. Organisasi penerbitan buku seperti DBP sentiasa memberi peluang kepada individu yang berbakat dan berminat dalam bidang penulisan untuk menonjolkan bakat masing-masing, tidak kira dalam apa jua genre karya.
Seorang sarjana barat, Marshall McLuhan pernah meramalkan bahawa buku akan mati pada suatu hari kelak, lantar munculnya medium informasi lain sebagai medium penghantaran maklumat seperti internet. Ramalan McLuhan itu, sehingga kini masih belum menampakkan sebarang tanda akan kebenarannya. Buku masih bernyawa sehingga kini, malahan menjadi semakin penting. Sedangkan McLuhan sendiri sudah lama mati!
Kejayaan J.K. Rowling
Penulis terkenal, J.K. Rowling baru-baru ini menerima anugerah tertinggi, Edinburgh Award kerana menjadikan bandar Edinburgh sebagai tempat beliau menulis novel kisah budak sihir. Kisah Harry Potter kini dijual lebih 400 juta naskhah di seluruh dunia. Sangat menakjubkan. Rowling 43 tahun, juga telah menaikan nama ibu kota Scotland itu di mata dunia kerana mengambil keputusan untuk menetap di situ, 15 tahun dahulu. Novel beliau telah diterjemah dalam 67 bahasa termasuk bahasa Melayu.
Penulis Baru - Halil Ali
Seorang penulis yang agak berumur, telah datang ke pejabatku tanpa diundang, tanpa temu janji dan tanpa surat rasmi, dua tahun yang lalu. Beliau hadir membawa sebuah naskhah genre novel untuk diterbitkan. Daripada maklumat yang terisi dalam Borang Biodata Penulis, beliau dikesan merupakan seorang penulis yang tidak berpengalaman (tak pernah menulis, tak pernah menghasilkan sebarang karya besar, tak pernah tahu sepak terajang dalam dunia penulisan). Menurut beliau, naskhah yang dibawanya itu merupakan novel kisah benar hidupnya dan keluarganya dalam era 50-an. Cerita tentang semangat patriotisme orang Melayu dalam menentang penjajahan British dan Jepun.
Halil Ali, bukan nama gah dalam dunia penulisan di Johor. Beliau sendiri agak tidak yakin dengan kebolehan dan keupayaan diri sendiri dalam menghasilkan novel, apatah lagi dengan usianya yang telah mencecah angka 40-an. Aku tersenyum mendengar keluhannya. Aku nyatakan kepadanya tentang Frances Trollope yang menghasilkan karya pertamanya ketika berusia 50 tahun. Permulaan yang sangat lewat...tapi tidak pada semangatnya. Ya, kini Halil Ali bakal sebaris dengan penulis-penulis ternama yang lain, atau sekurang-kurangnya mendapat perhatian daripada karyawan DBPWS sendiri. Novel sulung beliau akan terbit hanya beberapa bulan sahaja lagi. Mungkin beliau tak sabar menanti Berlabuh di Hujung Senja berada di pasaran buku Malaysia.
Beberapa hari lepas, beliau menghubungi aku dan menyatakan hasratnya untuk menjadi penulis sepenuh masa. Ah! Seorang yang berpangkat, berjawatan pengurus, bergaji tinggi, berpendidikan luar negara... berhasrat menjadi penulis sepenuh masa? Aku tercengang seketika. Halil Ali belum setaraf dengan Pak Samad, belum mencapai kejayaan seperti Faisal Tehrani, belum sepopular Nisah Haron, atau sekurang-kurangnya belum mempunyai pemikiran seperti Rahimah Muda! Sanggupkah beliau meninggalkan kesenangan dan segala kemudahan di depan mata demi menjadi seorang penulis? Namun, aku sangat positif dengan hasratnya itu. Aku teringat akan Stephen King. Sejarah telah membuktikan bahawa Stephen King telah mengambil keputusan berhenti kerja sebagai seorang guru, bagi menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap bidang penulisan. Keputusan tersebut akhirnya membawa kepada kepopularannya sehingga ke hari ini, selain keuntungan demi keuntungan yang diraih hasil karya-karyanya. Jika Halil Ali seorang yang berkeyakinan tinggi dan seorang yang fokus dengan apa jua yang dilaksanakannya, tidak mustahil beliau akan berjaya.
Wednesday, September 10, 2008
Ramadan
Ramadan tahun ini, agak berbeza dengan tahun-tahun yang sudah. Allah memberi dua pilihan kepadaku untuk meneruskan puasa sehingga sebulan ATAU tidak meneruskan puasa selama sebulan. Aaaahhh...alangkah bertuahnya badan menjadi seorang wanita, ibu dan isteri. Bahagianya berganda-ganda. Harap-harap pahala yang diperoleh juga berganda-ganda. Aku sememangnya berazam meneruskan puasa Ramadan ini sehingga ke hari terakhir. Insya-Allah.
