Kepenatan pulang dari Singapura kerana menziarahi keluarga di sana belum pun reda. Bil-bil elektrik dan air bersepah di atas meja konsol menambah lagi kepenatan yang sedia ada. Setelah meletakkan kain baju di dalam bilik, Maria kembali membelek bil-bil tersebut. Suaminya Hadi, seperti biasa tekun dengan kerja-kerja IT. Menghadap komputer hampir 24 jam. PAID - tulisan tangan Hadi tertera di setiap bil. Biasanya bil-bil dibayar secara dalam talian sahaja.
"Abang, jom kita
shopping raya," ajak Maria sambil memasukkan semua bil ke dalam laci.
"Apa
shopping? Jalan sesak, orang ramai, puasa lagi...," jawab Hadi tidak bersetuju dengan ajakkan Maria.
"Alaaa...jomlah, cuci-cuci mata," Maria masih mengajak tanpa memikirkan alasan Hadi.
"Nak beli apa? Semua abang dah belikan," balas Hadi sambil merenung komputernya.
"Aik? Bila pergi? Dengan siapa? Dekat mana? Tak ajak pun?" bertalu-talu soalan Maria. Hadi mengalihkan pandangannya ke arah Maria. Tersengih sedikit. Dia tahu Maria cemburu apabila dia keluar membeli-belah seorang diri.
"Sekarang ni zaman orang mengejar masa. Saya mana ada masa nak keluar beli-beli barang? Awak orang perempuan ni...suka benar berpenat lelah ke
shopping complex. Sudahlah penuh dengan manusia, nak
parking pun susah, H1N1 lagi, kita nak kejar waktu berbuka lagi. Penat
shopping, malam dah malas nak terawih pula! Lain yang dicari, lain pula yang dibelinya. Tak pasal-pasal bajet boleh lari," Hadi membebel memandang tajam ke arah Maria. Maria mengerutkan wajahnya. Mendengar bicara Hadi dengan perasaan tidak puas hati.
"Abang dah beli semua keperluan raya, secara
online!" sambung Hadi lagi.
"Hah??? Apa?
Online? Semuanya kah?" terkejut Maria dengan jawaban suaminya. Bimbang citarasa Hadi tidak sama dengan kehendaknya. "Apa yang abang dah beli? Takkanlah semuanya beli kat internet? Tak syoklah macam ni?" balasnya lagi.
"Syok tak syok, soal ke-44! Apa pun yang abang dah beli, kena terima. Pakaian anak-anak semua dah tempah. Esok sampai. Keperluan rumah, mana-mana yang boleh guna tak payahlah beli lagi. Langsir baru yang awak nak, esok sampai. Baju Melayu saya, jangan bimbang, pakai yang empat tahun lepas punya. Baju kasual saya pun, esok sampai. Saya beli jenama kegemaran awak, POLO. Kalau saya beli jenama PLAYBOY nanti awak kata saya 'gatal', kalau saya beli jenama CROCODILE nanti awak kata saya 'miang'. Kuih raya, saya
order online juga. Ikut selera saya tahun ni! Tak payahlah beli lagi. Baju kurung awak, lima pasang saya dah order. Siap dengan tudungnya. Ada hijau, oren, merah, biru, pink. Kalau 'bising' juga, tak tahulah nak kata apa! " Maria terkebil-kebil mendengar patah-patah ayat yang keluar dari mulut Hadi. Memang tidak terkata. Alangkah bahagianya ada pasangan yang sanggup melakukan semuanya untuk dirinya. Memang bahagia. Duit poket selamat, masa tidak terbuang, kepala tidak penat memikir.
'Mudahnya hidup...,' hati Maria bersuara sendiri. 'Bukan semudah itu, abang...,' mahu tak mahu, Hadi mesti keluar juga dengannya ke pasar. Tidak mungkin daging batang pinang hendak dibeli secara
online? Maria tersenyum sendiri.