Anak-anak aku juga telah menunjukkan prestasi puasa yang sangat memberangsangkan. Mereka sanggup bangun sahur untuk sama-sama mengalas perut untuk berpuasa. Mereka diajar niat berpuasa dan niat berbuka puasa. Hari ke-8 Ramadan, mereka telah pun lancar menghafalnya. Seingat aku, semasa aku kecil, aku juga diasuh berpuasa seawal usia tujuh tahun. Tapi yang menggelikan hati aku, bila dah dekat nak berbuka puasa, pasti Zafri sibuk bertanya..."Lagi berapa jam, ibu?" Tak lama kemudian, dia akan tanya lagi..."Lagi berapa jam, ibu?" Tak sampai 15 minit, dia akan tanya lagi soalan yang sama, sehinggalah jarum jam menunjukkan pukul 7.00 malam - Soalan terakhirnya..."Lagi berapa minit, ibu?". Aduhaaaiii...anak...Nak dimarah, tak sampai hati. Nak dilayan aku juga yang letih menghitung waktu!
Untuk memberikan mereka motivasi bagi meneruskan puasa seterusnya, segala permintaan mereka sepanjang bulan Ramadan ini akan aku tunaikan. Nak kuih lapis, aku belikan. Nak air mata kucing, aku carikan. Nak biskut tu, nak roti ni, nak tu nak ni...Haa...pendek kata, memang tak sampai hati nak menghampakan permintaan anak-anak kecil yang berpuasa ini. Mungkin sebab, masa aku kecil dulu ayah tak pernah menghampakan permintaan aku. Apa sahaja kehendakku akan ayah tunaikan. Sikap tersebut, rupa-rupanya berjangkit pada aku. Kadang-kadang suami aku 'bising' juga sebab duit banyak dihabiskan untuk melayan kehendak anak-anak. Tapi nak buat macam mana? Hati seorang ibu, memang sentiasa mahukan anak-anaknya gembira. Zafri, terutamanya...Kalau merajuk...ya, Allah....runtuh hati dan jantung aku tengok wajahnya (dia memang pandai buat muka kesiannnnnnn!!!!!!).
Friday, August 29, 2008
Cintai Budaya Cintai Bangsa
Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) juga tidak ketinggalan menyelitkan sebuah teater hebat yang mengetengahkan tentang kesenian tarian reyok atau lebih dikenali sebagai kuda kepang. Teater tersebut bertajuk 'Roh Semberani'. Menelusuri sejarah awal reyok di Tanah Jawa yang mengisahkan tentang Bujang Ganong dan Joko Kelono yang merantau dari Negeri Kediri dan Ponorogo untuk menuntut ilmu persilatan. Daripada kegagahan dan kesaktian dua orang putera raja yang menyamar sebagai rakyat biasa inilah dikatakan bermulanya permainan kuda kepang. Perlakuan kuda kepang ditiru daripada aksi Bujang Ganong, putera Raja Ponorogo dari Jawa Timur yang mengalahkan Singo Barongan. Singo Barongan merupakan haiwan ganas yang mendiami hutan Roban di pinggir Negeri Kediri yang banyak membaham rakyat jelata negeri itu.
Wednesday, August 27, 2008
Surat dari Jepun
Monday, August 25, 2008
Intan at Discovery Science Center
Friday, August 22, 2008
Trip To LA
Tuesday, August 19, 2008
Bengkel Pemindahan Tesis kepada Buku
Friday, August 15, 2008
Indahnya Kagoshima
Thursday, August 14, 2008
Anugerah
Tuesday, August 12, 2008
Sukan Olimpik
Oh, ye...sebut tentang Beijing, teringat akan aku pengembaraan ayahanda ke Beijing dengan teman-teman seangkatan dengannya pada 1998 (kalau tak silap). Balik dari Beijing ayah tunjukkan gambar menarik yang diambil di sana, termasuklah gambar di bawah sepohon pokok gergasi yang kuamat-amati...sangatlaahhh besar! Aku tanya ayah, apa nama pokok tu. Ayah gelak dan ayah kata, sesiapa yang berpeluang berteduh di bawah pokok gergasi ni, akan bertuahlah badan, sebab bakal berkahwin lagi...Lepas tu ayah ketawa lagi. Aku pun ketawa juga (sebab bagi aku, tak kan ayah nak kahwin lagi kot???). Merepek sungguh ayah yang ketika itu hampir mencecah usia persaraan, berhajat nak kahwin lagi. Tapi...gurauan itu akhirnya menjadi kenyataan, apabila ayah disahkan bernikah satu lagi dengan seorang janda beranak dua. Aduhai...ayah, oh ayah! Mungkin bukan kerana pokok tu, tapi dah memang ditakdirkan mak aku akan bermadu...maka bermadulah jawabnya. Kalau dah jodoh ayah dengan mak janda tu, berteduh bawah pokok pisang pun, perkara tersebut tetap berlaku.
Apa pun, doa harianku sering dipanjatkan untuk ayah dan mak. Semoga gembira dengan kehidupan hari ini.
Monday, August 11, 2008
Seminggu Berlalu
Satu Percubaan
Akhirnya berjaya juga membina blog sendiri.
Dah lama sebenarnya mengidam membina blog sendiri supaya dapat berkongsi isu semasa dengan para pelayar internet yang lain. Selalu sangat masa menjadi penghalangnya. Tapi, bila difikir-fikirkan semula, masa tak boleh dipersalah. Tuhan peruntukan 24 jam sehari untuk hambanya... Masakan dalam tempoh tersebut tiada seminit dua untuk dipertingkatkan dalam hidup? Waktu rehat di pejabat aku gunakan untuk membuat catatan ini.